"Terima kasih kerana Azalina mengukuhkan lagi kerajaan Pakatan Rakyat (PR) dengan menambahkan lagi kemarahan kepada para pemimpin Barisan Nasional.
"Mula-mula dia kata semua memorandum persefahaman (MoU) berkaitan program pelancongan antara lima kerajaan negeri yang dikuasai kerajaan campuran dengan kerajaan pusat dibatalkan berkuat kuasa serta merta kerana tidak setuju dengan keputusan rakyat memilih kerajaan yang mereka kehendaki.
"Kelmarin dia ulangi lagi kenyataan sumbangnya dengan mendakwa kononnya MoU tersebut ditamatkan kerana beliau sudah tahu tidak boleh bekerjasama dengan pembangkang. Dia Tuhankah sehingga tahu apa yang akan berlaku?" kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Sambil menyifatkan Azalina begitu sempit dengan mentaliti kepuakan Barisan Nasionalnya, Mahfuz menyifatkan menteri itu tidak ada semangat Malaysia seperti para pemimpin Pakatan Rakyat (PR).
"Walaupun tahu rakyat di Kelantan dan di Terengganu dibuli sebelum ini dengan penahanan royalti minyak di Terenganu misalnya serta melambat-lambat serta menyusah-nyusahkan peruntukan untuk negeri yang ditetapkan oleh perlembagaan negara, tetapi kerajaan PR tetap menghormati kerajaan pusat," katanya.
Perkara itu, katanya, dibuktikan apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengunjungi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Razak juga akan mengunjungi Perdana Menteri.
"Tetapi, para pemimpin Barisan Nasional (BN) sengaja mengetepikan konsep federalisme yang ditetapkan oleh perlembagaan negara seperti yang dilakukan oleh Azalina itu," katanya.
Mahfuz menyifatkan sikap panas baran Azalina serta isyarat permusuhannya itu membuktikan para pemimpin BN mahu berperang dengan rakyat yang memilih kerajaan yang mereka kehendaki.
"Buat apa batalkan MoU sahaja? Kenapa Menteri Pelancongan tidak cadangkan supaya diubah lapangan terbang antarabangsa di Pulau Pinang ke Perlis?
"Kalau ikut lojik sikap beliau sepatutnya lapangan terbang antarabangsa di Pulau Pinang diubah ke Perlis, satu-satunya negeri di utara yang dikuasai BN.
"Adakah Menteri Pelancongan nak biarkan Pulau Pinang menjadi pintu masuk pelancong sedangkan beliau sudah sudah tahu tidak boleh bekerjasama dengan pembangkang? Ubahlah lapangan terbang antarabangsa ke Perlis,"
No comments:
Post a Comment