TERNYATA seperti yang diperkatakan oleh banyak pihak sekarang ini bahawa cengkaman kuasa oleh eksekutif lebih kuat ke atas kepentingan-kepentingan rakyat setelah Najib Razak menjadi Perdana Menteri. Suatu masa dahulu sang Perdana Menteri pernah digelar ‘Mahafiraun’ dan ‘Mahazalim’ kerana campur tangan berlebihan ke atas institusi-institusi pengimbang. Pada zaman Tun Abdullah Badawi, rakyat berasa agak lega sedikit apabila beberapa institusi dibiarkan bebas berperanan sehingga rakyat boleh mengangkat kepala untuk bersuara.
Tetapi hari ini, Najib Razak mengulangi semula kezaliman yang lama. Keputusan SPR yang terbaru dengan menyekat penggunaan pondok panas dalam pilihan raya kecil di Penanti memperlihatkan realiti ini.
Selain SPR dan SPRM yang Nampak sangat menjadi alat Kerajaan BN, badan kehakiman yang amat diharap-harapkan oleh rakyat untuk mempertahankan hak mereka daripada diragut oleh kuasa eksekutif, kini terpaksa masuk ke dalam kocek eksekutif juga. Lihatlah bagaimana lakonan-lakonan politik yang sedang berlaku di Perak. Semua pemerhati telah memperkatakan bahawa mahkamah akan berpihak kepada Zambry Abdul Kadir beberapa hari sebelum sidang DUN dijalankan.
Mereka melakukan apa sahaja yang jelas bertentangan dengan semangat demokrasi dan keadilan untuk melegitimasikan rampasan kuasa mereka di negeri itu. Tidak ada nilai demokrasi lagi dalam amalan politik Mahafiraun versi diperbaharui ini, sehingga mulut rakyat mahu ‘diplaster’ serapat-rapatnya.
Dahulu, mereka menjadi jaguh memberi tahu rakyat bahawa kerajaan yang dipimpin oleh PAS itu penderhaka, maka layaklah ia dijatuhkan. Kerajaan pimpinan PAS itu digambarkan seburuk-buruk kerajaan yang berkonfrantasi dengan ketua negeri semata-mata kerana satu sembah derhaka yang sebenarnya tidak salah dari segi undang-undang. Rakyat Perak nampaknya lebih memahami perkara ini dan mereka menolak momokan jahat yang dilancarkan oleh Umno/BN dalam pilihan raya di Bukit Gantang. Kerana sikap tegas dan bijak rakyat ini, maka Najib mulai kecut perut untuk bersaing dalam pilihan raya kecil, lalu dianggapnya pilihan raya di Penanti itu satu pembaziran. Hakikatnya, mereka tidak sanggup kalah lagi.
Punca utama yang membawa kepada kekalahan BN ialah pengundi bukan Melayu. Mereka sudah hilang percaya kepada kezaliman BN, sebaliknya begitu yakin dengan keadilan yang ditunjukkan oleh PAS. Maka, BN mesti mencari satu jalan yang licik dan boleh memerangkap PAS dalam menghadapi perubahan sikap pengundi bukan Melayu ini. Yang paling berkesan ialah melibatkan hubungan agama Islam dengan orang bukan Melayu. Isu tuntutan hak penjagaan dan hak agama anak-anak yang ibu atau bapa mereka memeluk Islam adalah amat sensitif untuk diperkatakan. BN dengan sengaja mempergunakan isu ini dengan membuat satu keputusan yang terang-terangan bercanggah dengan fasal 12(4) perlembaggaan persekutuan.
Pendirian Kabinet pada minggu sudah bahawa anak-anak adalah kekal dalam agama asal mereka walaupun ibu atau bapa mereka memeluk Islam merupakan suatu yang sungguh aneh. Pertama, Kabinet tidak pernah pun mendapatkan pandangan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan dalam soal ini, sedangkan ia melibatkan kepentingan agama Islam; kedua, Kabinet tidak membuka ruang kepada suatu perbincangan atau diskos dengan mana-mana NGO Islam bagi mendapatkan pandangan balas; dan yang paling penting, Kabinet tidak pernah merujuk apatah lagi mendapatkan perkenan Majlis Raja-raja Melayu sedangkan urusan agama adalah di bawah bidang kuasa baginda semua sebagai ketua agama Islam.
Mengapa pandangan Raja-raja Melayu dipinggirkan begitu sahaja sehingga baginda semua tidak dibawa berunding. Adakah Kabinet bimbang sekiranya perkara ini dibawa ke tengah, ia akan ditolak oleh Raja-raja Melayu, sebagaimana kegagalan usaha mereka ketika cuba membuang perkataan Islam pada nama persatuan-persatuan Islam dahulu. Bukankah semenjak zaman penjajah lagi bahawa hak berkaitan urusan agama ini adalah di bawah bidang kuasa sultan? Seingat saya, penjajah British yang tidak beragama Islam itu pun tidak mencabuli bidang kuasa Raja-raja dalam urusan agama islam. Mengapa Kabinet BN begitu biadap dalam soal ini sehingga menggadai masa depan Islam.
Saya percaya, baginda semua akan mempertahankan kepentingan agama Islam. Tetapi Kabinet Najib nampaknya mahu memperalatkan isu ini, dan Raja-raja dikesampingkan. Bukankah ini satu penderhakaan oleh Kabinet kepada Raja-raja Melayu sebagai ketua agama?
Kerajaan BN memang licik dalam melabelkan pihak-pihak lain sebagai penderhaka kepada sultan. Tetapi mereka sendiri, bukan setakat menderhaka, bahkan merampas kuasa Raja-raja Melayu dalam soal agama.serta merampas kuasa perlembagaan persekutuan.Nampak jelas Umno/Bn gila kuasa. Majlis Fatwa Kebangsaan sebagai institusi yang dihormati dalam soal agama juga langsung tidak diajak berunding.
Saya tidak tahu apakah Menteri Agama yang baru ini sudah berasa seronok dengan kerusi lembut di JPM itu lalu menjadi bisu dalam perkara ini. Saya bukanlah seorang yang pakar dari sudut undang-undang untuk memperbahaskan keadaan ini, dan saya juga bukan pakar dari aspek syariah, tetapi saya memahami bahawa Islam telah menetapkan bahawa agama anak-anak adalah mengikut agama ibu bapa mereka, jika salah seorang daripadanya memeluk Islam.
Kita jangan lupa dengan satu tragedi yang pernah tercetus pada Disember 1950 yang meragut nyawa dahulu. Dalam isu Natrah yang begitu menyedihkan itu, mahkamah telah memberi hak menentukan agama anak kepada ibu bapa mereka sehingga Natrah yang beragama Islam dan sudah berkahwin itu dipaksa murtad oleh mahkamah. Ini bermakna, sistem kekeluargaan Barat pun mengiktiraf hak menentukan agama anak-anak ini adalah milik ibu bapa mereka.
Adakah kita mahu menjadikan pertukaran agama ini sebagai satu fenomena perpecahan keluarga di Negara kita. Jika demikian, sesiapa yang mahu memeluk Islam, akan berhadapan dengan risiko kehilangan hak ke atas anak-anak mereka. Saya tergambar bagaimana anak-anak mahu hidup tanpa ibu bapa mereka, dan sekali-kali ibu bapa tidak mempunyai kebencian kepada anak-anak walaupun mereka bertukar agama.
Islam sendiri mengajar bahawa anak-anak yang memeluk Islam tidak terputus hubungan kekeluargaan dengan keluarga mereka yang tidak beragama Islam. Bahkan, Islam mahu hubungan harmoni diteruskan. Tetapi pendirian songsang ‘Kabinet Derhaka’ ini bukan sahaja menyebabkan perpecahan keluarga, tetapi menjejaskan kehidupan anak-anak juga. Saya tidak bermaksud menyingggung mana-mana orang bukan Islam, tetapi ini adalah soal hak asasi manusia. Seorang bapa atau ibu pada bila-bila masa adalah berhak ke atas anak-anak mereka.
Bahkan, dalam kes Suzi Teoh dahulu, ibu bapa mereka menuntut hak menentukan agama anak mereka yang belum berusia 18 tahun. Jika kita mengatakan anak-anak yang kecil itu harus kekal dalam agama asal walaupun ibu bapa mereka sudah bertukar agama, maka siapakah yang akan menguruskan soal keagamaan mereka. Adakah seorang bapa yang Muslim yang mengajar anak-anak mereka untuk beramal dengan agama bukan Islam, semata-mata kerana itu adalah agama asalnya.
Kabinet sepatutnya berfikir lebih waras dan terbuka dalam soal ini. Jangan jadikan ia satu senjata politik perkauman yang akan memecah-belahkan rakyat. Ia amat sensitif dan pada bila-bila masa boleh membakar jika terus dihangatkan. Sebagai sebuah Negara yang menerima Islam sebagai agama Persekutuan, maka Kabinet harus menghormati kedudukan agama Islam dan peranan Raja-raja Melayu sebagai ketua agama. Janganlah ‘Kabinet Derhaka’ ini bertindak semata-mata untuk menarik semula sokongan orang bukan Islam. Yang perlu diperhatikan juga ialah soal hak dan kemanusiaan. Ini soal agama, bukan setakat makan pakai sahaja. Ia soal kepercayaan dan hidup mati kita. Mengapa kita mahu ibu bapa biarkan anak-anak dalam kesesatan setelah mereka menemui kebenaran.
Mengapa kita mewujudkan jalan supaya berlaku perpecahan keluarga, sedangkan Islam mengajar supaya kita berkasih sayang. Saya berharap orang Islam dan bukan Islam jangan terperangkap dalam permainan politik separuh masak Kabinet Derhaka ini, kerana mereka mahu menjerat perpaduan yang sedang dibina!
No comments:
Post a Comment