Wednesday, May 7, 2008

Mukriz mulakan 'serang hendap' terhadap PM dalam isu BSA Tahir?

Sekonyong-konyong anak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Mukriz (BN Jerlun) bertanyakan soalan dalam sesi soalan dan jawab lisan di Dewan Rakyat mengenai persoalan mengapa BSA Tahir dianggap sebagai pengancam kepada keselamatan negara hingga ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Meskipun sebelum ini rakyat mengetahui ISA bukan sahaja digunakan di zaman kepimpinan Dato'Seri Abdullah Ahmad Badawi, tetapi ianya digunakan sejak ia digubal pada tahun 1960 termasuk semasa zaman pemerintahan bapanya.

Namun tindakan ke atas BSA Tahir tetap menjadi perbualan hangat kerana isu ini tentunya boleh mengusarkan 'kerajaan tiga beranak' yang sering dipertikai Mukriz dan bapanya (Tun Dr Mahathir).

BSA Tahir amat dikenali sebagai tahanan ISA yang kini meringkuk di kem Tahanan Kamunting (Kemta) kerana didakwa terbabit dengan sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan menjual komponen nuklear kepada beberapa negara.

Pastinya pejuang anti ISA paling tidak lupa kepada satu dakwaan yang pernah mengaitkan antara anak Perdana Menteri, Kamaluddin Abdullah dengan BSA Tahir.

Ketika itu pejuang anti ISA mempertikaikan bagaimana Kamaluddin terlepas dengan akta tersebut sedangkan beliau didakwa ada kaitan dengan BSA Tahir.

Begitupun Menteri Dalam Negeri (KDN), Syed Hamid Albar hari ini sedikitpun tidak menyentuh soal pembabitan tersebut malah menyatakan bahawa BSA Tahir sebenarnya ditahan kerana dakwaan pembabitan dengan sebuah rangkaian yang mahu membangunkan nuklear.

Kata Syed Hamid, resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa konvensyen lain menghalang negara-negara lain membangunkan kuasa nuklear.

Tindakan menahan BSA Tahir di bawah ISA adalah bagi menghalang berlakunya ancaman terhadap soal keselamatan negara selain memastikan kepentingan negara diutamakan, kata Syed Hamid.

Mengulas isu ini, Mahfuz Omar (bekas tahanan ISA) yang kini menjadi ahli Parlimen Pokok Sena berkata, penahanan BSA Tahir adalam untuk menutup mulut beliau berhubung penglibatan tahanan ISA itu dalam syarikat milik anak Perdana Menteri (Scomi).

"Saya kira adalah tidak wajar untuk beliau ditahan dalam keadaan tidak ada tindakan dibuat ke atas Kamaluddin dan syarikat tersebut sedangkan beliau dikatakan ada kaitan antara mereka,"

"Adalah tidak adil kita mangsakan BSA Tahir hanya kerana tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat.Berilah pengadilan kepada BSA Tahir, kalau betul ada kesalahan yang jelas dilakukan dan biarlah mahkamah yang menentukan jika beliau bersalah.

"Paling tidak pun pengadilan perlu diberikan untuk setidak-tidaknya mengetahui untuk apa komponen nuklear itu dihantar ke Libya, dan siapa yang terbabit," katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa PAS dan Pakatan Rakyat sekali-kali tidak pernah bersetuju dengan penggunaan ISA ke atas mana-mana individu dalam negara ini.

Baginya tidak kira siapa yang bersalah, atau disyaki bersalah mereka perlu dihadapkan di mahkamah terbuka untuk diadili.

Namun penggunaan ISA kini hanyalah untuk menutup beberapa perkara yang mungkin akan memberi kesan kepada kepentingan politik pemerintah sahaja, kata Mahfuz.

Beliau seterusnya memuji keberanian Mukriz dalam bertanyakan soalan yang sebenarnya adalah dilihat bertentangan dengan dasar kerajaan BN.

Baginya sikap berani ahli Parlimen Jerlun ini boleh dicontohi oleh ahli Parlimen BN yang lain, dan beliau percaya soalan itu adalah soalan yang lahir dari Mukriz sendiri.

Namun Mahfuz tidak mahu mengulas kemungkinan soalan itu ditujukan MUkriz sebagai polemik kepada Perdana Menteri selepas umum mengetahui 'perang dingin' antara Tun Dr Mahathir dengan Perdana Menteri.

No comments: