Tuesday, July 8, 2008

ANWAR DAN NAJIB BERPERANG, PAK LAH KETAWA




SEKONYONG-konyong berkata menantu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bersumpah dengan al-Quran untuk membersihkan dirinya dari tuduhan liwat atau melalui proses mahkamah biasa. Gembira benar nampaknya hati Khairy Jamaluddin apabila dua orang pencabar dan penggugat utama Pak Lah, Datuk Seri Anwar dan Datuk Seri Najib Razak seolah-olah terperangkap dengan satu konspirasi politik yang timbul daripada tangan-tangan ghaib. Saya tahu apa yang dicadangkan oleh Khairy Jamaluddin itu salah kerana Islam tidak ajar kita bersumpah dengan al-Quran, apatah lagi untuk buktikan tuduhan yang begitu berat.



Jika Khairy Jamaluddin faham, sepatutnya beliau menyuruh Saiful Bakhtiar yang membuat fitnah membawa empat orang saksi untuk membuktikan tuduhannya atau dia disebat 80 rotan. Lagipun Islam hanya mengajar bersumpah dengan menyebut “Wallahi, Wabillahi, Watallahi”, bukannya bersumpah dengan al-Quran. Apa pun, Khairy Jamaluddin Nampak sangat cuba campur tangan untuk ambil kesempatan supaya ‘perperangan mulut’ Najib-Anwar terus membakar sehingga Disember ini. Harapannya satu sahaja, Pak Lah kehilangan pencabar dan dia selamat untuk seketika.

Kedudukan Pak Lah pada masa ini ibarat telur di hujung tanduk. Tidur tak kena, bangun pun tak kena. Apa tidaknya, selepas BN kalah dalam pilihan raya, semua orang menyalahkan Pak Lah sebagaimana mereka semua mengakui Pak Lah adalah faktor BN menang pada 2004. Kali ini Umno/BN malu besar apabila kekalahan ini telah menimbulkan semula keberanian ahli Umno untuk mengkritik pemimpin mereka. Dulu Umno parti feudal, pemimpin sentiasa betul dan benar. Hari ini, ahli Umno tidak senang hati lagi berpemimpinkan seorang yang lemah. Semua rakyat mahu pemimpin yang lemah lembut, tetapi mereka tidak mahu pemimpin yang lemah atau pemimpin yang lembut!

Politik Malaysia tercengang seketika apabila Tun Dr Mahathir mengumumkan dia keluar dari Umno kerana tidak sanggup berketuakan seorang yang lemah seperti Pak Lah. Sejak 2004 beliau mengkritik kelemahan Pak Lah, dan sekarang beliau sanggup mati tanpa Umno jika Pak Lah terus menjadi pemimpin. Suara kasar Tun Dr Mahathir disambut oleh ahli-ahli Umno apabila mereka secara terbuka mengkritik dan mendesak Pak Lah supaya berundur. Para menteri pun ramai yang setuju dengan desakan ahli Umno, cuma mereka malu-malu kucing untuk mengaku. Kalau Pak Lah dah jatuh, berduyung-duyung mereka membelasah Pak Lah macam Nazri Aziz membelasah Dr Mahathir.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah politik Umno budaya mengkritik secara terbuka kepemimpinan tertingginya selepas Tun Dr Mahathir berbuat demikian pada 1969. Ketika Tengku Razaliegh dan Anwar mengkritik Dr Mahathir dahulupun, mereka masih berlapik. Tetapi hari ini, Pak Lah sudah ditegur dan dikritik secara terbuka oleh pemimpin bawahan. Mereka sudah berani meletak jawatan atau keluar parti kerana meluat dengan gaya Pak Lah. Apabila harga minyak naik, keyakinan rakyat kepada Pak Lah turun dengan mendadak. Rakyat sudah jelek dengan dolak-dalik pemimpin yang kononnya harga minyak tidak naik sebelum Ogos, tiba-tiba terus diisytiharkan kenaikan 40 peratus.

Dalam kata lain, selepas rakyat mengundi untuk tidak percaya kepada kepemimpinan Pak Lah dalam pilihan raya 2008, ahli Umno pula memberikan undi serupa kepada Pak Lah. Bila harga minyak naik, rakyat sebenarnya sudah menarik balik undi yang diberikan dahulu. Sebab itulah Parti SAPP terus mengisytiharkan mereka sudah hilang keyakinan kepada Pak Lah. Undi tidak percaya belum dibentang di Parlimen, tetapi sudah dikemukakan kepada media dan rakyat. Apa erti kita menjadi pemimpin jika orang-orang dibawah sudah memberikan undi tidak percaya secara terbuka.

Apabila SAPP dan Yong Teck Lee beralih angin kepada Anwar Ibrahim, imej Pak Lah sudah tercalar dengan teruk. Tidak ada ubat lagi untuk menyembuhkan. Anwar Ibrahim pula tiba-tiba menjadi begitu bertenaga untuk mencabar wibawa Pak Lah. Najib hanya boleh tersenyum dan berani berkata “saya sokong Pak Lah”. Hakikatnya Najib amat bimbang nasib dan masa depannya kalau-kalau Anwar memintas peluangnya. Najib walaupun nampak lebih berwibawa, tetapi politiknya sudah tercalar oleh isu Altantuya. Hantu Altantuya nampaknya terus mengejar Najib ke mana-mana hingga Disember ini. Sudah berkali-kali Najib menafikan tuduhan-tuduhan tentang hubungannya dengan Altantuya, tetapi rakyat masih mempersoalkan apa benar penafian itu?



Pak Lah sebenarnya ada tiga musuh besar. Bekas bosnya, Tengku Razaliegh masih berminat untuk membuat ‘coming back’, tetapi Anwar pula begitu yakin untuk mengambil alih tempat Pak Lah. Najib sudah melihat nasib Musa Hitam, Tengku Razaliegh dan Anwar bila mereka bersuara. Najib cuba mengambil jalan selamat untuk berdiam diri, kononnya berdiri teguh di belakang Pak Lah. Dalam hati Najib, Allah sahaja yang tahu. Jika berdiam, mungkin Pak Lah akan serahkan kepadanya; tetapi Anwar dan Tengku Razaliegh mungkin boleh memintas peluangnya. Jika melawan, hantu Altantuya mungkin berterbangan lagi. Lihatlah bagaimana nasib Yong Teck Lee selepas mengumumkan sikapnya terhadap Pak Lah terus didatangi pegawai BPR!

Najib cukup sedar bahawa Anwar lebih berbahaya daripada Tengku Razaliegh dalam memintas peluangnya. Tetapi jika Najib berdiam diri, bila-bila masa Tengku Razaliegh boleh mengambil alih peluangnya. Soalnya, Najib semacam yakin akan yang diperkatakan oleh Anwar selama ini bahawa Kerajaan BN akan tumbang menjelang ulang tahun Malaysia ke-45 pada 16 September ini. Tengku Razaliegh akan mencabar peluangnya pada Disember, tetapi Anwar lebih awal. Sesuatu mesti dilakukan supaya peluang Anwar terencat dengan segera dan peluang Najib terus terbuka. Najib amat sedar peranan ‘pemintas’ dari Anwar ini.

Apabila Raja Petra membuat akuan bersumpah tentang keterlibatan Rosmah dalam kes Altantuya dengan nama Khairy dan Pak Lah dikaitkan sekali, kelihatan Anwar sudah mendahului Najib. Tiba-tiba sahaja Saiful Bakhtiar mencipta nama dengan mengaku menjadi mangsa liwat Anwar yang terbaru. Soal orang percaya atau tidak sudah tidak timbul lagi. Yang penting nama Anwar mesti dipalitkan sebelum September menjelang. Di kalangan pemimpin BN, mereka sudah tahu ada empat wakil mereka akan melompat minggu ini jika Anwar terus gagah mendahului. Pengakuan Saiful Bakhtiar menjadikan drama politik lebih menarik walau tidak menentu.

Selang beberapa hari, penyiasat persendirian Razak Baginda pula membuat pengakuan bersumbah tentang hubungan Najib dengan Altantuya. Biru muka Najib menjawab pertanyaan wartawan dalam gabranya. Esoknya, Balasundram menarik balik kenyataan bersumpahnya. Apakah benar dia menarik balik dengan rela hati atau dipaksa, itu boleh diagak sendiri oleh rakyat. Tetapi undang-undang melarangnya. Bila dakwaan Balasundram sudah ditarik balik, Najib macam lebih bersih, tetapi Anwar membawa kesnya ke mahkamah untuk mencabar Saiful Bakhtiar. Najib dan Anwar terus serang menyerang untuk mengambil alih kepemimpinan.

Pak Lah nampaknya membiarkan supaya kedua-dua pencabarnya ini melalui pusingan ‘play-off’ sebelum berdepan dengannnya. Pak Lah cuma tunggu dan lihat siapa yang akan terkorban dalam perperangan mulut ini. Siapapun yang terkena, kedua-duanya sudah tercemar oleh skandal yang timbul. Sama ada benar Anwar meliwat Saiful Bakhtiar atau Najib memang mempunyai hubungan sulit dengan Altantuya, Allah sahaja yang tahu. Tetapi yang pasti kedua-dua sudah terpalit arang di muka mereka. Dan Pak Lah sudah tentu berasa begitu lega kerana dua pencabarnya sudah hilang wibawa.

Kita belum pasti sama ada Anwar akan dibawa ke mahkamah semula seperti yang berlaku pada 1998 atau kini giliran Najib pula mengadap hakim di sana. Belum pasti tilam siapa yang akan diusung oleh anak buah Tan Sri Musa Hasan, tetapi tidak mustahil salah seorang dari mereka akan dibilang ‘titisan mani’ mereka. Dahulu pun, Dr Mahathir menafikan krisisnya dengan Anwar sehingga hari-hari terakhir masih memperakui Anwar adalah pewaris takhtanya. Pak Lah pun bernada suara yang sama, tetapi rakyat sudah mulai curiga. Harus diingat, ‘putera mahkota’ Pak Lah bukannya Najib, tetapi orang yang bakal menggantikan kedudukan sepupu Najib di kerusi Ketua Pemuda Umno.

Saya sendiri syak kedua-dua cerita ini adalah fitnah kerana tidak ada bukti konkrit yang dikemukakan. Yang menuduh Najib tidak membawa saksi, yang menuduh Anwar pun sama. Mahkamah belum memperkatakan tentang kebenaran dakwaan-dakwaan itu. Saya lebih selesa melihatnya sebagai fitnah dahulu. Walaupun ia satu fitnah, kedua-duanya sudah tercemar! Peluang Najib dan Anwar hampir terkubur jika tersilap langkah. Yang tersenyum adalah Pak Lah. Beliau menafikan semua fitnah, berlepas tangan – padahal sengaja membiarkan perang berterusan supaya tidak ada lagi peluru menghujani nasibnya. Najib dan Anwar berperang, Pak Lah selamat seketika!

Kini yang masih berupaya mencabar Pak Lah dan membawa perubahan untuk Umno ialah Tengku Razaliegh Hamzah. Beliau diakui kebolehannya dalam pentadbiran kerajaan semenjak 1970-an lagi. Ahli Umno sudah lama melihat Tengku Razaliegh sebagai bakal presiden parti itu, tetapi nasib belum berpihak kepadanya. Selepas Tun Razak meninggal dunia secara mengejut dahulu ramai orang menjangka atau mengharapkan Tengku Razaliegh yang akan terpilih, tetapi Tun Hussein Onn memilih Dr Mahathir. Apabila berlaku pemilihan Umno pada 1987, hampir 50 peratus perwakilan Umno meyakini kebolehan beliau, tetapi Dr Mahathir membiarkan parti Melayu haram begitu sahaja.

Apabila Umno (Baru) ditubuhkan, Tengku Razaliegh tidak menjadi ahli kerana mahu hidupkan Umno asal. Dr Mahathir menarik nafas lega. Kini Tengku Razaliegh menawarkan diri semula untuk mendapatkan jawatan tertinggi itu. Pak Lah garu kepala. Ahli Umno sekarang ini tidak ada yang berkata tidak kepada Tengku Razaliegh walaupun beliau lebih tua dari Pak Lah. Cuma yang dibimbangi oleh pemerhati, jika Najib dan Anwar tersingkir dalam persaingan ini, siapakah pula yang ‘bakal diliwat’ atau ‘berskandal’ dengan Tengku Razaliegh? Mungkin Khairy Jamaluddin sedang meninjau kedai al-Quran untuk Tengku Razaliegh bersumpah pula…


YB Tn Hj Mahfuz Omar
Ahli Parlimen Pokok Sena
Ketua Penerangan PAS Pusat

6 comments:

mafuzal said...

sepatutnya sekarang ni,,kita jgn tengok Anuar dengan Najib saja yang duk pening kepala dengan tuduhan itu ini...sekarang ni kena timbulkan isu yang memang nyata paklah dengan menantunya telah rosakan negara kita..carikan satu isu yang telah dibuat oleh mereka dua ni..dan buat tuduhan...biar dia sama yang kena jgk... dalam masa ni memang elok sangat la sebab pakat2 duk tuduh aku hang

mafuzal said...

sepatutnya sekarang ni,,kita jgn tengok Anuar dengan Najib saja yang duk pening kepala dengan tuduhan itu ini...sekarang ni kena timbulkan isu yang memang nyata paklah dengan menantunya telah rosakan negara kita..carikan satu isu yang telah dibuat oleh mereka dua ni..dan buat tuduhan...biar dia sama yang kena jgk... dalam masa ni memang elok sangat la sebab pakat2 duk tuduh aku hang

Anonymous said...

mungkin benar yang ketawa adalah Pak Lah..

yang pening kepala adalah Najib dan DSAI..

tapi, yang pening lagi ialah TDM.. rasanya dia yang takut sangat DSAI jadi PM..

Anonymous said...

sdr Mahfuz,

Saiful Bukhari, bukan Saiful Bakhtiar..

Politik siapa naik siapa turun memang penting, tapi ia harus dilihat dari perspektif kenapa ia berlaku..agar politik kepentingan rakyat dan negara tidak diabaikan.

TOK PENGULU said...

salam saudara mahfuz...

fitnah memfitnah dan konspirasi takkan berhenti dan berkisar antara dsai dan najib sahaja...mp mp pas kena lebih berhati2 takut terpalit dengan konspirasi seperti yang melanda 2 tokoh kepimpinan ini. apakah mp mp pas bebas dengan rasuah? penyelewengan ?penyalahgunaan kuasa? kroni? seks?. walaupun bebas tidak bermakna selamat dalam situasi hari ini. rakyat tidak percaya kepada tokoh pemimpin,parti,polis,kehakiman,bpr dan badan-badan berkanun yang lain. dalam ketawa paklah kita tidak pasti akan wujudnya pula fitnah yang tanpa diundang. saya seringkali menghadiri ceramah2 pas yang mengatakan berlakunya penyelewengan oleh rejim bn. apakah pas mempunyai bukti2 yang sahih? saya mulai faham perjalanan politik di malaysia yang penuh dengan pembohongan yang dahsyat.

TOK PENGULU said...

salam saudara mahfuz...

sila kemukakan soalan ini di parlimen..

1- peruntukan yang disalurkan untuk membangunkan measjid atau pun aktiviti2 yang berkaitan dengan pembangunan islam adalah dari sumber pendapatan negara seperti cukai dan dari rangkaian syarikat glc. adakah peruntukan ini bersih dan tidak shubhah? adakah kerajaan mempunyai satu sistem yang mengasingkan pendapatan yang bersih (halal) dengan pendapatan yang shubhah ( mungkin haram) sebagai contoh cukai kilang arak dan cukai kilang gula. adakah ianya disatukan bersama atau diasingkan. persoalannya jika sekiranya cukai tersebut disatukan maka peruntukan pembangunan aktiviti2 islam dan pembinaan masjid adalah amat diragui akan statusnya. wassalam..