Tuesday, January 27, 2009

LCCT Labu: Sime Darby bohong atau Najib bohong?

Pentadbiran ekonomi negara kini lintang pukang berikutan pelbagai kenyataan bercanggah yang dibuat oleh pemimpin kerajaan dan para pegawai yang terlibat.

"Contohnya, dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Sime Darby menyatakan cadangan pembinaan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Labu telah mendapat lampu hijau daripada kerajaan sedangkan (Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) pula menyatakan kerajaan belum membuat sebarang keputusan tentang status pembinaan LCCT itu,"

"Siapa yang berbohong? Sime Darby atau Najib?"

"Sime Darby dan Air Asia yang akan memanfaatkan LCCT Labu, jika ia disiapkan nanti, bertanggungjawab kepada rakyat untuk mengemukakan dokumen yang membuktikan bahawa kerajaan telah memberi lampu hijau untuk pembinaan tersebut,"

Jika dokumen tersebut gagal dikemukakan dan jika betul belum ada sebarang keputusan seperti yang dinyatakan oleh Najib, lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi Sime Darby semuanya mesti meletakkan jawatan berikutan kenyataan bohong atas nama Sime Darby itu.

"(Tun) Musa Hitam adalah orang yang pertama mesti meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Sime Darby. Mereka semua bertanggungjawab atas pembohongan Sime Darby itu,"

"Sebab itu mesti meletakkan jawatan. Pembohongan GLC memalukan negara kerana ia memberi gambaran tahap akauntabiliti dan kebolehpercayaan yang begitu rendah dalam sektor ekonomi dan perniagaan dalam negara ini.

"Kalau GLC pun berbohong, tindakan itu pasti menakutkan pelabur untuk melabur dalam negara ini. Berbohong pula kepada Bursa Malaysia.

"Kalau GLC boleh berbohong kepada Bursa Malaysia dan Suruhanja Sekuriti pula tidak bertindak segera, ia pasti menjadikan tahap kebolehpercayaan terhadap sektor ekonomi dan perniagaan negara ini di kalangan para pelabur jatuh merudum,"

Antara pemegang saham dalam Sime Darby ialah Skim Amanah Saham Bumiputera, Permodalan Nasional Berhad, Felda, Amanah Saham Wawasan 2020, Kumpulan Wang Persaraan, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Sekim Amanah Saham Nasional, Kumpulan Wang Simpana Pekerja (KWSP) dan Yayasan Pelaburan Bumiputera.

Jika Sime Darby tidak berbohong, ia membuktikan Najiblah yang sebenarnya berbohong.

"Semua pihak tahu, cadangan pembinaan LCCT Labu itu mendapat bantahan banyak pihak. Jika Najib berbohong untuk meredakan bantahan umum dan mendakwa kerajaan beliau membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu, beliau mesti meletak jawatan,"

"Ketika rakyat Kuala Terengganu memberikan undi tidak percaya kepada beliau yang memimpin kempen Barisan Nasional (BN) di situ dan selepas itu jika Najib berbohong pula untuk melindungi keputusan salah kerajaan yang turut dipimpinnya, beliau tidak ada sebab lagi untuk tidak meletak jawatan.

"Negara ini tidak mampu lagi menghadapi penganiayaan demi penganiayaan pemimpin pembohong. Jika Najib berbohong, beliau mesti berundur!"

Sunday, January 25, 2009

Jangan biar rakyat laungkan kata-kata "samseng, pembunuh beruniform"

Setiap kali membaca laporan yang mendakwa pihak polis menyiksa orang kena tahan (OKT) sehingga terbunuh, ahli-ahli PAS semakin teringat peristiwa Memali .

"Umpamanya bila kita mendengat kes kematian Kugan Ananthan di Balai Polis Taipan, Subang Jaya, kita semakin teringat bagaimana Asy-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan para pengikutnya yang tidak dibuktikan kesalahan mereka diserang dan dibunuh oleh pihak polis atas arahan para pemimpin Umno.

"Kita juga semakin teringat bagaimana mereka yang ditahan selepas pembunuhan beramai-ramai itu disiksa dengan begitu kejam. Senator Mohamad Yusuf Husin adalah salah seorang yang disiksa dengan begitu teruk dan beliau boleh menceritakannya,"

Jumaat lalu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini mengklasifikasikan kes kematian Kugan Ananthan dalam tahanan polis sebagai kes bunuh.

Kugan ditahan di Kajang pada 15 Januari lalu berhubung kes kecurian kereta. Lima hari kemudiannya, dia meninggal dunia ketika disoal siasat di Balai Polis Taipan, Subang Jaya.

Keluarganya tidak berpuas hati dengan kematian Kugan mendakwa dia didera polis kerana ada banyak kesan kecederaan pada tubuhnya walaupun laporan bedah siasat menunjukkan kematiannya adalah akibat paru-paru berair.

Bedah siasat kedua ke atas mayat Kugan dijadualkan dilakukan hari ini di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

"Walaupun beliau ditahan berhubung kes kecurian kereta, tetapi apabila Peguam Negara mengklasifikasikan kematian beliau sebagai kes bunuh dan beliau pula berada di dalam lokap polis, Menteri Dalam Negeri bertanggungjawab mengarahkan penyiasatan dipercepatkan dan beliau tidak boleh membiarkan masyarakat terus melaungkan kata-kata pembunuh bergaji, pembunuh beruniform, samseng beruniform dan sebagainya,"

Jika benar Kugan dibunuh oleh pihak polis yang menyoalsiasat beliau, PAS mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan itu.

"Kita juga menuntut kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas ke atas pembunuhan itu.

"Kita bimbang ada tangan-tangan luar yang mengarahkan supaya Kugan diperlakukan apa sahaja untuk mendapatkan maklumat darinya kerana beliau dilaporkan ditangkap berikutan kecurian kereta-kereta mewah,"

Suruhanjaya tersebut juga hendaklah diberi kuasa untuk menyiasat semua kejadian yang sama dengan kejadian pembunuhan Kugan

Pada 29 Disember 2003, ketika beliau baru memegang jawatannya sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi mengumumkan, kerajaan akan menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja bagi mengenal pasti langkah-langkah yang boleh diambil bagi menjadikan PDRM sebagai satu pasukan penguat kuasa undang-undang yang berwibawa dan dihormati.

Suruhanjaya tersebut kemudiannya ditubuhkan menurut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 dan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Mohamed Dzaidin dan 15 anggota yang lain.

Suruhanjaya yang ditubuhkan pada 4 Februari 2004 itu mengemukakan 125 cadangan kepada kerajaan untuk membaiki imej polis.

Salah satu cadangan utama Suruhanjaya tersebut adalah untuk kerajaan mewujudkan IPCMC (Independent Police Complaints and Misconduct Commission) dan tarikh akhir penubuhannya dicadangkan pada 31 Mei 2007.

Cadangan tersebut ditentang hebat oleh pihak polis sendiri dan akhirnya cadangan tersebut tinggal cadangan sahaja

Saturday, January 24, 2009

MELAYU KEHILANGAN TANAH KERANA MU UMNO!

TIDAK seperti di Permatang Pauh yang kecoh dengan isu liwat, suasana di Kuala Terengganu lebih ‘geger’ dengan isu hudud dan pemberian hak milik tanah kepada orang bukan Melayu oleh Kerajaan Perak. Kenyataan Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa bahawa melaksanakan hudud adalah agenda perjuangan PAS dibesar-besar oleh media untuk menakutkan pengundi bukan Islam di bandar raya warisan pesisir air itu. Di kalangan pengundi Melayu pula, mereka digemparkan dengan tindakan kerajaan Perak yang dipimpin oleh PAS memberikan hak milik tanah kepada orang-orang Cina yang dianggap merugikan orang Melayu.


Saya tidak nampak apa relevannya isu-isu perkauman seperti ini terus dibangkitkan sedangkan dalam masa yang sama kita bercakap tentang kontrak sosial yang mana kita mengiktiraf bangsa-bangsa bukan Melayu sebagai warga negara. Kelas keduakah status kewarganegaraan orang Cina dan India? Atau kerana mereka bukan ahli BN, maka tidak layak bagi mereka? Memang menjadi senjata politik Umno semenjak zaman pra merdeka lagi untuk menajamkan isu-isu perkauman supaya Umno terus relevan. Mereka membangkitkan isu-isu kepentingan Melayu dan mengangkat keris apabila berhadapan dengan pengundi Melayu, kemudian membesarkan isu-isu agama apabila menemui pengundi bukan Melayu. Inilah kejahatan politik Umno yang sudah ditolak oleh rakyat!

Umno mungkin berterima kasih kepada Raja Dr Nazrin Shah, Raja Muda Perak apabila baginda membangkitkan isu kampung baru ketika menutup Kongres Ekonomi Islam Ketiga baru-baru ini. Memang satu realiti bahawa Raja-raja Melayu tidak senang dengan Racangan Briggs yang membuka kampung-kampung baru untuk menempatkan orang-orang Cina yang tinggal di pinggir hutan. Tujuannya untuk mengelakkan orang Cina dipengaruhi komunis, tetapi Raja-raja Melayu melihatnya dari aspek hak tanah orang Melayu yang terjejas kerana dasar ini dilaksanakan oleh Hendry Gurney, Setiausaha Negara British di Palestin. Raja-raja Melayu takut negara ini menjadi seperti Palestin jika bangsa asing diberikan hak ke atas tanah.


Isu ini bukan hanya isu Raja-raja Melayu, tetapi isu parti-parti Melayu ketika itu juga. Malangnya, ketika orang-orang Melayu mempertahankan hak ketuanan Melayu di negara ini sebelum merdeka dahulu, siapakah yang mendesak hak sama rata diberikan kepada orang bukan Melayu? Bukankah Umno dahulu bermati-matian mahu orang bukan Melayu diterima kerakyatan mereka secara jus soli? Dato’ Onn Jaafar pernah meletakkan jawatan dalam Umno apabila ada ahli Umno menolak dasar jus soli ini dan akhirnya beliau keluar Umno apabila cadangannya untuk membuka keahlian Umno kepada orang bukan Melayu ditolak. Kemudian, dalam National Convention yang dipimpin oleh Umno pada 1954, cadangan PAS tentang kerakyatan dan hak mengundi untuk orang bukan Melayu telah ditolak kerana Umno mahu orang-orang bukan Melayu diterima sebagai rakyat negara ini.


Suasana politik pada masa itu dalam semangat kebangsaan telah membentuk kesedaran orang Melayu ke atas hak ketuanan mereka. Parti-parti kiri berjuang terus supaya hak ini dibela, tetapi dinodai oleh Umno. Raja-raja Melayu sendiri tidak berpuas hati dengan pendekatan Umno ketika itu sehingga Umno bermasalah dengan beberapa istana. Tetapi segalanya telah selesai apabila kita menerima orang bukan Melayu sebagai rakyat negara ini secara sah melalui Perlembagaan 1957. Ini adalah kontrak sosial yang memberikan kedudukan sama taraf antara orang Melayu dan bukan Melayu, walaupun dalam hal tertentu orang Melayu diberikan hak keistimewaan. Inilah realiti yang mesti dan terpaksa kita terima hari ini. Kerana Umno telah menyerahkan hak ini, maka kita perlu melayani rakyat bukan Melayu sewajarnya.


Memang senang untuk kita mempersoalkan tentang kewajaran kerajaan Perak memberikan hak milik 999 tahun kepada penduduk Kampung Baru di Perak yang tidak berbangsa Melayu. Soalnya, mereka adalah rakyat negara ini dan mereka berhak. Ia bukan tanah baru yang dibuka untuk mereka, tetapi tanah yang didiami berpuluhan tahun, mungkin semenjak Rancangan Briggs lagi. Apakah kerana mereka berbangsa Cina, maka kita merasakan orang Melayu terancam. Mengapa Umno tidak berfikiran demikian 50 tahun dahulu ketika semua orang Melayu berfikir begitu. 50 tahun dahulu Umno merasakan orang Cina dan India perlu diberikan hak kerana mereka adalah penyokong Perikatan. Tetapi ketika semua orang Melayu sudah terbuka menerima hakikat negara ini adalah Malaysia, mengapa Umno begitu kolot untuk terus mengapikan isu perkauman yang sempit? Kerana Cina bersama Pakatan Rakyat mungkin!


Jika Umno mahu mempolitikkan apa yang dititahkan oleh Raja Muda Perak itu, mereka harus mencermin diri dahulu. Sedar atau tidak kita bahawa hak ketuanan Melayu ke atas tanah telah dijamin melalui Tanah Rezab Melayu. Saya ingin bertanya kepada kerajaan BN berapakah luas tanah rezab itu sekarang berbanding 50 dahulu? Mengapakah tanah-tanah-tanah milik melayu di Pulau Pinang sudah hampir pupus? Kerana DAP-kah? Atau kerana pengkhianatan Umno. Tanah rezab di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan negeri-negeri lain masih banyakkah? Bukankah telah adalah peraturan supaya setiap tanah rezab yang diambil alih harus diganti tetapi mengapa ia telah berkurangan? Lupakah Umno bahawa 139,409 hektar tanah rezab melayu di negeri-negeri tersebut telah dibatalkan oleh kerajaan BN dahulu dan hanya 77,208 hektar sahaja yang diganti semula. Masih terdapat baki 62,201 hektar yang perlu diganti oleh kerajaan BN dan ini menunjukkan kerajaan BN gagal untuk mempertahankan tanah rezab melayu sebagai benteng akhir kekuatan politik melayu. Sekarang ini pun, Umno sedang berusaha untuk menghalau orang-orang Melayu di Kampung Baru, Kuala Lumpur supaya mereka dapat menjadikannya Bukit Bintang kedua. Upayakah orang-orang Melayu menguasai pusat-pusat perdagangan jika ia diwujudkan di kampung baru?


Dulu kita pernah digemparkan oleh tindakan salah seorang calon Timbalan Presiden Umno yang dikatakan menggadai tanah-tanah orang Melayu kepada bangsa asing termasuk bukan rakyat negara ini di Johor. Kalau tanah di Johor boleh sahaja dijual kepada warga Singapura dan Hong Kong, mengapa tanah di Ipoh tidak boleh diberi hak milik kepada warga sendiri? Adakah orang-orang Cina di kampung-kampung baru di Perak tidak memberikan ’habuan’ kepada pemimpin Umno untuk hak milik tanah itu, maka mereka tidak berpuas hati. Inilah realiti negara kita bahawa iu-isu hak dan ketuanan ini sengaja dibangkitkan untuk kepentingan politik dan mengisi poket sahaja, bukannya untuk kepentingan bangsa dan negara.


Saya menjunjung kasih kepada Raja Muda Perak di atas titahnya yang mengingatkan kita satu hakikat sejarah, tetapi ia tidak bolh dilihat sebagai sindiran kepada kerajaan Perak yang diketuai PAS. Tetapi ia harus direnung sebagai iktibar terhadap kegelojohan dan kerakusan pemimpin Umno dalam menggadai kepentingan orang Melayu di negara ini. Jangankan tanah, bahasa, pendidikan, politik, sosial dan ekonomi orang Melayu semuanya sudah hampir tergadai angkara Umno. Umno harus memberhentikan kegelojohan mereka sekarang dan rakyat perlu bertindak untuk menamatkan riwayat politik Umno!


YB Dato’ Hj Mahfuz Omar

Ahli Parlimen Pokok Sena

Merangkap Ketua Penerangan PAS Pusat.

Istiadat Pengurniaan Bintang Dan Pingat Kebesaran Dato' Setia DiRaja Kedah ( DSDK )




Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawag Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Darul Aman ke 81

Wednesday, January 21, 2009

Bertaqwalah kepada allah s.w.t.

Hadith :
Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah mengasihi hambanya yang bersifat Taqwa, kaya jiwa serta tidak menunjolkan diri (merendah diri walaupun berpangkat tinggi)”.
Yang dimaksudkan dengan kaya disini ialah kaya jiwa bukan kaya harta sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith.

Riwayat Muslim

Huraian
1. Tiga perkara yang apabila dilakukan oleh seseorang maka ia dikasihi oleh Allah S.W.T. Pertama: Bertaqwa
Kedua : Kaya Jiwa (Berakhlak mulia)
Ketiga : Tidak menonjolkan diri
2. Setiap umat Islam hendaklah sentiasa memperbaiki dirinya dari masa ke semasa dengan menanamkan tiga sifat tersebut diatas secara berperingkat-peringkat.
3. Islam menyuruh umatnya supaya bertaqwa kepada Allah dan mempunyai sifat-sifat yang mulia dan berbudi bahasa, jangan bersifat sombong, ego dan sebagainya yang boleh menjatuh dan merendahkan mertabat kemuliaan manusia itu sendiri.

Monday, January 12, 2009

PAS desak Malaysia usir Duta Amerika

PAS mendesak kerajaan Malaysia segera mengusir keluar Duta Amerika dari negara ini kerana negara tersebut bersekongkol dengan Israel menyerang Gaza.

Kerajaan Malaysia perlu mengambil langkah sedemikian sebagai tanda komitmen mereka dalam isu keganasan rejim Zionis terhadap penduduk Gaza.

"Jika kerajaan Malaysia serius membantah tindakan Israel dan apa yang dipersetujui Amerika, tindakan mengusir Duta Amerika perlu segera dilakukan.

"Jika enggan berbuat demikian bermakna mereka (kerajaan Malaysia) merestui apa yang diputuskan oleh Amerika iaitu membenarkan Israel terus menyerang Gaza,"

Tindakan sedemikian perlu dilakukan selain dari tindakan memboikot barangan dari Amerika.

Selain dari mengusir Duta Amerika, PAS juga mendesak agar kerajaan Malaysia memanggil Duta Mesir dan mendesak Mesir agar membuka sempadan di Rafah agar bantuan dapat disalurkan kepada Palestin.

"Jika Mesir enggan berbuat demikian, Malaysia boleh mendesak negara-negara OIC supaya memboikot Mesir,"

Gaza: Dewan Rakyat mesti putuskan pelan bertindak tegas, bukan retorik

Sidang Khas Parlimen mengenai Gaza tidak seharusnya menjadi pentas retorik sahaja sebaliknya mestilah memutuskan pelan bertindak yang berkesan terhadap Israel dan penanungnya Amerika Syarikat

"Kita berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang akan mengemukakan ucapan dan usul hari ini akan mengemukakan dasar luar yang yang lebih realistik dan praktikal dalam membantu wilayah Palestin yang ditakluki.

"Rakyat berharap Parlimen tidak menjadi medan lip service atau kata-kata manis serta retorik kosong sahaja,"

Saya berharap Perdana Menteri membuktikan keikhlasan tanpa sebarang rasa takut kepada gertakan kuasa-kuasa besar seperti Amerika.

"Kerajaan mesti mengambil tindakan diplomatik yang lebih tegas terhadap Duta Amerika di negara ini.

"Lebih dari itu, Parlimen juga hendaklah memutuskan tindakan ekonomi yang lebih tegas terhadap Amerika terutamanya,"

keputusan rakyat untuk memulaukan barangan Amerika dapat diangkat menjadi pendirian rasmi negara seperti kempen "Buy British Last" (barangan British pilihan terakhir) yang dilaksanakan oleh kerajaan ketika Tun Dr Mahathir Mohamad mula menjadi Perdana Menteri dahulu.

"Pada masa ini, kita masih melihat jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan membeli minyak dari syarikat-syarikat Amerika seperti Caltex. Kerajaan hendaklah mengarahkan jabatan-jabatan dan agensi-agensinya memulaukan apa sahaja barangan dan perkhidmatan Amerika selagi ada pilihan lain.

"Kempen memulaukan barangan Amerika juga hendaklah diangkat oleh Parlimen menjadi kempen negara,"

Parlimen juga, hendaklah memutuskan supaya negara melaksanakan cadangan Dr Mahathir supaya memulaukan Dollar Amerika dalam sebarang urusan di peringkat antarabangsa.

"Paling penting, Parlimen juga hendaklah memutuskan supaya Malaysia tidak memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Amerika yang dianggap oleh banyak pihak sebagai laluan yang lebih mudah penjajahan ekonomi negara kuasa angkuh itu,"

Saya juga berharap semua Parlimen ajuga akan menubuhkan pasukan pelobi di peringkat antarabangsa yang dianggotai oleh semua anggota kerajaan dan pembangkang yang berpengaruh untuk melobi negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pertaubuhan Negara-Negara Berkecuali (OIC) mengadakan sidang khas Parlimen masing-masing untuk menyokong perjuang rakyat Palestin bagi memutuskan tindakan yang tegas terhadap Israel dan Amerika.

Tangkap penyokong Palestin: Rakyat KT mesti hukum BN

Para pengundi di Kuala Terengganu bertanggungjawab menghukum sikap hipokrit kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menahan 21 orang dalam perhimpunan nyalaan lilin menyokong mangsa perang di Palestin dan Sri Lanka

Polis menahan 21 orang termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Damansara yang juga Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Mohd Nasir Hashim, Anggota Parlimen Klang Charles Santiago serta Penyelaras Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) Arutchelvan Subramaniam serta beberapa aktivis dari Suaram dan Jerit.

"Kerajaan BN mendakwa ia menyokong perjuangan rakyat Palestin yang kini diganasi oleh Israel. Tetapi pada masa yang sama, ia bertindak zalim terhadap rakyat yang berhimpun menyokong mangsa keganasan di Palestin dan Sri Lanka.

"Tindakan itu tindakan zalim, kejam. Tidak ada istilah lain yang lebih tepat. Rakyat tidak boleh lagi berdiam diri terhadap kezaliman kerajaan BN itu dan para pengundi dalan pilihan raya kecil Kuala Terengganu mesti menghukum tindakan kejam itu dan jangan sama sekali mengundi BN,"

Kerajaan BN, bukan sahaja menentang arus dunia yang menyuarakan bantahan besar-besaran terhadap kekejaman dan keganasan Israel, malah tidak menghormati perasaan dan keprihatinan mereka yang berhimpun menentang kedurjanaan itu.

"Kerajaan BN bukan sahaja tidak menghormati mereka yang berhimpun itu, malah tidak menghormati gelombang kemanusiaan di seluruh dunia yang menentang keganasan Israel dan lebih dari itu, tidak menghormati rakyat Palestin yang berjuang, berdarah dan terbunuh untuk memerdekakan tanah air mereka,"

adakah kerajaan BN hendak mengambil hati Amerika Syarikat dengan tindakan menzalimi mereka yang berhimpun menyokong mangsa perang di Palestin dan Sri Lanka itu?

"Adakah kerajaan BN menerima isyarat dari Amerika supaya menyekat pembelaan dan ruang bantahan terhadap keganasan Israel ke atas rakyat Palestin?

"Adakah kerajaan BN diberi amaran oleh Amerika supaya jangan membiarkan gelombang bantahan di negara ini bertambah meluas dan membesar sehingga menjejaskan kepentingan ekonomi syarikat-syarikat dari negara penaung keganasan Israel itu di negara ini? "

Saturday, January 10, 2009

Pembedahan Kecil





Hari : Sabtu
Tarikh : 10 Januari 2009
Masa : 9.00 am - 11.30 am

Selesai pembedahan , membuang ketumbuhan kecil .

Doakan kesihatan dan kesejahteraan saya .

Terima kasih diucapkan kepada semua yang telah datang menziarahi saya sepanjang berada di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Star




Wednesday, January 7, 2009

Pemimpin Yang Adil Mendapat Kedudukan Tinggi Disisi Allah

Hadith :
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:”Sesungguhnya orang-orang yang berlaku adil di sisi Allah akan menduduki beberapa mimbar yang diperbuat daripada cahaya. Mereka ialah orang-orang yang berlaku adil di dalam pemerintahan, ke atas keluarga dan apa-apa yang ditadbir oleh mereka”.

Riwayat Muslim

Huraian
1. Allah akan memberikan tempat yang paling mulia bagi sesiapa yang berlaku adil semasa hidup di dunia sama ada di dalam urusan negara atau pun rumah tangga atau sesiapa yang berada di bawah tadbirannya.
2. Islam menuntut umatnya berlaku adil terhadap semua golongan manusia tanpa mengira umur, pangkat dan darjat bahkan melarang keras sebarang perbuatan zalim, penindasan dan pilih kasih.
3. Kepimpinan adalah satu tugas yang amat berat kerana seseorang itu bertanggungjawab kepada Allah dan manusia. Oleh itu sewajarnyalah ia tidak menjadi rebutan kecuali bagi orang yang benar-benar sanggup memikulnya.

Tuesday, January 6, 2009

Jika Dr M anggap pilihan buruk, pengundi mesti tolak Wan Farid

Jika bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir menyifatkan calon Barisan Nasional (BN) sebagai "benar-benar pilihan yang sangat buruk," para pengundi di Kuala Terengganu mesti menolaknya dalam pilihan raya kecil di bandaraya itu 17 Januari nanti.

"Dr Mahathir dengan jelas mendedahkan bahawa (Datuk) Wan Ahmad Farid (Wan Salleh) akan menjadi proksi dan alat kepentingan pihak tertentu untuk mengepung (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) bila beliau menjadi Perdana Menteri kelak, bukan untuk kepentingan rakyat dan pengundi Kuala Terengganu.

"Kalau Bekas Presiden Umno sendiri yang menegaskan bahawa Wan Ahmad Farid dipilih sebagai calon untuk kepentingan pihak tertentu, bukan untuk kepentingan pengundi dan rakyat Kuala Terengganu, saya yakin pengundi Kuala Terengganu akan menolak orang yang tidak dicalonkan demi kepentingan mereka,"

Berdasarkan apa yang didedahkan oleh Dr Mahathir itu, saya menyelar Umno dan BN kerana langsung tidak mementingkan calon yang memenuhi kepentingan dan aspirasi rakyat dan hanya mementingkan kehendak dan kemahuan pemimpin parti itu sahaja.

"Sikap Umno dan BN berbeza sama sekali dengan PAS yang memilih calon yang benar-benar diyakini dan terbukti berkhidmat untuk kepentingan rakyat.

"Sebagai calon pembangkang, jika Mohd Abdul Wahid Endut tidak berkhidmat untuk kepentingan mereka, rakyat tidak akan memilihnya sebagai Adun Wakaf Mempelam selama lima penggal berturut-turut dan dengan majoriti yang besar pula,"