Thursday, September 25, 2008

"Duit raya sekupang", inflasi naik 8.5 peratus

Walaupun kerajaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan penurunan sebanyak 10 sen lagi harga minyak berkuatkuasa esok tetapi kesan dari tindakannya menaikkan harga petrol sebanyak 78 sen dan diesel sebanyak RM1 pada 4 Jun lalu mengakibatkan cengkaman inflasi semakin ganas memangsakan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah.

Dianggap sebagai "hadiah" kerajaan Abdullah kepada rakyat , angka rasmi yang dikeluarkan hari ini, kadar inflasi telah melonjak ke paras 8.5 peratus pada bulan Ogos - yang tertinggi dalam tempoh 27 tahun - ekoran peningkatan harga makanan dan bahan api.

"Tidak ada jaminan inflasi akan berkurangan walaupun harga minyak diturunkan 10 sen lagi kerana harga barangan tetap tinggi.

"Sebagai contoh mudah, adakah esok harga minyak turun 10 sen, lusa adakah harga makanan di pasar-pasar Ramadhan akan turun?

"Apa pun, terima kasihlah kerajaan Pak Lah bagi duit raya sekupang kepada rakyat,"

Ahli ekonomi dari Kenanga Investment Bank, Wan Suhaimi Saidi, menyifatkan kadar inflasi 8.5 peratus itu lebih tinggi daripada yang dijangkakan, tetapi Bank Negara tidak akan menaikkan kadar faedah untuk memastikan pertumbuhan.

"Ianya tinggi sedikit daripada jangkaan saya. Saya jangka 8.4 peratus. Saya tidak fikir kerajaan akan menaikkan kadar faedah penting. Ia akan dikekalkan pada kadar 3.50 peratus sehingga akhir tahun untuk menyokong pertumbuhan," katanya kepada AFP.

Jabatan Perangkaan telah menyemak semula dengan menurunkan angka inflasi bagi bulan Julai kepada 8.3 peratus. Ia sebelum ini meletakkan kadarnya pada 8.5 peratus.

Menurutnya, kos makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 11.7 peratus dalam bulan Ogos, berbanding dengan setahun yang lalu. Kadar inflasi yang tinggi sudahpun menjejaskan pengguna dan mendorong ramai rakyat Malaysia mengurangkan perbelanjaan mereka bagi makanan.

"Peningkatan (kadar inflasi bagi bulan Ogos) ditunjukkan dalam kumpulan-kumpulan terpilih utama, iaitu makanan dan minuman bukan alkohol," katanya dalam satu kenyataan.

Data bulan Ogos menunjukkan peningkatan harga bagi kebanyakan kategori, termasuk pengangkutan yang melonjak 21.8 peratus, dan restoran dan hotel yang meningkat 6.5 peratus.

Kerajaan telah menaikkan harga minyak sebanyak 41 peratus dalam bulan Jun, sebagai langkah untuk mengurangkan peningkatan kos subsidi, tetapi telah membayangkan bahawa kadar harga boleh diturunkan tidak lama lagi.

Inflasi kekal tinggi

Selepas mengumumkan Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi bulan Ogos, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, beliau tidak menjangka CPI bagi bulan September akan lebih rendah.

"Walaupun, kesan sepenuhnya pengurangan harga petrol dalam bulan Ogos dan sekarang belum diambilkira sepenuhnya, CPI bagi bulan September mungkin tidak lebih rendah.

"Harga petrol yang rendah dijangka dijangka akan diimbangi oleh peningkatan perbelanjaan semasa cuti hari raya dan 30 surcaj bagi pengangkutan awam," kata Shahrir.

Bagaimanapun, beliau tidak menjangka CPI telahpun sampai ke paras puncaknya.

Shahrir berkata, kadar inflasi nampak telah stabil ekoran peningkatan bulan ke bulan hanya 0.2 peratus.

Bagaimanapun, kadar purata inflasi bagi tahun ini dijangka di sekitar 4.8 peratus.

1 comment:

Anonymous said...

Ini la jadinya bila keldai dianggap kuda. Perintah negara ikut suka hati. Buat keputusan lepas bangun tidur atau tengah mamun. Dengar pulak nasihat/kata-kata anak menantu yang baru 1tahun jagung. Menteri yang dilantik dalam kabinet pulak lembap, kaki pembelit, gila duit dan burit. Tak tau la apa akan jadi ngn M'sia ni kalau orang tak tau ni tak letak jawatan. Rosak!