Thursday, August 7, 2008

MUZAKARAH: SENJATA UMNO TIDAK MENJADI

KEGAWATAN politik Umno telah mengundang satu strategi jahat untuk memerangkap, sekali gus menghuru-harakan politik Pakatan Rakyat. Ketika rakyat sedang sibuk memperkatakan ketidakwajaran Kerajaan BN menaikkan harga minyak sehingga 41 peratus, tiba-tiba ada seseorang tanpa rasa malu dan jijik mengaku diliwat, tetapi gagal membawa empat orang saksi. Selang beberapa hari, penyiasat persendirian yang diupah oleh Razak Baginda telah membuat akuan bersumpah bahawa seorang lagi saingan Abdullah Badawi, Najib Razak juga terpalit dengan skandal seks Altantuya. Dilaporkan bahawa perakuan bersumpah turut menyebut tentang aktiviti liwat juga. Kecoh seketika kerana isu harga minyak telah bertukar menjadi isu liwat melibatkan dua orang calon Perdana Menteri!

Dengan tak semena-mena tiba-tiba Abdullah Badawi membuat akuan kepada media bahawa beliau telah tiga kali bermuzakarah dengan PAS yang diwakili oleh ‘decision making’nya. Politik negara berubah sama sekali. Harga minyak sudah tidak menjadi isu. Kes liwat juga turut lesu. Tumpuan beralih kepada PAS. Semua mata melihat kepada PAS. Sebagai pemimpin PAS, seolah-olah saya sedang bersalah – diperhatikan orang ke mana sahaja. Saya sedar rakyat tertanya-tanya apakah benar PAS akan ‘rujuk’ semula dengan Umno untuk berkongsi kuasa setelah bercerai talak tiga pada 1977. Mungkin ada yang berfikir tidak mustahil, kerana PAS sudah biasa ‘berkahwin’ dengan S46, DAP dan PKR selepas itu. Tetapi saya sendiri masih berkeras bahawa tidak siuman jika ada yang beranggapan sedemikian terhadap PAS.

Saya amat berterima kasih kepada ahli-ahli dan penyokong PAS yang segera memberikan respon terhadap persoalan yang berlaku. Inilah satu sikap terpuji ahli-ahli dan penyokong PAS yang tidak mahu parti ini tersalah pilih jalan. Soal benar atau tidak pendirian ahli-ahli PAS, itu menjadi soal yang kedua. Yang utama ialah mereka dengan ikhlas hati mengingatkan PAS supaya tidak terjebak dengan permainan politik kotor Umno/BN yang sedang terdesak itu. Saya tabik kepada mereka yang ikhlas memberikan ingatan ini, dan mungkin berkat keikhlasan itulah serta doa ahli-ahli PAS yang ditindas oleh Umno, maka strategi jahat Umno tidak menjadi. Syabas saya ucapkan.

Sebenarnya pimpinan PAS amat sedar bahawa Umno telah cuba menjerat PAS dalam percaturan politik ini. Umno mempelawa PAS untuk berjumpa, kata Abdullah Badawi untuk “kepentingan Islam dan ketuanan Melayu”. PAS bersedia hadir untuk mendengar luahan hati ‘orang sakit’ Umno. Rupanya, di sebalik persoalan kepentingan Islam dan ketuanan Melayu itu, secara senyap-senyap mereka menawarkan PAS untuk membentuk pakatan politik baru, kononnya untuk memperkukuhkan ketuanan Melayu. Dulu, ketika mereka kuat, mengapa ketuanan itu tidak diteguhkan? Sebaliknya, siapa yang mencabul kedaulatan Raja-raja Melayu? Siapa yang menggantikan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris? Siapa yang menggadai tanah rezab Melayu? Siapa yang menafikan biasiswa untuk orang Melayu? Dan siapa… siapa… siapa… yang membuatkan orang Melayu kehilangan ketuanan?

Kita tahu Umno tidak ikhlas dalam soal ini. Mereka mencari PAS bila terdesak. Dahulu Khir Toyo yang menjaja slogan pembangkang sifar, tetapi bila terdesak dialah yang pertama mencari PAS. Khir Toyo mengaku sendiri bahawa dia berusaha menawarkan kepada pimpinan PAS jawatan MB dan exco jika bersetuju membentuk kerajaan campuran dengan Umno. Tajol Rosli Ghazali dan Adnan Yaakub muncul kemudian selepas Abdullah Badawi mendedahkannya. Ikhlaskah Abdullah Badawi untuk bekerjasama dengan PAS apabila melontarkan isu ini untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap kedudukan beliau yang sedang tercabar.

Abdullah Badawi amat tergugat dengan perkembangan terkini dalam Umno. Walaupun pelan peralihan telah diumumkan, rata-rata ahli Umno sepakat dengan pandangan Yong Teck Lee bahawa kepemimpinan Abdullah Badawi sudah tidak boleh dipercayai. Cawangan-cawangan sudah mencalonkan Najib, Muhyiddin Yasin dan Tengku Razaliegh Hamzah sebagai bakal Presiden Umno, walaupun MT Umno sudah menutup ruang demokrasi untuk mencabar presiden itu. Inilah kegawatan dalaman yang menjadi ketakutan Abdullah Badawi. Di luar Umno, kemaraan Anwar Ibrahim amat menggerunkan walaupun isu liwat cuba dipalitkan. Najib yang menjadi pencabar utama juga tercemar.

Abdullah Badawi tidak ada pilihan melainkan memecahkan Pakatan Rakyat. Dia sedar jika 22 orang ahli Parlimen PAS menykong BN, maka kuasa dua pertiga akan mereka perolehi kembali. Jika PAS menyokong BN, tidak akan ada lompat-melompat lagi di Sabah dan Sarawak. Jika PAS menyokong BN, Pakatan Rakyat akan pecah dan runtuhlah kerajaan di Selangor, Perak dan Kedah. Itulah bacaan Abdullah Badawi sebagai teori untuk mengekalkan kuasanya. Kerana itu, dia segera memberitahu media bahawa PAS sedang bermuzakarah dengan Umno, dan media menggambarkan bahawa satu pakatan politik baru akan diwujudkan antara PAS dengan BN. Kerana itu, ahli-ahli dan penyokong PAS segera memberikan tindak balas.

Saya amat bersyukur apabila pimpinan PAS yang membuat keputusan pada minggu lepas mengambil langkah paling bijak iaitu menolak kerjasama kongsi-kuasa dengan BN. Sebelum ini, walaupun desas-desus sudah tersebar tentang pertemuan PAS-Umno, tetapi pimpinan PAS belum mengambil sebarang keputusan. Pimpinan tertinggi sekadar tunggu dan lihat sikap Umno tanpa memberikan sebarang keputusan. Walaupun Umno cuba menggambarkan bahawa PAS begitu positif dengan kerjasama ini, ia sebetulnya belum dibuat sebarang keputusan, bahkan PAS belum pernah membincangkannya lagi. Kerana itu, silap jika kita mengatakan PAS telah berubah hati terhadap Pakatan Rakyat.

Mungkin ramai juga ahli PAS memberi komen bahawa ahli dan penyokong PAS jangan tergesa-gesa mempercayai media masa milik Umno. Perkara ini tidak boleh dirumuskan dengan emosi, tetapi dengan akal yang waras. Tetapi sebagai pimpinan, saya terbuka dalam meraikan pandangan balas ahli-ahli. Saya sendiri mempunyai pendirian bahawa kemarahan sesetengah ahli PAS adalah berdasarkan maklumat sebelah pihak – media Umno. PAS walau bagaimanapun, apabila membincangkan perkara ini, mengambil kira kritikan, pandangan, teguran dan sungutan ahli-ahli yang kita percaya dibuat dengan ikhlas. Dan PAS dengan tegas menyatakan pendirian untuk tidak berkongsi-kuasa dengan Umno dalam perkara ini. PAS juga bertegas serta penuh yakin bahawa kerjasama dengan Pakatan Rakyat mesti diperkasakan dan ianya mampu membawa perubahan yang lebih baik untuk masa depan negara dan rakyat Malaysia.

Dengan berakhirnya isu muzakarah ini, maka strategi licik Umno untuk memerangkap PAS dalam jerat politik sempit itu telah gagal. Umno akan terus mereput dalam kubang politik yang dibinanya sendiri, penuh dengan selut dan kotoran rasuah, nepotisme, salah guna kuasa, dengki, iri hati dan kesumat. Biarlah Umno terkubur sendiri dalam drama yang mereka sendiri plotkan. PAS sekarang telah berjaya keluar daripada jerangkap samar itu. Kini, masa PAS untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat tanpa menoleh kebelakang lagi. PAS perlu terus mara, maju ke hadapan untuk membina sebuah negara yang adil, telus dan berkebajikan.

Komponen Pakatan Rakyat pada masa ini perlu memberikan tumpuan kepada pilihan raya kecil di Permatang Pauh kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di sana. Tidak ada masa lagi untuk kita bercakaran atau membangkitkan isu-isu remeh-temeh yang boleh diselesai di meja rundingan. Tumpuan utama PAS sekarang ialah mengukuhkan kerjasama Pakatan Rakyat, dan Permatang Pauh adalah gelanggang terbaik untuk PAS buktikan. Saya menyeru seluruh pimpinan dan ahli PAS supaya turun menggempur Permatang Pauh bagi menamatkan riwayat politik BN di negara ini. Dan Permatang Pauh patut mencatatkan sejarah tentang komitmen PAS untuk terus bersama Pakatan Rakyat, bukan seperti yang dimomokan oleh media pelacur politik.

Saya bergembira apabila Sidang Kemuncak Kerajaan Pakatan Rakyat akan diadakan di Kota Bharu dalam masa terdekat ini. Ia adalah satu perkembangan yang amat positif dalam mengukuhkan pakatan ini, sekaligus meningkatkan keupayaan kerajaan di lima buah negeri Pakatan Rakyat ini. Rakyat juga perlu terus memberikan sokongan padu kepada PAS dan Pakatan Rakyat untuk terus membangunkan negeri-negeri ini serta membela kepentingan rakyat. Kita lupakan sahaja hikayat yang cuba dilakarkan oleh Umno yang mahu mengaitkan PAS dengan tujuan melemahkan Pakatan Rakyat. Hari ini kita sama-sama berpegang dengan janji PAS untuk terus komited dengan perjuangan rakyat!

6 comments:

Anonymous said...

YB,
Alhamdulillah. Semoga perjuangan bersama PR akan berterusan untuk kebaikan rakyat MALAYSIA.

AFRAR YUNUS said...

salam tn hj
nasib baik pi buat kenyataan mohon maaf berkaitan muzakarah dan muqabalah. hari tu orang kampung mula dok naik angin. depa kata takkan ketua penerangan pas pusat 'muhong'dalam isu ini. alhamdulillah, lepas penejelasan tn hj, depa lega..

Insan Istimewa said...

diharapkan agar segala kelemahan dapat diperbaiki demi Islam tercinta

Berhati dalam tindakan, banyak lagi "taktik" dari UMNO demi survival mereka

Anonymous said...

Salam kepada YB.

Isu Memohon maaf, dan menafikan Sepatutnya YB meletak jawatan sebagai Ketua Penerangan. Jawatan sebagai Ketua Penerangan dicadangkan oleh YB. Presiden parti dan disahkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Pusat.

Peranan Ketua Penerangan hendaklah tidak ada kepentingan dan percanggahan pendapat dengan presiden apabila berada di khalayak. Dalam mesyuarat boleh berbeza pendapat.

mat_terab said...

Itulah cara BN untuk menutup kelemahannya dengan mencipta isu lain dan isu penting seperti kenaikan harga minyak,Antatuya, Kelemahan sistem kehakiman dan sebagainya cuba ditutup

rusyd said...

PAS telah lama mengajak UMNO bermuzakarah tetapi keadaan dan situasi semasa yang menjadikan istilah itu buruk dan keji. UMNO cuma bersedia untuk bermuzakarah di saat roh UMNO sedang meronta-ronta untuk meninggalkan jasadnya, kenyataan Pak Lah yang menimbulkan kegawatan ini menjadi bukti bahawa UMNO memang ternyata tidak ikhlas.


Maka sekonyong-konyong itulah maka pelbagai penghinaan dan makian dilemparkan kepada pimpinan PAS seolah mengkhianati penyokong dan ahli. Inikah yang dinamakan keterbukaan. Malang sungguh. Bermuzakarah antara keduanya, adakah membuktikan PAS akan masuk UMNO? sedangkan UMNO masih dengan sikap munafiknya.