KEDATANGAN bulan Ramadhan selalunya diiringi oleh usaha-usaha untuk meningkatkan rasa takut atau taqwa kepada Allah SWT. Allah memerintah kita berpuasa kerana melalui puasa itu jiwa kita dapat dibentuk, nafsu dikekang yang akhirnya melahirkan rasa takut kepada Allah SWT. Dalam keadaan ketaqwaan inilah, al-Quran yang diturunkan pada bulan Ramadhan boleh menjadi petunjuk (hidayah) kepada manusia. ”Itulah al-Kitab (al-Quran) yang tiada keraguan padanya dan menjadi petunjuk kepada orang yang bertaqwa” (al-Baqarah: 2).
Anehnya, ketika seluruh umat Islam belumba-lumba untuk mengejar darjah taqwa ini, ketakutan para pemimpin BN, khususnya Umno tertumpu kepada tarikh 16 September. Tarikh ini merupakan satu impian dan harapan yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pemimpin PR sebagai tarikh perubahan atau kemerdekaan kedua untuk rakyat negara ini. Pemimpin BN sedar bahawa perubahan ini membawa makna kerajaan bertukar tangan dari BN kepada Pakatan Rakyat. Inilah ketakutan yang menjadi hantu raya yang sentiasa mengganggu ketenteraman hidup pemimpin BN.
Di mana-mana pemimpin BN menafikan bahawa pada tarikh ini akan berlaku perubahan. Tetapi di mana-mana juga tindak-tanduk pemimpin BN seolah-olah mengiyakan perkara ini. Ketika Abdullah Badawi mempertegaskan bahawa dia masih menerima sokongan padu daripada wakil rakyat BN dan beliau tidak akan mengalah, dalam masa yang sama beliau membayangkan kemungkinan kerajaannya akan jatuh. Dalam ucapan bajet, secara terbuka beliau bertegas akan mandat rakyat tidak akan dilepaskan, kemudian BPR dan LDHN pula diarahkan menyiasat wakil-wakil rakyat yang bakal melompat, dan akhirnya 49 orang anggota Kelab Penyokong BN dibawa ke Taiwan untuk mengikuti kursus pertanian.
Tindakan terbuka ini jelas memberitahu rakyat bahawa pemimpin BN termasuk Abdullah Badawi sendiri sangat percaya bahawa cerita lompat ini akan berlaku dan talian hayat BN akan tamat bila-bila masa. Sebagai ’control macho’, Abdullah Badawi bersuara sebaliknya. Ia sudah menjadi seperti orang yang bercakap besar, tetapi ketakutan akan bayang-bayang. Abdullah Badawi sudah tidak berani berjalan ke hadapan kerana takut akan hantu 16 September menggigitnya dari belakang. Maknanya, dalam apa suara pun, kehidupan Abdullah Badawi terpaksa pandang belakang!
Abdullah Badawi sebetulnya sangat tersepit dengan kondisi politik seperti ini. Di alam Umno, mesyuarat agung cawangan-cawangan mereka bukan sekadar cuba menghantar mesej perubahan, tetapi perpecahan yang parah sudah berlaku. Di kalangan komponen BN sendiri mereka bukan sekadar meluat dengan gelegat politik Umno, tetapi sudah hilang percaya kepada kepemimpinan Umno. Isu perkauman dibesar-besarkan supaya Umno boleh mengambil kesempatan ke atas suasana politik yang tidak menguntungkan mereka. Mungkin Umno berhasrat mengulangi semula 13 Mei 1969 jika keadaan politik mendesak. Dahulu, Tan Sri Syed Jaafar Albar menjadi juara membakar isu perkauman, hari ini ia diambil alih oleh pemimpin Umno Pulau Pinang.
Ketidakstabilan politik dalaman Umno dan BN memungkinkan cerita 16 September ini menjadi kenyataan. Gerakan politik Anwar Ibrahim mendapat sambutan hangat daripada pemimpin Sabah dan Sarawak yang selama ini menjadi nyawa politik BN. Jika pemimpin dari Borneo berubah sikap, bila-bila masa sahaja BN akan terlingkup. Bahkan, desas-desus juga tersebar bahawa golongan Anwariyun dalam Umno adalah antara yang akan meninggalkan kem Abdullah Badawi pada tarikh tersebut. Sebab itu, mereka yang terpilih dibawa berkursus di Taiwan, mungkin untuk meningkatkan penghayatan Ramadhan.
Kita tidak tahu apa cerita sebenar daripada rombongan kurus ke Taiwan itu, tetapi rakyat dimaklumkan bahawa ia adalah kursus pertanian yang telah lama dirancangkan. Anehnya, mengapa mereka memilih Taiwan. Selalunya negara yang lebih terkenal dengan industri pertanian di sebelah sini ialah Thailand, bukannya Taiwan. Ataupun Belanda, jika di Eropah. Taiwan lebih masyhur dengan perindustrian, kerana itu ketika Dr Mahathir merancang dasar industri negara, negara-negara timur dijadikan kiblat dalam Dasar Pandang Ke Timur. Saya tidak menolak bahawa pencapaian teknologi pertanian di Taiwan juga hebat sehingga pengeluaran makanan (beras) mereka mampu menampung keperluan dalam negeri. Tetapi sanggupkah wakil rakyat yang berkursus itu memberitahu rakyat berapa harga padi dan beras sekilo di Taiwan? Dan berapakah pendapatan rakyat Taiwan?
Setahu saya, teknologi pertanian yang paling canggih di Taiwan ialah teknologi penternakan babi. Taiwan mempunyai 5000 ladang ternakan babi yang canggih dan mampu menternak babi dalam satu-satu masa sebanyak 7 juta ekor babi. Taiwan juga terkenal sebagai pengekspot teknologi penternakan babi kepada negara-negara lain. Adakah para YB ini akan dibawa berkursus tentang cara-cara menternak babi yang baik, dalam selepas perubahan kerajaan kelak, mereka boleh menjadi pengurus ladang babi di Selangor. Jika benar mereka berkursus demikian, saya percaya Tan Sri Khalid tidak menolak pandangan saya. Dan salah seorang MP yang turut serta dalam rombongan tersebut ada memberitahu saya selepas lawatan di Taiwan ini, semua YB berkenaan akan dikursuskan di Macau pula. Tidak ada industri pertanian di Macau, melainkan pusat-pusat perjudian sahaja. Nampaknya, para YB akan mengikut jejak langkah bekas MP Silam, Datuk Osu Sukam selepas ini jika kursus di Macau berjaya.
Rakyat awal-awal sudah dapat membaca apa sebenar yang hendak dikursuskan di Taiwan dan Macau itu. Pemimpin BN tidak mahu mereka ’yang disyaki’ berada di Malaysia pada 16 September kerana takut-takut mereka meninggalkan BN. Jika mereka berbuat demikian, alamatnya berakhirlah kuasa politik BN. Abdullah Badawi tidak lagi dapat mengagihkan projek kepada anak menantunya. Yang terbaru ini, selepas Tan Sri Hassan merican bersara dari Petronas, khabarnya kem yang dikuasai menantunya akan mengambil alih menara berkembar itu. Jika rancangan ini hendak dijayakan, 16 September mesti digagalkan.
Ada pandangan yang mengatakan mustahil 16 September akan berlaku perubahan kerajaan kerana Parlimen tidak bersidang ketika itu. Soal ini mudah sahaja, bagi sebuah kerajaan yang bermaruah, apabila lebih separuh MP tidak lagi menyokong kerajaan yang ada, walaupun tidak melalui undi tidak percaya, Perdana Menteri patut berundur dari jawatannya. Minggu sudah, kerana isu yang lebih remeh, Perdana Menteri Jepun melepaskan jawatannya. Inikan pula jika lebih separuh daripada MP sudah menyatakan hilang percaya kepada ketua kerajaan, maka tidak ada pilihan baginya melainkan menyerahkan semula mandat kepada Seri Paduka.
Dalam tempoh terkini juga, untuk menstabilkan Umno selepas ditekan oleh parti-parti komponen BN yang bersifat perkauman, mereka cuba membawa masuk semula Tun Dr Mahathir. Muhyiddin Yassin selaku tukang runding nampaknya dikenakan syarat. Dr Mahathir bersetuju menyertai Umno semula, tetapi Muhyiddin mesti mendesak Abdullah Badawi berundur sebelum 2010. Inilah kos melepas yang terpaksa ditanggung oleh Abdullah Badawi jika dia mahu Dr Mahathir kembali bersama Umno. Jika Dr Mahathir mengambil sikap sebaliknya, Anwar pula akan mendesak Abdullah Badawi untuk berhenti dalam tempoh yang lebih segera – 16 September! Inilah ketakutan terbesar Abdullah Badawi dalam Ramadhan kali ini.
8 comments:
dan hantu itu terus menghantui puak umno dan barisan nasional hingga hari ini..
http://suarasaktii.wordpress.com
tarikh 16 september ni sebenarnya HANTU kat UMNO ke MALU kat PAKATAN RAKYAT? malu sbb tak jadi....fikirlah dengan ikhlas hati
gorila
Assalamualaikum,
Saudara, takde ape2 komen dari saudara berkenaan dengan tindakan Teresa Kok dari PKR berkaitan dengan penghapusan tulisan jawi dekat papan tanda? Bukan ke tulisan jawi merupakan salah satu cabang atau medium yang digunakan untuk menyebarkan ajaran Islam suatu masa dahulu (contoh, batu bersurat). Apa pendirian saudara? terima kasih.
gorila
mana tuan mahfuz ada jawapan gorila ooi..kan nak jaga hati kawan2 DAP dia tu..
http://writtenbyhim.wordpress.com/2008/09/19/teresa-released-paklah-should-reconsider-his-premiership/
mai kita sumbat pak sheikh dalam isa...
http://writtenbyhim.wordpress.com/2008/09/21/impose-isa-to-anwar-problem-solved/
Salam
1- Perang Saraf Anwar telah berjaya keatas Barisan Nasional. Itulah buah tangan DSAI yg menakutkan BN. Jadi perintah bonus untuk rakyat. Bukan namanya subsidi.
2- Tak hairan kalau bangsa lain inginkan cadangkan dihapuskan bahasa Jawi, jika dibandingkan pemimpin UMNO dahulu bernama Khir Johari melenyapkan terus bahasa Jawi disekolah.Bagaimana ?
3- ISA bukan bermaksud Ikut Suka Aku,tapi kena tanya Zaid Ibrahim.
Selamat Berpuasa serta mencari Malam Lailatul Qadr Dan Menyambut Hari Raya Eidul Fitr.
wuahahaha..ternak babi? rasa nya Mahfuz Omar ni meludah ke langit dan jatuh ke muka sendiri. Ha ha ha
rasanya PR yang ternak babi di Selangor, mungkin ini perjuangan islam PR?
assalamualaikum saudara, tlg la tulis artikel ttg pasca sept16 ni...resah2...
Post a Comment