Thursday, May 8, 2008

Mahfuz ingatkan kerajaan bijak kendalikan sumber minyak sawit

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Hrkh) - Mahfuz Omar (PAS Pokok Sena) mengingatkan kerajaan agar mengambil langkah berjaga-jaga terhadap keperluan menjadikan sumber komoditi sawit sebagai satu keperluan makanan dan bahan api (Biodiesel).

Menurutnya, dalam keadaan dunia kini menghadapi krisis bekalan makanan yan meruncing, Malaysia perlu bijak memastikan sumber bahan makanan termasuk hasil dari sawit ini tidak menjejaskan keperluan bahan makanan.

Beliau berkata demikian ketika mengajukan soalan tambahan kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato' Peter Chin Fah Kui semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, mutakhir ini ada kecenderungan pihak pengeluar menggunakan sawit sebagai bahan api (biodiesel), malah ada kajian di barat kini yang mahu menggunakan padi dan jagung sebagai bahan api.

Hal ini katanya akan menyumbang kepada krisis makanan yang bakal memangsakan Malaysia antara negara yang mempunyai industri perladangan sawit yang terkemuka.

Menjawab soalan itu Chin Fah Kui berkata, kerajaan sentiasa memantau perkembangan itu dan memastikan bekalan minyak sawit bagi kegunaan industri makanan terjamin.

No comments: