Friday, September 18, 2009

PERUTUSAN HARI RAYA AIDIL FITRI 1430

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!


Pertamanya marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT yang telah melimpahkan rahmat dan keberkatan kepada kita semua sepanjang bulan Ramadhan ini sehingga kita dapat mengisinya dengan agenda-agenda yang membawa kepada ketaqwaan yang sejati. Hari ini, kita telah menyempurnakan latihan Ramadhan selama sebulan, dan kita akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri sebagai satu tanda kesyukuran kita terhadap nikmat-nikmat Allah SWT. Saya berharap, latihan ubudiyah selama sebulann ini telah dapat memenuhi KPI berpuasa iaitu ketaqwaan kepada Allah SWT.


Saya, bagi pihak PAS mengucapkan Selamat Hari Raya dan maaf zahir dan batin kepada semua umat Islam sempena hari yang mulia ini. Saya berdoa supaya kita semua selamat daripada sebarang kecelakaan pada Hari Raya ini dan dapat pula kita bersama-sama merapatkan ukhuwah dan silaturrahim melalui ziarah, bermaafan-maafan, balik kampung dan sebagainya. Berhati-hatilah di jalan raya dan juga berwaspada dengan rumah yang ditinggalkan agar semuanya selamat dan sejahtera.


Apabila menyambut Hari Raya sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT, maka hendaklah kita menyambutnya dalam suasana yang terikat dengan syariat Allah SWT. Allah memerintahkan pada Hari Raya ini untuk ‘litukabbirallah’ (membesarkan Allah) di atas segala hidayah dan nikmatnya. Maka janganlah Hari Raya menjadi medan untuk kita kembali kufur kepada Allah SWT dengan melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam. Janganlah ada pada Hari Raya perbuatan sumbang seperti pembaziran, menyimpan dendam, hasad dengki dan sebagainya. Sebaliknya, kekalkanlah ketaatan kita sepanjang Ramadhan itu untuk terus mekar sepanjang Hari Raya dan juga hari-hari berikutnya.


Amalan mengadakan rumah terbuka begitu bermakna sekali dalam kita membina semua kekuatan umat Islam terutama untuk mengukuhkan persaudaraan kita. Ziarah menziarahi dapat memulihkan semula nostalgia yang mencetuskan kemesraan dan meninggalkan perselisihan yang tidak berkesudahan. Namun begitu, suka saya mengingatkan supaya amalan rumah terbuka ini tidak disulam dengan perkara-perkara yang tidak baik. Janganlah acara rumah terbuka ini membawa kepada pembaziran, dipenuhi dengan aktiviti hiburan melampau, ada umpat-mengumpat dan dilaksanakan dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk. Biarlah rumah terbuka ini berlangsung dalam suasana keagamaan, ajaklah bersama orang-orang miskin, ibu-ibu tunggal, orang-orang tua dan juga anak-anak yatim supaya mereka juga dapat bergembira bersama-sama.


Ketika kita sedang berseronok dengan Hari Raya ini, jangan kita lupa kepada anggota keselamatan yang terpaksa bertugas untuk menjamin keselamatan kita. Kepada pihak polis dan tentera saya merakamkan berbanyak-banyak terima kasih di atas pengorbanan mereka pada Hari Raya. Jasa dan sumbangan mereka janganlah dipinggirkan. Kerana itu, saya berharap pada Hari Raya ini, pihak kerajaan dapat memberikan kebebasan dan hak kepada anggota keselamatan yang berjasa ini untuk ‘memiliki suara’ secara yang adil di negara ini. Janganlah tenaga dan pengorbanan mereka kita kerahkan, tetapi kebebasan dan hak mereka kita bendung. Berilah mereka kebebasan untuk bersuara dengan menghapuskan undi pos dan biarkan mereka memilih secara bebas dan telus.


Akhirnya, saya berharap daripada tarbiyah Ramadhan selama sebulan ini dapat membangkitkan semula kesedaran dan kemahuan kita untuk mengangkat martabat Islam ke tempat yang setinggi-tingginya. Pada Ramadhan tahun ini, Islam telah terhina dan tercemar dengan beberapa isu dan insiden seperti sekatan ke atas perlaksaan hukum sebat ke atas peminum arak, pergeseran dengan penganut agama Hindu kerana pembinaan kuil dan beberapa fitnah lain yang dilancarkan oleh Umno/BN yang berkepentingan politik. Sedangkan dalam masa yang sama kita menyambut Ramadhan dalam semangat kemerdekaan. Sebagai mana Ramadhaan telah memerdekakan umat Islam daripada penyembahan sesama makhluk kepada perhambaan hanya kepada Allah, maka ia sepatutnya telah menyedarkan kita untuk kembali kepada al-Quran dan Sunnah. Setelah kita berpuasa kerana Allah selama sebulan, maka marilah kita berjihad kerana Allah untuk melaksanakan perintah-perintah Allah yang masih tertangguh akibat kedegilan ‘anak didik penjajah’. Sempena Aidil Fitri ini, marilah kita mendukung slogan AL-QURAN DIDAHULUKAN, SUNNAH DIUTAMAKAN!


Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!


Selamat Hari Raya. Maaf Zahir dan Batin


DATO’ HAJI MAHFUZ HAJI OMAR

Naib Presiden PAS

1 comment:

armouris said...

hari raya ni jangan main mercun, bahaya untuk kesihatan!! banyak lagi panduan kesihatan tentang hari raya kat sini - Hari Raya @ Info-Kesihatan-Anda