Thursday, May 21, 2009

Satu Umno pun gagal, jangan cakap Satu Malaysia

Penindasan sesama Umno sehingga menyebabkan ramai yang bertindak keluar dari parti itu adalah bukti awal yang jelas tentang kegagalan hasil mengelamun Perdana Menteri yang diriuh-riuhkan sebagai konsep Satu Malaysia.

"Dalam Umno pun (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) gagal mewujudkan Satu Umno, tidak perlu cakaplah tentang Satu Malaysia," katanya mengulas tindakan ahli-ahli Umno di Perlis yang bertindak keluar dari parti itu dan menyertai menyertai pembangkang.

Saya menggesa rakyat segera sedar tentang sifat sebenar Umno.

"Sesama Umno, sesama Melayu pun ditindas, dipecat dan dizalimi, tidak ada lagi keadilan yang boleh diharapkan dari Umno yang kelihatan semakin bersungguh-sungguh mempelopori penindasan ke atas sesiapa sahaja yang tidak disukainya,"

Saya mengalu-alukan kebijaksanaan ahli-ahli Umno yang keluar dari parti itu dan menyertai Pakatan Rakyat (PR). "Dengan penuh ketulusan kita menghulurkan tangan kepada mereka dan saya yakin tindakan mereka itu pasti mengukuhkan lagi tali silaturrahim antara sesama umat Islam dan rakyat Malaysia,"

Krisis Perak, bimbang ada campur tangan di Mahkamah Rayuan esok

Saya ingin melahirkan rasa kebimbangan sebarang campur tangan Umno/BN terhadap keputusan Mahkamah Rayuan esok berhubung permohonan Dato Seri Ir Nizar Jamaluddin membatalkan penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan Nizar selaku Menteri Besar Perak yang sah.

Semacam ada signal yang telah dilontarkan mengenai hal itu daripada kenyataan yang dibuat Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak apabila menyatakan hanya akan berbincang dengan Pakatan Rakyat selepas keputusan Mahkamah Rayuan esok. Kita bimbang jika peristiwa campur tangan Umno/BN berulang kembali seperti dalam kes-kes perbicaraan Dato Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998, kes Pita Lingam, dan kita bimbang dengan kedudukan Ketua Hakim Negara, Zaki Tun Azmi yang jelas ahli Umno dan pernah memegang jawatan pentang dalam satu lembaga dalaman Umno.

Petunjuknya mudah apabila hakim yang akan membuat keputusan esok ialah mereka yang didakwa pernah terlibat dalam kes Pita Lingam, dan hal ini membuatkan persepsi kini mula berlegar akan keraguan keputusan esok.

Saya bimbang dengan kenyataan itu dan merasakan keputusan esok menyelebahi Dato Dr Zambry Abdul Kadir, dan kenyataan Najib bahawa akan berbincang dengan pakatan selepas keputusan esok hanyalah untuk menjadikan pakatan sebagai pihak yang tertekan.

Saya pasti jika perbincangan diadakan dengan Nizar selaku MB yang sah, pastinya BN pula yang berada dalam keadaan tertekan

Saya menggesa pihak kehakiman agar menyetujui permohonan Nizar supaya kes esok didengar dan diputuskan oleh panel lima orang hakim dan bukannya seorang. Lima hakim juga perlu dari kalangan mereka yang berintegriti, bebas dari kaitan dengan kes-kes rasuah atau sebagainya yang ada kepentingan mana-mana pihak.

Begitupun, jika keputusan esok menyebelahi Zambry, beliau masiah berharap jika BN mempunyai maruah dan mahu dilihat bersih, BN perlu mencadangkan pembubaran Dun.

Terdahulu Peguam Leong Cheok Keng, yang mewakili Mohammad Nizar mengesahkan telah menghantar surat permohonan itu melalui faks ke pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan.

Alasan permohonan itu ialah kerana kes tersebut, yang ditetapkan pendengarannya Khamis ini, membabitkan kepentingan awam, selain melibatkan isu dan persoalan perlembagaan, katanya.

Wednesday, May 20, 2009

BN beri alasan, bukan jawapan

Keputusan Barisan Nasional (BN) tidak meletak calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti dengan alasan tidak mahu mengikut rentak politik Pakatan Rakyat serta tidak mahu membazirkan wang rakyat adalah tidak munasabah

Keputusan BN itu juga membuktikan bahawa UMNO Pulau Pinang yang diketuai Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak berkemampuan untuk menarik sokongan rakyat khususnya di Penanti serta di Pulau Pinang.

BN bukannya memberi jawapan, tetapi alasan kepada penyokong-penyokongnya di Penanti selain untuk menyembunyikan ‘ketakutan’ bagi menghadapi kekalahan seterusnya.

“Pilihan raya tetap juga akan diadakan jika ada pencalonan dari calon bebas dan wang akan turut digunakan, dan alasan BN bahawa tidak mahu membazirkan wang rakyat adalah tidak munasabah.

"Tidak ada bezanya, jika BN tidak bertandingpun, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis akan turut juga bertugas dan mengawal keselamatan, jadi di mana rasionalnya tindakan BN tidak mahu meletakkan calon di Penanti,”

Kos pilihan raya akan lebih kurang sama jika pilihan raya diadakan kerana melibatkan banyak pihak dan menggunakan banyak petugas SPR dan polis.

“Perkara ini sama saja. Ini bukan jawapan, tapi alasan untuk ‘menghalalkan’ sebab mereka tidak bertanding kerana mereka sudah tahu jika bertanding, pasti BN kalah,”

Tuesday, May 19, 2009

BN cenderung bubar DUN Perak?

Kata sepakat dalam Barisan Nasional (BN) memutuskan bahawa walaupun keputusan mahkamah rayuan Khamis ini memihak kepada parti itu, Sultan Perak akan tetap dipohon membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu supaya pilihan raya semula dapat diadakan, laporkan Malaysian Insider semalam.

Saya ingin menyifatkan keputusan itu lebih baik dari tindakan melepaskan beban kepada Sultan Perak.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, terserah kepada Sultan Perak Sultan Azlan Shah untuk memutuskan sama ada DUN Perak harus dibubarkan atau tidak.

"Jangan bebankan Sultan untuk menanggung kesan politik gangster yang menakut-nakut serta memperalatkan orang yang menghadapi tuduhan rasuah, menyekat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di tengah jalan kononnya kerana Raja Muda hendak berjumpa dan mengumpan rasuah.

"Jika benar Najib dan BN bersedia berhadapan dengan rakyat dan akan memohon Sultan membubarkan DUN, ia sepatutnya dilakukan lama dahulu dan bukan bertindak memburukkan lagi krisis politik di Perak,"

Elak Penanti - Najib takut imej tercalar lebih teruk

Saya menyelar keputusan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang enggan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti dengan alasan enggan membazirkan wang rakyat.

Saya menganggap keputusan yang dibuat oleh Dato' Seri Najib itu dilakukan semata-mata kerana mahu menyelamatkan imej dari terus teruk tercalar jika mengalami satu lagi kekalahan dalam pilihanraya kecil.

Saya menegaskan jika Najib serius mahu menyelamatkan wang rakyat, beliau sepatutnya menghalang pembaziran yang selama ini banyak dilakukan oleh pemimpin Umno dan BN.

Pilihanraya kecil Dun Penanti akan tetap diadakan dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan tetap mengeluarkan peruntukan untuk mengadakan pilihanraya tersebut.

"Najib sebenarnya dibayangi ketakutan kekalahan dan ini akan menjejaskan imej beliau dan juga kerajaan di mata rakyat.

"Alasan enggan membazirkan wang rakyat tidak masuk akal kerana pilihanraya kecil itu tetap akan diadakan dan tentunya SPR akan mengeluarkan belanja bagi menjalankan pilihanraya kecil itu.

"Jika Najib serius mahu menyelamatkan wang rakyat beli sepatutnya menghalang segala bentuk pembaziran yang dilakukan oleh pemimpin Umno dan BN sebelum ini lagi,"

Monday, May 18, 2009

Soal ketelusan badan kehakiman : Khairy

Saya menyanggah kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung ketelusan badan kehakiman negara.

Menjadi amalan biasa bagi orang yang melakukan kesalahan untuk menafikan apa yang berlaku.

Khairy menafikan apa saja yang tidak kena dengan Umno termasuk menafikan beliau disiasat lembaga displin Umno sebelum pemilihan parti itu Mac lalu.

"Buktikan apa saja kepada Khairy, beliau akan nafikan termasuk menafikan disiasat lembaga displin Umno sebelum pemilihan Umno Mac lepas.

"Perkara ini bukan perkara baru dan sudah menjadi tradisi bagi pihak yang melakukan kesalahan untuk menafikan segala bentuk kecaman terhadap mereka,"

Saya tetap ingin mengatakan kenyataan yang dibuatnya berhubung keputusan mahkamah berhubung isu di Perak mempunyai asas kerana Ketua Hakim Negara merupakan ahli Umno dan pernah memegang jawatan dalam parti tersebut.

Saya ingin menegaskan kerana adanya individu seperti Tan Sri Zaki Tun Azmi maka tidak mustahil Umno akan menggunakan ejen-ejen mereka dalam badan kehakiman untuk membuat keputusan yang berpihak kepada mereka.

Saya mencabar Khairy untuk berdebat secara terbuka isu ketelusan institusi kehakiman tidak kira di mana-mana tempat.

Sebelum ini Khairy dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam sebuah akhbar pada 15 Mei lalu berkata tidak ada 'tangan-tangan ghaib' yang mencampuri urusan Mahkamah Rayuan dalam membuat keputusan terhadap kemelut politik di Perak.

Nazri hina rakyat perak

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menghina rakyat Perak apabila mendakwa pilihan raya semula di negeri itu bagi menyelesaikan krisis politik hanya akan mewujudkan polarisasi kaum.

"Pilihan raya kecil baru sahaja berlangsung di Bukit Gantang. Jika Nazri gagal membuktikan wujudnya polarisasi kaum akibat pilihan raya kecil itu, beliau terdedah kepada tuduhan cuba melakukan provokasi ketegangan kaum secara halus.

"Jika beliau berniat melakukan perkara itu, eloklah segera memohon maaf kepada rakyat Perak malah seluruh rakyat Malaysia. Nazri sudah tua, eloklah memohon maaf sebelum terlambat,"

Dalam pilihan raya kecil di Bukit Gantang dan di Bukit Selambau, rakyat dari pelbagai kaum bersatu dalam satu suara yang begitu padu untuk menolak Barisan Nasional.

"Di Bukit Gantang misalnya, rakyat membuktikan perpaduan yang luar biasa erat apabila sama-sama bangkit menolak Barisan Nasional.

"Gelombang sokongan kepada calon PAS dalam pilihan raya itu berlaku serentak tidak kira dari pengundi beragama Islam atau bukan Islam. Adakah itu polarisasi kaum?"

Kenyataan Nazri itu mendedahkan dirinya sendiri kepada tuduhan buta sejarah, buta fakta, buta istilah, buta politik malah pelbagai kebutaan yang lain.

"Kenyataan Nazri itu hakikatnya adalah penerusan kempen berbau perkauman yang dilakukan oleh Umno sejak selepas pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu.

"Kemuncaknya kita lihat dalam pilihan raya Bukit Gantang apabila Umno membangkitkan keresahan rakyat dengan mendakwa orang-orang Melayu kini tergugat dan berada dalam darurat.

"Orang Melayu tidak tergugat dan tidak berada dalam darurat, Umnolah yang sebenarnya tergugat dan berada dalam darurat terutama selepas pesta rasuah menjelang dan pada pemilihan parti itu baru-baru ini,"

Apabila Umno cuba mendapat talian hayat dengan mengapi-apikan sentimen perkauman.

"Umno enggan menerima hakikat bahawa arus perdana rakyat Malaysia hari ini ialah menolak Barisan Nasional.

"Perkara itu jelas apabila bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri yakin Barisan Nasional akan kalah jika pilihan raya diadakan semula di Perak.

"Sebab itulah pemimpin-pemimpin Umno menggeletar ketakutan apabila diminta mempersetujui pilihan raya itu,"

Wednesday, May 13, 2009

Zambry diingatkan tidak tambah kekalutan di Perak

Dato' Dr Zambry Abd Kadir diminta supaya tidak menambahkan lagi kebuntuan dan kekalutan yang dihadapi rakyat Perak.

Saya ingin menegaskan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur masih sah dan tidak seharusnya Zambry bertindak berlawanan dengan keputusan tersebut.

"Mahkamah Rayuan hanya menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi bukannya membatalkan.

"Kerana itu Zambry harus ingat bahawa dia bukanlah Menteri Besar yang sah dan untuk itu beliau tidak boleh bertindak di luar dari apa yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi,"

Dalam keadaan sekarang tidak boleh meluluskan sebarang projek dan hanya boleh mempengerusikan mesyuarat exco untuk berbincang soal pentadbiran semata-mata.

Saya berpendapat Mahkamah Rayuan sepatutnya memberikan syarat tertentu kepada Zambry bila memutuskan untuk menerima permohonan menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

PAS bimbang jika syarat seperti itu tidak diberikan, Zambry akan membuat keputusan yang boleh memberi kesan kepada kewangan Perak.

Semalam Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 11 Mei lepas yang mengisytiharkan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut.

Tuesday, May 12, 2009

PAS curiga keputusan Mahkamah Rayuan

Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang membenarkan permohonan Dato' Seri Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam dikhuatiri dipengaruhi kepentingan politik Barisan Nasional (BN).

PAS sentiasa menghormati keputusan mahkamah namun dalam masa yang sama juga khuatir keputusan tersebut dipengaruhi pihak tertentu untuk kepentingan politik mereka.

Saya ingin menegaskan keputusan Mahkamah Rayuan itu dibimbangi diputuskan bagi membolehkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak dibubarkan di bawah pemerintahan BN.

"Kita melihat keputusan ini dibuat bagi membolehkan Zambry kembali menjadi Menteri Besar dan seterusnya mereka akan memohon untuk dibubarkan Dun.

"Jika Dun dibubarkan, BN akan menjadi kerajaan sementara dalam tempoh tersebut dan inilah yang dimahukan oleh mereka supaya sebarang keputusan atau peruntukan dapat dikawal oleh mereka,"

Saya juga menegaskan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan itu tidak menyelesaikan kemelut di Perak sebaliknya menambahkan kerumitan dan kebuntuan serta keresahan rakyat Perak.

Hakim Mahkamah Rayuan, Dato' Ramly Mohd Ali , sepatutnya mempertimbangkan situasi persekitaran dan tidak hanya membuat keputusan berdasarkan undang-undang semata-mata.

"Hakim sepatutnya mengambil kira keresahan rakyat Perak yang mengharapkan penyelesaian total dapat segera dilaksanakan,"

Saya mendesak jika pembubaran Dun dilakukan dalam tmpoh terdekat, kerajaan sementara yang mentadbir Perak dalam tempoh tersebut hendaklah diwakili oleh Pakatan Rakyat dan BN.

Hari ini Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Dato' Seri Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut.

Beliau memfailkan rayuan tersebut pagi tadi dan akan didengar secepat mungkin.

Selepas keputusan dibuat pada kira-kira jam 1 tengah hari, peguam Umno, Hafarizam Harun menggesa Nizar supaya mengosongkan pejabat menteri besar untuk memboleh Zambry kembali bertugas.

Manakala peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Nizar berkata menunggu arahan daripada anak guamnya mengenai langkah seterusnya.

Keputusan mahkamah pagi ini sekali lagi meletakkan situasi politik di Perak dalam keadaan tidak menentu dengan BN dan Pakatan Rakyat masing-masing berentap untuk menjadi menteri besar.

Hakim Dato' Ramly Mohd Ali mendengar permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam.

Peguam Zambry berhujah bahawa penangguhan keputusan mahkamah semalam adalah penting untuk menghalang Nizar daripada mendapatkan perkenan Sultan Perak untuk membubarkan Dun.

Peguam utamanya, Cecil Abrahim berkata, jika pembubaran tersebut diperkenankan, maka rayuan Zambry akan merupakan satu akademik sahaja.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail turut menyokongnya. Beliau juga berhujah bahawa penggantungan setiausaha kerajaan negeri dan penasihat undang-undang negeri Perak oleh Nizar malam tadi adalah tidak sah kerana ia merupakan pelantikan Kerajaan Pusat.

Kemenangan Nizar, signal rakyat tolak rancangan jahat Najib

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah adalah keputusan yang menyebelahi rakyat.

Nizar kembali ke jawatannya secara sah dan diputuskan mahkamah setelah digugurkan jawatan tersebut, awal Februari lalu.

Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Aziz Abd Rahim berkata seseorang MB hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya di DUN, seperti kes Stephen Kalong Ningkan.

Hakim menambah, dalam kes pelucutan Mohamad Nizar, tiada persidangan dewan diadakan untuk meluluskan usul sedemikian.

"Ini adalah satu kemenangan rakyat, dan ini juga adalah signal kepada Najib yang kita ketahui menjadi dalang dibelakang rampasana kuasa di perak bahawa rakyat mahukan perlembagaan tertegak,"

Kemenangan ini memberi gambaran bahawa apa sahaja yang dilakukan Najib dan Menteri Besar BN yang haram, Zambru Abdul Kadir ialah bertentangan kepada perlembagaan dan Undang Tubuh kerajaan Perak. Dengan keputusan ini juga, menjawab segala fitnah yang dilontarkan BN kepada Pakatan Rakyat,

Malah dengan kemenangan ini nyata apa yang dilakukan Najib dan Zambry sebelum ini hanyalah mempermainkan undang tubuh kerajaan negeri selain mempersenda Sultan Perak.

Saya menyeru Najib dan Zambry memohon maaf kepada rakyat Perak dan Pakatan Rakyat atas fitnah besar yang dilakukan ini hingga menyebabkan Perak 'kucar-kacir' selama tiga bulan. "Ini satu kesalahan dan aib yang besar, malah apa yang berlaku dalam sidang dun pada 7 Mei lalu juga berpunca daripada rampasan kuasa Februari lalu,"


Zambry Kadir peragut politik

KEJAMNYA PERAGUT! Begitulah bunyinya tajuk utama Utusan Melayu hari Khamis, 7 Mei 2009 yang menyiarkan kisah bagaimana tiga orang mangsa ragut yang terbunuh kerana perbuatan kejam tersebut.

Cerita ragut sudah begitu lama kedengaran, cuma ditakdirkan Allah ia berlaku kali ini ketika polis sedang berkubu di Ipoh dan Penanti. Nampaknya hari ini polis lebih banyak digunakan untuk mempertahankan kuasa politik BN daripada menjaga keselamatan awam. Jika keadaan ini berterusan, suatu hari nanti, Malaysia akan betul-betul menjadi 'negara polis'.

Keadaan politik di Perak sebenarnya tidak serumit di Terengganu kerana kedua-dua menteri besarnya mempunyai kumpulan penyokong yang ramai. Yang menjadi masalah besar di Perak ialah kedegilan Zambry Kadir untuk tidak mengikut undang-undang dan peraturan dalam setiap tindakannya.

Dulu dia bersekongkol dengan Najib Razak untuk menculik dan merasuah tiga Adun Pakatan Rakyat bagi menjatuhkan kerajaan, kemudian dia mengangkat sumpah sebelum sempat Menteri Besar Nizar meletak jawatan atau dikenakan undi tidak percaya. Mahkamah dijadikan alat untuk mereka mengesahkan tindakan haram itu. SPR dan SPRM pula menjadi kuda tunggangan untuk menjayakan rancangan jahat yang bertentangan dengan undang-undang.

Mungkin Zambry Kadir belum sedar apabila rakyat Bukit Gantang menyampaikan mesej untuk menolak perbuatan tidak bertamadun BN pada 7 April 2009 yang lalu. Dia mahu 'diajar' dengan cara yang lebih jelas lagi. Kita tunggu tindakan rakyat dalam pilihan raya akan datang.

KEJAMNYA PERAGUT! Begitulah yang terjadi pada Khamis, 7 Mei 2009 di Ipoh, Perak. Kali ini bukannya mat rempit yang meragut. Tetapi pemimpin politik BN yang tidak bertamadun dan tidak menghormati demokrasi meragut setiap hak dan keadilan demi kepentingan politik rakus mereka.

Dahulu mereka meragut kerajaan daripada rakyat cara menculik dan merasuah, kemudian mereka meragut jawatan menteri besar melalui cara tidak berperlembagaan. Hari ini mereka melakukan lagi apabila jawatan Speaker Dun Perak diragut dengan cara yang lebih hina daripada binatang. Mereka tidak mengiktiraf Sidang Dun Perak di bawah pokok atas bermacam-macam alasan walaupun ia berlaku mengikut lunas undang-undang. Tetapi mereka bertindak persis binatang buas di dalam dewan yang mulia itu apabila bersidang sendiri dengan membelakangkan Speaker Dun yang berada di kerusinya.

Walau apapun yang dilaporkan oleh media arus perdana, rakyat mengetahui keadaan yang sebenar. Dahulu mereka menipu rakyat kononnya Nizar telah menderhaka, tetapi rakyat memberikan mesej sebaliknya di pilihan raya Kuala Terangganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Saya percaya rakyat menyedari keadaan sebenar yang berlaku walaupun media memberikan gambaran sebaliknya. Sebagai Ahli Parlimen, saya memahami peraturan yang menghendaki setiap ahli YB menghormati speaker yang mengendalikan persidangan. Saya bersetuju dengan Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang berkata apa gunanya ada Speaker jika keputusannya tidak dihormati.

Sebagai Ketua Dun, Speaker berkuasa penuh di atas semua urusan di dewan itu. Beliau yang menentukan kedudukan Adun, usul-usul dan semua urusan perjalanan dewan tersebut. Bahkan, tidak ada Adun yang boleh bercakap tanpa kebenaran Speaker. Jika semua orang ingin bertindak sesuka hati, bercakap, membuat usul dan mengusung keluar Speaker... maka jadilah sidang itu seumpama satu sidang di Zoo Negara!

Sebenarnya isu ini cukup mudah diselesaikan. Semua pihak perlu memberi laluan kepada Speaker untuk mengendalikan mesyuarat mengikut peraturan mesyuarat. Tetapi malangnya, Zambry Kadir dan sembilan yang lain begitu degil dan keras kepala. Mereka bukan sahaja tidak mengikut arahan, bahkan cuba menjalankan sidang Dun secara haram.

Tidak pernah berlaku dalam mana-mana majlis perundangan di dunia, usul dikemukakan sebelum sidang bermula. Speaker telah memberitahu berkali-kali bahawa beliau tidak akan memulakan sidang selagi arahannya untuk 10 orang itu keluar dewan dipatuhi. Ini bermakna, ketika Zambry Kadir membuat usul, sidang belum bermula lagi. Yang paling saya kesalkan ialah Setiausaha DUN yang telah dipecat itu. Dia begitu biadap dan langsung tidak menghormati Speaker semata-mata kerana ke-Umno-annya.

Pada saya mudah sahaja, bahawa seluruh sidang itu adalah tidak sah kerana sidang belum bermula ketika prosiding dijalankan. Saya sangat percaya kekecohan ini tidak akan berlaku jika semua pihak menghormati peraturan. Mengapa Zambry Kadir begitu biadap dengan membawa satu usul tanpa mendapat kebenaran Speaker. Lebih-lebih lagi, Zambry Kadir sebagai seorang Adun yang digantung oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dun tidak berhak menghadiri sidang, apatah lagi membuat usul.

R Ganesan, 'Speaker haram' pula telah menceroboh Dun Perak secara sewenang-wenangnya tanpa menghiraukan S Sivakumar yang berada di kerusi Speaker. Kemudian beratus-ratus polis yang sepatutnya menjadi keselamatan mangsa ragut, ditugaskan untuk �meragut� kerusi Speaker daripada Sivakumar.

Apa yang boleh kita rumuskan ialah sebuah kerajaan yang haram akan melakukan apa sahaja tanpa mengikut lunas undang-undang untuk mempertahankan kegiatan haram mereka. SPR, SPRM, mahkamah, polis, SUK, Setiausaha Dun, bahkan istana telah diperalatkan oleh mereka secara sempit sehingga kemuliaan Dun Perak tercemar.

Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah dimalukan di hadapan khalayak dengan perbuatan yang biadab dan tidak bertamadun itu. Untuk menutup kekotoran itu, Zambry Kadir memberitahu bahawa Adun Pakatan Rakyat menyerang mereka dan bertindak menggunakan undang-undang rimba.

Saya tahu bahawa rakyat telah sedar siapakah Tarzan dalam krisis ini. Najib Razak dan Zambry Kadir patut berasa malu di atas perbuatan yang tidak demokratik ini, kerana Tun Mahathir sendiripun tidak dapat menerima apa yang berlaku di Perak

Monday, May 11, 2009

PAS bukan untuk golongan tertentu sahaja

Saya ingin menegaskan PAS adalah sebuah parti milik semua pihak dan semua golongan seperti petani, pekebun, guru, kakitangan awam dan kerajaan, profesional dan ulama.

Saya juga ingin menegaskan tidak timbul PAS milik golongan tertentu sahaja kerana untuk mengukuhkan parti penglibatan semua pihak daripada pelbagai golongan diperlukan.

Saya agak kecewa bila ramai pemimpin ghairah memberikan pandangan kepada media arus perdana yang menyebabkan timbul persepsi berlaku perpecahan dalam parti.

Saya ingin menegaskan, perbincangan terbuka bahawa hak beberapa jawatan dalam PAS hanya perlu diisi oleh kumpulan ulama dan profesional perlu dihentikan kerana ia memberikan imej buruk wujudnya konsep kasta dalam parti.

Perbincangan seperti ini akan menimbulkan persepsi adanya perpecahan dalam parti dan ia boleh melemahkan, bukan menguatkan.

Ia juga boleh menyebabkan ahli parti lain yang bukan daripada golongan ulama dan profesional berkecil hati dan akhirnya akan menjauhkan diri daripada parti

Saya minta hentikan kerana ia memberi mesej dan imej salah mengenai parti kepada akar umbi, seolah-olah PAS hanya dianggotai oleh dua kumpulan ini sahaja

Saya ingin menegaskan Jawatan dalam PAS bukannya hak eksklusif untuk mana-mana kumpulan sahaja tetapi terbuka kepada setiap ahli parti yang layak berdasarkan kepada meritokrasi.

Apabila seseorang pemimpin itu dipilih berdasarkan kepada meritokrasi yang mendapat sokongan padu daripada seluruh ahli, maka ia akan memperkukuhkan lagi kekuatan dan kesinambungan PAS

HAK AGAMA ANAK: KABINET DERHAKA

TERNYATA seperti yang diperkatakan oleh banyak pihak sekarang ini bahawa cengkaman kuasa oleh eksekutif lebih kuat ke atas kepentingan-kepentingan rakyat setelah Najib Razak menjadi Perdana Menteri. Suatu masa dahulu sang Perdana Menteri pernah digelar ‘Mahafiraun’ dan ‘Mahazalim’ kerana campur tangan berlebihan ke atas institusi-institusi pengimbang. Pada zaman Tun Abdullah Badawi, rakyat berasa agak lega sedikit apabila beberapa institusi dibiarkan bebas berperanan sehingga rakyat boleh mengangkat kepala untuk bersuara.

Tetapi hari ini, Najib Razak mengulangi semula kezaliman yang lama. Keputusan SPR yang terbaru dengan menyekat penggunaan pondok panas dalam pilihan raya kecil di Penanti memperlihatkan realiti ini.

Selain SPR dan SPRM yang Nampak sangat menjadi alat Kerajaan BN, badan kehakiman yang amat diharap-harapkan oleh rakyat untuk mempertahankan hak mereka daripada diragut oleh kuasa eksekutif, kini terpaksa masuk ke dalam kocek eksekutif juga. Lihatlah bagaimana lakonan-lakonan politik yang sedang berlaku di Perak. Semua pemerhati telah memperkatakan bahawa mahkamah akan berpihak kepada Zambry Abdul Kadir beberapa hari sebelum sidang DUN dijalankan.

Mereka melakukan apa sahaja yang jelas bertentangan dengan semangat demokrasi dan keadilan untuk melegitimasikan rampasan kuasa mereka di negeri itu. Tidak ada nilai demokrasi lagi dalam amalan politik Mahafiraun versi diperbaharui ini, sehingga mulut rakyat mahu ‘diplaster’ serapat-rapatnya.

Dahulu, mereka menjadi jaguh memberi tahu rakyat bahawa kerajaan yang dipimpin oleh PAS itu penderhaka, maka layaklah ia dijatuhkan. Kerajaan pimpinan PAS itu digambarkan seburuk-buruk kerajaan yang berkonfrantasi dengan ketua negeri semata-mata kerana satu sembah derhaka yang sebenarnya tidak salah dari segi undang-undang. Rakyat Perak nampaknya lebih memahami perkara ini dan mereka menolak momokan jahat yang dilancarkan oleh Umno/BN dalam pilihan raya di Bukit Gantang. Kerana sikap tegas dan bijak rakyat ini, maka Najib mulai kecut perut untuk bersaing dalam pilihan raya kecil, lalu dianggapnya pilihan raya di Penanti itu satu pembaziran. Hakikatnya, mereka tidak sanggup kalah lagi.

Punca utama yang membawa kepada kekalahan BN ialah pengundi bukan Melayu. Mereka sudah hilang percaya kepada kezaliman BN, sebaliknya begitu yakin dengan keadilan yang ditunjukkan oleh PAS. Maka, BN mesti mencari satu jalan yang licik dan boleh memerangkap PAS dalam menghadapi perubahan sikap pengundi bukan Melayu ini. Yang paling berkesan ialah melibatkan hubungan agama Islam dengan orang bukan Melayu. Isu tuntutan hak penjagaan dan hak agama anak-anak yang ibu atau bapa mereka memeluk Islam adalah amat sensitif untuk diperkatakan. BN dengan sengaja mempergunakan isu ini dengan membuat satu keputusan yang terang-terangan bercanggah dengan fasal 12(4) perlembaggaan persekutuan.

Pendirian Kabinet pada minggu sudah bahawa anak-anak adalah kekal dalam agama asal mereka walaupun ibu atau bapa mereka memeluk Islam merupakan suatu yang sungguh aneh. Pertama, Kabinet tidak pernah pun mendapatkan pandangan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan dalam soal ini, sedangkan ia melibatkan kepentingan agama Islam; kedua, Kabinet tidak membuka ruang kepada suatu perbincangan atau diskos dengan mana-mana NGO Islam bagi mendapatkan pandangan balas; dan yang paling penting, Kabinet tidak pernah merujuk apatah lagi mendapatkan perkenan Majlis Raja-raja Melayu sedangkan urusan agama adalah di bawah bidang kuasa baginda semua sebagai ketua agama Islam.

Mengapa pandangan Raja-raja Melayu dipinggirkan begitu sahaja sehingga baginda semua tidak dibawa berunding. Adakah Kabinet bimbang sekiranya perkara ini dibawa ke tengah, ia akan ditolak oleh Raja-raja Melayu, sebagaimana kegagalan usaha mereka ketika cuba membuang perkataan Islam pada nama persatuan-persatuan Islam dahulu. Bukankah semenjak zaman penjajah lagi bahawa hak berkaitan urusan agama ini adalah di bawah bidang kuasa sultan? Seingat saya, penjajah British yang tidak beragama Islam itu pun tidak mencabuli bidang kuasa Raja-raja dalam urusan agama islam. Mengapa Kabinet BN begitu biadap dalam soal ini sehingga menggadai masa depan Islam.

Saya percaya, baginda semua akan mempertahankan kepentingan agama Islam. Tetapi Kabinet Najib nampaknya mahu memperalatkan isu ini, dan Raja-raja dikesampingkan. Bukankah ini satu penderhakaan oleh Kabinet kepada Raja-raja Melayu sebagai ketua agama?

Kerajaan BN memang licik dalam melabelkan pihak-pihak lain sebagai penderhaka kepada sultan. Tetapi mereka sendiri, bukan setakat menderhaka, bahkan merampas kuasa Raja-raja Melayu dalam soal agama.serta merampas kuasa perlembagaan persekutuan.Nampak jelas Umno/Bn gila kuasa. Majlis Fatwa Kebangsaan sebagai institusi yang dihormati dalam soal agama juga langsung tidak diajak berunding.

Saya tidak tahu apakah Menteri Agama yang baru ini sudah berasa seronok dengan kerusi lembut di JPM itu lalu menjadi bisu dalam perkara ini. Saya bukanlah seorang yang pakar dari sudut undang-undang untuk memperbahaskan keadaan ini, dan saya juga bukan pakar dari aspek syariah, tetapi saya memahami bahawa Islam telah menetapkan bahawa agama anak-anak adalah mengikut agama ibu bapa mereka, jika salah seorang daripadanya memeluk Islam.

Kita jangan lupa dengan satu tragedi yang pernah tercetus pada Disember 1950 yang meragut nyawa dahulu. Dalam isu Natrah yang begitu menyedihkan itu, mahkamah telah memberi hak menentukan agama anak kepada ibu bapa mereka sehingga Natrah yang beragama Islam dan sudah berkahwin itu dipaksa murtad oleh mahkamah. Ini bermakna, sistem kekeluargaan Barat pun mengiktiraf hak menentukan agama anak-anak ini adalah milik ibu bapa mereka.

Adakah kita mahu menjadikan pertukaran agama ini sebagai satu fenomena perpecahan keluarga di Negara kita. Jika demikian, sesiapa yang mahu memeluk Islam, akan berhadapan dengan risiko kehilangan hak ke atas anak-anak mereka. Saya tergambar bagaimana anak-anak mahu hidup tanpa ibu bapa mereka, dan sekali-kali ibu bapa tidak mempunyai kebencian kepada anak-anak walaupun mereka bertukar agama.

Islam sendiri mengajar bahawa anak-anak yang memeluk Islam tidak terputus hubungan kekeluargaan dengan keluarga mereka yang tidak beragama Islam. Bahkan, Islam mahu hubungan harmoni diteruskan. Tetapi pendirian songsang ‘Kabinet Derhaka’ ini bukan sahaja menyebabkan perpecahan keluarga, tetapi menjejaskan kehidupan anak-anak juga. Saya tidak bermaksud menyingggung mana-mana orang bukan Islam, tetapi ini adalah soal hak asasi manusia. Seorang bapa atau ibu pada bila-bila masa adalah berhak ke atas anak-anak mereka.

Bahkan, dalam kes Suzi Teoh dahulu, ibu bapa mereka menuntut hak menentukan agama anak mereka yang belum berusia 18 tahun. Jika kita mengatakan anak-anak yang kecil itu harus kekal dalam agama asal walaupun ibu bapa mereka sudah bertukar agama, maka siapakah yang akan menguruskan soal keagamaan mereka. Adakah seorang bapa yang Muslim yang mengajar anak-anak mereka untuk beramal dengan agama bukan Islam, semata-mata kerana itu adalah agama asalnya.

Kabinet sepatutnya berfikir lebih waras dan terbuka dalam soal ini. Jangan jadikan ia satu senjata politik perkauman yang akan memecah-belahkan rakyat. Ia amat sensitif dan pada bila-bila masa boleh membakar jika terus dihangatkan. Sebagai sebuah Negara yang menerima Islam sebagai agama Persekutuan, maka Kabinet harus menghormati kedudukan agama Islam dan peranan Raja-raja Melayu sebagai ketua agama. Janganlah ‘Kabinet Derhaka’ ini bertindak semata-mata untuk menarik semula sokongan orang bukan Islam. Yang perlu diperhatikan juga ialah soal hak dan kemanusiaan. Ini soal agama, bukan setakat makan pakai sahaja. Ia soal kepercayaan dan hidup mati kita. Mengapa kita mahu ibu bapa biarkan anak-anak dalam kesesatan setelah mereka menemui kebenaran.

Mengapa kita mewujudkan jalan supaya berlaku perpecahan keluarga, sedangkan Islam mengajar supaya kita berkasih sayang. Saya berharap orang Islam dan bukan Islam jangan terperangkap dalam permainan politik separuh masak Kabinet Derhaka ini, kerana mereka mahu menjerat perpaduan yang sedang dibina!

Thursday, May 7, 2009

Tindakan polis menangkap Mohd Sabu

Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak polis yang menahan Naib Presiden PAS, Mohamad sabu tanpa sebarang waran dikemukakan

Saya tidak menafikan bahawa ianya mempunyai kaitan dengan persidangan Dun Perak yang akan diadakan esok. "Jika ianya disebabkan oleh kebimbangan terhadap perhimpunan yang dijangka diadakan pada esok hari sempena persidangan Dewan undangan Negeri, ianya sememangnya suatu kesalahan,"

Hal tersebut adalah kerana Mohamed Sabu masih belum melakukan kesalahan tersebut kerana perhimpunan tersebut masih belum diadakan.

"Pihak polis dengan ini telah bertindak sebagai komponen BN apabila menahan Mohamed Sabu tanpa sebarang sebab yang dikemukakan.

"Saya berpendapat kemungkinan sebab persidangan Dun Perak yang mungkin dibimbangi oleh Kerajaan Umno-BN atau polis tentang ura-ura perhimpunan rakyat akan diadakan di hadapan Dewan Undangan Negeri,"

Berdasarkan undang-undang seseorang tidak boleh ditahan tanpa melakukan sebarang kesalahan.

Tindakan itu merupakan perbuatan yang tidak demokratik serta melanggar hak asasi manusia.

"Semua ini berlaku akibat tindakan BN merampas kerajaan Perak daripada Pakatan Rakyat sehingga mengheret istana dan polis terlibat dalam percaturan politik ini.

"Sepatutnya mereka bekerjasama untuk mengembalikan hak rakyat bukan menafikannya,"

Friday, May 1, 2009

PAS cadang wakil kesatuan sekerja dalam lembaga pengarah syarikat-syarikat

Saya menggesa kerajaan menggubal undang-undang yang menetapkan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia melantik wakil kesatuan sekerja sebagai ahli lembaga pengarahnya.

Cadangan itu terkandung dalam lima cadangannya kepada kerajaan sempena Hari Buruh hari ini.

"Perkara itu telah lama dipraktikkan di negara-negara Kesatuan Eropah (EU).

"Kerajaan hendaklah menunjukkan teladan yang baik dengan memulakan amalan ini di dalam GLC,"

Saya juga ingin menggesa kerajaan melaksanakan cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan melaksanakan skim gaji minima RM1,200 sebulan. "Selain itu, oleh kerana dari masa ke masa banyak kilang dan syarikat yang memberhentikan pekerja, kerajaan mestilah melaksanakan skim pampasan atau insurans pemberhentian kerja,"

Saya juga ingin mencadangkan kerajaan mewujudkan skim biasiswa dan derma siswa kepada pekerja yang ingin melanjutkan pelajaran. "Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pula mesti dirombak supaya lebih prihatin, bertanggungjawab dan bertimbangrasa kepada para pekerja serta tidak terlalu birokratik,"