Friday, September 12, 2008

AHLI PARLIMEN POKOK SENA BIDAS KERAJAAN NEGERI GAGAL SELESAI ISU SAMPAH


Kegagalan Majlis Bandaraya Alor Star (MBAS) menyelesaikan masalah pengurusan sampah di bandaraya ini khususnya di kawasan-kawasan kediaman sejak sekian lama ditempelak Ahli Parlimen Pokok Sena, YB Tuan Haji Mahfuz Omar.

Dalam satu sidang media di rumahnya di Taman Satria, 5 September baru-baru ini, beliau menyifatkan perkara memalukan itu sebagai kelemahan MBAS yang sangat ketara dari segi kecekapan bekerja, komitmen dan kesungguhan untuk menangani isu tersebut





"Saya sudah hampir hilang kesabaran melihat masalah sampah ini apatah lagi timbul di tempat tinggal saya sendiri.

"Di setiap rumah ada longgokan sampah yang sudah berulat dan berbau busuk sejak 31 Ogos lagi," beritahunya.

Terangnya, beliau percaya MBAS tidak akan melakukan proses kutipan pada hari tersebut memandangkan hari cuti dan keesokannya, Sabtu juga merupakan hari cuti.

Beliau turut mendakwa MBAS juga gagal menguruskan tapak pelupusan sampah di Jabi dan membiarkan lebih sebulan tanpa operasi.

"Ini menunjukkan lembab, tidak efisyen, tidak ada semangat bekerja kepada pegawai-pegawai tinggi MBAS. Saya kira pihak Kerajaan Negeri harus meneliti hal-hal ini khususnya kedudukan Datuk Bandar kerana dilihat tidak mengambil apa-apa tindakan dan langkah perlu bagi mengatasi masalah pengurusan sampah yang berlarutan sehingga kini," ujarnya tegas.

YB Mahfuz turut melahirkan rasa kesal terhadap Exco Perumahan Dan Kerajaan Tempatan kerana tidak menunjukkan komitmen untuk melihat masalah yang dihadapi oleh rakyat khususnya dalam kawasan bandaraya.

Ujarnya, beliau tidak nampak satu langkah yang bersungguh dan berkesan diambil oleh pihak exco tersebut untuk memberi pengarahan dan tindakan kepada MBAS seolah-olah tidak mempunyai kuasa untuk bertindak.

Beliau turut menganggap tindakan MBAS berunsurkan sabotaj terhadap Kerajaan Negeri untuk membiarkan timbulnya rasa marah di kalangan rakyat terhadap Kerajaan Negeri Kedah khususnya kerajaan di bawah Pakatan Rakyat ini yang diterajui oleh PAS.

"Bagi saya Kerajaan Negeri harus mengambil langkah-langkah perlu untuk mengelak satu tanggapan negatif.

"Saya menganggap ini bukan sahaja sabotaj kepada Kerajaan Negeri, ia juga adalah sabotaj terhadap sambutan Jubli Emas Tuanku Sultan Kedah dan menjejaskan bandaraya yang menjadi ibu negeri di mana sepatutnya berada dalam keadaan bersih," katanya yang turut mendakwa MBAS kini sudah dikenali sebagai 'Majlis Bandaraya Sampah'.

Mahfuz memberikan tempoh seminggu kepada MBAS untuk menyelesaikan masalah tersebut. Tegas beliau, jika tidak berlaku sebarang perubahan yang memuaskan, beliau akan membuat laporan kepada polis, Jabatan Alam Sekitar, Badan Pencegah Rasuah dan Ketua Audit Negara.

"Saya minta supaya MBAS menyegerakan apa cara sekalipun sewa lori yang munasabah. Kita tidak mahu lagi lori yang buruk dan jika mengambil sampah pun mengalirkan air kotor ke jalan raya.

"Jadi mereka mesti menyewa lori seberapa segera dengan mengeluarkan peruntukan dan menyewa jentolak untuk ditempatkan di tempat pelupusan sampah," tegas beliau.

Tambah beliau, pengumuman oleh Kerajaan Negeri untuk membayar bonus kakitangannya dan membayar hutang Kerajaan Persekutuan baru-baru ini menunjukkan Kerajaan Negeri memiliki keupayaan kewangan.

Oleh itu, pinta Mahfuz, peruntukan yang munasabah juga perlu dikeluarkan untuk membeli lori atau menyewa dalam tempoh terdekat ini.

"Oleh kerana Kerajaan Pusat akan mengambil alih pengurusan sisa pepejal ini, maka saya rasa wajar sewa sahaja," cadangnya.

Beliau turut menuntut Kerajaan Negeri mengambil tindakan disiplin terhadap Datuk Bandar dan pegawai-pegawai tertinggi MBAS serta melakukan semula pengstrukturan MBAS.

"Semua ini berpunca daripada kepimpinan tertinggi MBAS. Saya melihat kepimpinan MBAS lebih komited untuk mengambil tindakan terhadap penjaja.

"Mereka sudah hilang arah, sama ada hendak ambil tindakan kepada penjaja atau mengatasi masalah kebersihan," katanya.

Mahfuz turut menuntut agar Kerajaan Negeri membuat penyiasatan audit terhadap MBAS, termasuk sejak dari Majlis Perbandaran Kota Star lagi.

"Lihat bagaimana wang hasil percukaian diperolehi dan geran yang diperolehi daripada Kerajaan Pusat bagaimana mereka membelanjakannya.

"Adakah perbelanjaan itu menepati keperluan untuk menyediakan khidmat kepada rakyat atau perbelanjaan yang tidak menjurus kepada persoalan perkhidmatan," ujarnya mempersoalkan.

Ujar Mahfuz, tindakan beliau bukan sahaja sebagai seorang ahli politik tetapi juga pembayar cukai.

Bagi beliau, tanggungjawab untuk mengutip sampah bukan hanya kepada pembayar cukai pintu tetapi telah menjadi tanggungjawab kepada sebuah Majlis Bandaraya untuk memastikan kebersihan terjaga.

Menurutnya, keadaan seperti itu boleh menimbulkan kesan kesihatan apatah lagi kawasan perumahan yang beliau diami berada bersebelahan Hospital Sultanah Bahiyah. Tegasnya, persekitaran hospital seharusnya memiliki keadaan kebersihan dan kesihatan yang terjamin.

Mahfuz turut meminta Kerajaan Negeri 'mempertahankan diri' dengan menubuhkan audit dalaman untuk memberitahu kepada rakyat bahawa perkara tersebut berpunca daripada penyelewengan lalu dan dalam masa yang sama Kerajaan Negeri harus mengambil tindakan.

"Saya tidak teragak-agak untuk mengerah lebih ramai berkumpul di hadapan MBAS untuk lambakkan sampah, bukan ke pejabat, tetapi ke muka Datuk Bandar. Bagi saya ialah soal kepentingan pengguna dan rakyat harus diutamakan," tegas beliau membayangkan kemungkinan mengulangi tindakan simbolik yang pernah dilakukannya itu dahulu.


4 comments:

Anonymous said...

Sabaq.....

posa.

Anonymous said...
This comment has been removed by the author.
Anonymous said...

"hikayat kesultanan UMNO"

http://writtenbyhim.wordpress.com/2008/09/13/hikayat-kesultanan-umno/

Anonymous said...

HALANGAN ANWAR UNTUK MENCAPAI KERAJAAN 16 SEPTEMBER

http://writtenbyhim.wordpress.com/2008/09/08/countdown-to-16september/