Wednesday, May 5, 2010

Apa salahnya RM4 juta untuk kalahkan Pak Lah

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan, apa salahnya menggunakan wang RM4 juta untuk mengalahkan Umno dalam pilihan raya umum ke 12 lalu asalkan ia bukan dari sumber yang tidak betul.

Bahkan, beliau sendiri sanggup untuk melakukan kerja menjatuhkan Umno dan BN yang sememangnya tidak baik itu jika diberikan wang sebanyak itu.

Bagi Mahfuz, isu itu sebenarnya, tidak wajar dipolemikkan kerana sebagai sebuah parti, memang menjadi kerja dan tugas PAS melawan kerajaan yang ada untuk menubuhkan kerajaan yang lebih baik.

Katanya, ahli PAS sanggup menggadaikan apa sahaja yang mereka ada untuk memperjuangkan Islam yang dibawa oleh PAS.

Beliau mengulas dakwaan blogger Sheikh Kickdefella atau Syed Azidi Abdul Aziz yang mendakwa beliau diberikan wang RM4 juta untuk menjalankan operasi gerak saraf menjatuhkan Umno dan BN pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjelang pilihan raya umum ke 12 lalu.

Jika sekiranya tidak benar pun dakwaan Kickdefella itu, beliau berkata, PAS sebagai sebuah parti politik akan tetap berkempen supaya rakyat menolak politik perkauman dan kezaliman yang dilaksanakan oleh para pemimpin Umno dan BN yang menggunakan prasarana kerajaan untuk melawan rakyat.

“Benar tidak benar dakwaan RM4 juta itu, memang saya tidak tahu, tetapi kalau tak benar pun, PAS tetap buat kerjanya berkempen supaya Umno BN kalah dalam pilihan raya depan,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

“Kalau betul pun, apa salahnya, memang keberadaan PAS dan parti-parti pembangkang yang lain sejak PRU 12 lalu adalah untuk pertahan kerajaan negeri (Kelantan), kuasai negeri-negeri (hatta) kerajaan Persekutuan sendiri,” tegas beliau.

Menurut Mahfuz, imej Abdullah sememangnya buruk bukan sahaja di kalangan pembangkang, malah di kalangan ahli-ahli Umno.

Maka, media-media pro Umno tidak seharusnya menyalahkan PAS dan pembangkang, sekiranya kelemahan Abdullah itu dijadikan modal berkempen pada PRU 12 lepas.

“Dia (Abdullah) sendiri memang lemah (dan) kelemahannya itu melengkapkan kelemahan yang sedia ada pada Umno itu sendiri (iaitu) mengamalkan rasuah, perkauman melampau dan sebagainya.

“Dia adalah simbol kepimpinan Umno, kalau kita berkempen menyerang Umno, tetapi tidak menyerang Abdullah, itu ajaib namanya,” ujarnya.

Seperti sekarang, fokus PAS sendiri, menurut beliau sudah tentu berkempen kepada rakyat supaya menolak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Sama juga sekarang, Najib adalah simbol kejahatan, simbol korupsi, simbol jenayah berprofil tinggi yang bukan saya saja pertikai, malah dunia sendiri sedang persoalkannya, kalau kita tak berkempen, itu kurang bijak namanya.”

Lanjutan itu, beliau turut meminta pihak berwajib yang dilihat cuba melaga-lagakan PAS dengan penulis Kickdefella, http://kickdefella.wordpress.com supaya menjelaskan motif di sebalik kenyataan masing-masing tentang senario politik tanah air belakangan ini.

“Berapa juta ringgit agaknya yang pemimpin Umno guna wang rakyat untuk rampas kerajaan negeri Perak?

“Benarkah RM100 juta duit rakyat dihabiskan oleh Umno BN untuk rampas semula Hulu Selangor baru-baru ini?

“Yang mereka (Umno) tahu memburukkan Datuk Zaid Ibrahim yang sudah pun bertaubat dengan pelbagai fitnah di media masa.

“Kenapa tindakan Umno menggadai dua telaga minyak kita (Blok L dan M) bernilai USD320 bilion pada Brunei tidak dilaporkan dengan baik?" soal beliau.

Menurut beliau, sepatutnya semua pihak lebih prihatin terhadap inisiatif kerajaan pusat membayar lebih RM77 juta pada firma perunding antarabangsa APCO Worldwide (IAC), firma yang dikaitkan dengan Zionis-Israel demi memperbaiki imej seorang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“RM77 juta dibayar pada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Zionis-Israel, sepatutnya (isu APCO) ini yang lebih dipedulikan,” jelasnya.

Katanya lagi, sekiranya ada mana-mana jutawan sudi memberi sejumlah wang yang sama, RM77 juta kepada beliau untuk berkempen supaya Umno BN kalah dalam PRU13 kelak, beliau bersedia untuk mengambil duit tersebut.

“Iya...kalau ada jutawan mana-mana yang nak beri saya RM77 juta, bukan beri kepada syarikat pro Zionis-Israel, agar PAS boleh berkempen untuk mengalahkan Umno BN dalam pilihan raya (umum) ke-13 untuk dedah siapa Najib sebenarnya, saya akan terima,” ujarnya dalam nada berseloroh.

“Saya ingat, semua parti pembangkang pun sudi terima sumbangan ikhlas oleh mana-mana pihak kerana mereka pun mahu selamatkan Malaysia dari terus dimusnahkan oleh politik perkauman Umno ini,” katanya.

Beliau berkata, tanpa RM4 juta pun, ahli-ahli PAS tetap akan turun berkempen dalam pilihan raya demi menghadapi Umno BN.

“PAS bukan setakat RM4 juta, nyawa pun mereka akan wakafkan untuk perjuangan Islam, demi menjatuhkan kerajaan yang nyata menerima petunjuk APCO Zionis-Israel.”

Sejak beberapa bulan lalu, Kickdefella dilihat mengkritik Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat serta beberapa pemimpin PAS Kelantan secara terbuka menggunakan blog peribadinya.

Ekoran kritikan tersebut, beberapa pihak seperti Datuk Nik Mohd Amar Abdullah (Exco Kerajaan Kelantan), Fadli Shaari (Ketua Penerangan Pemuda PAS negeri) serta blogger Tulang Besi atau Abdul Rahman Talib (pemilik blog MalaysiaWaves) bertindak mencabar beliau mendedahkan dalang di sebalik aktiviti korporatnya melalui Global Media Channel.

Demi membuktikan diri terlibat mempertahan kerajaan negeri Kelantan dari jatuh ke tangan Umno, Kickdefella mendedahkan bahawa beliau menerima RM4 juta dari pihak tertentu untuk menjalankan kerja-kerja mempertahankan kerajaan negeri.

Kini beliau disiasat oleh SPRM dan telah mendedahkan bagaimana dan daripada siapa wang itu diterimanya.

Dalam sidang medianya tengah hari tadi, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menafikan PAS terlibat memberikan wang itu kepada Syed Azidi namun beliau tidak tahu kalau-kalau ada pemimpin PAS terlibat.

4 comments:

hilbert said...

DEMOKRASI KAH ITU???

afmohamad said...

kan APCO dah nafikan dia ada terlibat ngan zionis. kerjasama kerajaan pun atas dasar bisnes. dan kerajaan berunding dengan syarikat yg dah nafikan dia ada terlibat ngan zionis. nak bising apa lagi. buangla sifat busuk hati kamu tu kat umno. klau mcm ni la sikap kamu, tak hairan satu hari nanti tuhan turunkan bala pada org islam/melayu sebab selalu berpecah.

mokhtar dollah said...

Dalam sidang medianya tengah hari tadi, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menafikan PAS terlibat memberikan wang itu kepada Syed Azidi namun beliau tidak tahu kalau-kalau ada pemimpin PAS terlibat.

Salam Ustz,
Harap dapat huraikan petikan diatas.
Saya berfahaman PAS adalah sebuah pati yang begitu sempurna dimana segala perancangan diatur telah dibincangkan melalui mesyuarah sesama pemimpin tertingi parti.

Kevin said...

datuk.. the funny part is.. u omly neede 4 million to jatuhkan one prime minister?? so cheap ah??
jadi menteri besar murah sikit ya
hahhahahah..