BILA dah berada di hujung Ramadhan seperti sekarang ini, terkenang zaman kanak-kanak yang mencuit perasaan. Memang tidak ada orang yang paling bergembira apabila tibanya hari raya, melainkan kanak-kanak jualah. Mereka bukan bergembira kerana berjaya menghabiskan sebulan puasa dan tidak ponteng terawih, tetapi kerana baju barunya, kuih-muihnya, mercunnya, lemangnya, ketupatnya, dan yang paling penting ialah duit raya! Inilah keseronokan berhari raya pada zaman kanak-kanak dahulu yang tidak mungkin berulang lagi dalam hidup ini.
Pada pagi menjelmanya hari raya, dengan baju baru yang segak, kanak-kanak sanggup berjalan kaki atau naik gerek buruk bersama kawan-kawan menziarahi setiap buah rumah jiran. Mereka sanggup membeli dompet baru kerana harapannya untuk diisikan dengan duit raya. Kadang-kadang mereka pergi beraya sekadar memberi salam dan menunggu duit raya sahaja – naik ke rumah pun tidak mahu kerana niatnya hanya untuk mendapat duit raya saja. Bila terkenang bagaimana seronoknya apabila berhari raya di rumah jiran dan mendapat duit raya seringgit, terasa seolah-olah jiran yang baik itu segala-galanya. Tetapi ada juga kadang-kadang kita mendatangi rumah Pak Aji yang kaya, tetapi kedekut. Hartanya banyak, tapi duit rayanya hanya sekupang! Memang dasar Haji Bakhil!
Bila dewasa, kita menyedari bahawa Eidil Fitri ini bukan untuk ‘mengutip’ duit raya, tetapi sebagai hari kemenangan setelah sebulan berperang dengan nafsu. Sepanjang Ramadhan kita diajar supaya selain rajin beribadat, ringan juga tangan untuk bersedekah. Membersihkan harta dengan cara berzakat, bersedekah, menderma, wakaf, hibah, infak dan sebagainya. Kerana itu pada bulan Ramadhan ini dengan rahmat Allah kita lihat orang ramai berlumba-lumba bersedekah kerana mengambil fadhilat daripada keberkatan Ramadhan. Sebagai tanda kita bersyukur di atas kejayaan kita sepanjang Ramadhan, semasa berhari raya kita bersedekah kepada kanak-kanak barang seringgit dua supaya kegembiraan ini diraikan dengan hilai tawa mereka.
Tetapi menjelang hari raya pada tahun ini, lain pula jadinya. Beban hidup rakyat memang cukup terasa apabila kerajaan menaikkan harga minyak sehingga 41 peratus. Jika dulu petrol RM10 itu kita boleh memandu untuk lebih 100 km, hari ini RM10 hanya boleh membeli sekadar empat liter petrol. Bukan itu sahaja, harga makanan sudah naik dengan mendadak sehingga roti canai pun berharga 80 sen hingga RM 1 sekeping itupun rotinya semakin kecil ataupun nipis. Bekalan gula, minyak masak, gandum dan beras yang sering terputus menyebabkan krisis makanan berlaku dan rakyat terpaksa menerima hakikat kenaikan harga barang-barang makanan yang begitu tinggi. Terbaru, kadar inflasi sudah mencecah 8.5 peratus, satu kadar yang tertinggi semenjak 27 tahun dahulu. Ketika ekonomi gawat pada 1980-an dan krisis ekonomi 1997 pun, inflasi tidak seteruk ini.
Empat bulan dulu kerajaan mengumumkan kenaikkan harga petrol sebanyak 78 sen seliter kerana harga di pasaran dunia sudah mencecah USD140 setong. Kadar tukaran asing ketika itu ialah RM3.2 bagi setiap USD. Harga RM2.70 itu sebenarnya lebih mahal daripada harga sebenar ketika itu. Rakyat hanya mendengus di dalam hati mereka. Hendak berdemonstrasi, nanti ISA menanti. Tetapi hari ini, harga minyak dunia telah turun dengan mendadak sehingga melepasi paras di bawah USD100 setong. Kerajaan masih berhujah tentang kedudukan tukaran asing kita yang sebenarnya tidak banyak berganjak iaitu sekitar RM3.4 bagi setiap USD. Jika dihitung dengan faktor-faktor sekeliling, sepatutnya harga petrol sekarang sehabis mahal pun antara RM2.15 hingga RM2.20 seliter. Tetapi mengapa kita masih perlu membayar RM2.45 seliter? Sebenarnya Kerajaan tidak sepatutnya menaikkan harga minyak sebanyak 78 sen sebelum ini kerana jumlah kenaikkan adalah suatu bebanan luar jangka terhadap rakyat. Tetapi apabila harga minyak dunia turun secara mendadak, Kerajaan cuba berdalih mencari formula sesuai untuk menurunkan harga minyak yang mana penurunan harga minyak ketika ini langsung tidak memberi kesan apa-apa kepada rakyat. Yang penting biar Kerajaan senang, ikutlah apa nak jadi pada rakyat.
Kita mendengar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan untuk menurunkan harga petrol sehingga 50 sen seliter jika Pakatan Rakyat memerintah. Dua hari lepas pun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan kemungkinan harga petrol boleh diturunkan 30 sen seliter berdasarkan harga semasa. Rakyat nampak bergembira kerana bakal mendapat duit raya lebih dengan turunnya harga petrol ini. Tiba-tiba, Kabinet hanya meluluskan penurunan 10 sen sahaja walaupun harga minyak dunia sudah merosot melebihi USD40 setong. Memang dasar Kabinet Haji Bakil! Adakah patut rakyat hanya mendapat duit raya hanya sekupang sedangkan kerajaan sudah untung besar ketika harga minyak sedang melonjak naik hingga lebih USD 140 setong dan kerajaan juga mendapat keuntungan dari penurunan harga minyak dunia ketika ini kerana Kerajaan tidak perlu lagi menanggung subsidi yang tinggi.
Hanya kerajaan yang kedekut dan Perdana Menteri Haji Bakhil sahaja yang sanggup melihat orang lain susah, merempat dan sengsara, asalkan anak menantu mereka terus kaya raya. Mungkin Perdana Menteri Haji Bakhil Bin Kedekut berasa seronok apabila menantunya dari Kampung Dusun boleh memandu kereta ke sana ke mari dengan duit rakyat digunakan untuk mengisi minyak keretanya. Haji Bakhil hanya asyik melayan Cikgu Murni. Apa yang diminta oleh Cikgu Murni semuanya akan ditunaikan kerana Haji Bakhil berkeinginan untuk memiliki Cikgu Murni. Inilah secebis kidah daripada filem melayu yang diarahkan oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dalam filem "Nasib Labu Labi". Cikgu Murni lambang kepentingan diri Haji Bakhil. Maka, biarlah rakyat terus menarik beca buruknya jika tidak berupaya membeli petrol lagi. Dalam keadaan yang begitu terdesak sekarang pun, kerajaan masih berlagak untuk menindas rakyat, tidak mustahil rakyat terus dihimpit jika mereka kekal berkuasa. Kalau rakyat sudah tidak tahan dengan politik lok lak BN ini, kita mesti berusaha keras untuk mendesak kerajaan yang ada turun segera dari takhta, supaya kerajaan rakyat boleh mengambil alih kuasa.
Yang anehnya Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed mendesak supaya harga barang keperluan diturunkan selaras dengan pnurunan harga petrol. ”Tidak ada lagi isu kos pengangkutan”, kata beliau. Menteri seolah-olah lupa bahawa yang dinaikkan dahulu ialah 78 sen seliter, yang turun baru 25 sen. Adakah dengan turun 25 sen ini, semua kos yang naik sebelum ini akan dapat kembali kepada asal. Jika menteri kita ini cerdik, kenaikan 78 sen seliter memang memberi dampak yang besar, tetapi penurunan 10 sen adalah amat marginal. Janganlah memperbodohkan rakyat dengan duit raya sekupang ini semata-mata untuk membeli jiwa mereka menjelang saat kehancuran Umno/BN.
No comments:
Post a Comment