Tuesday, December 16, 2008

Keputusan saman fitnah Mahfuz Omar 23 Dis depan

KUALA LUMPUR 16 Dis — Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 23 Dis bagi keputusan saman fitnah Anggota Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar terhadap Utusan Melayu Berhad dan ketua pengarang akhbar terbitan syarikat itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini Mohd Yazid Mustafa menetapkan tarikh itu setelah mendengar hujahan peguam Mohamed Hanipa Maidin, bagi pihak Mahfuz, dan M. Reza Hassan bagi kedua-dua defendan mengenai isu jumlah ganti rugi yang patut diberikan dalam kes itu.

Mohamed Hanipa dalam hujahannya berkata jumlah RM100,000 ke RM300,000 adalah jumlah ganti rugi am yang munasabah.

M.Reza pula berkata mahkamah perlu memberikan jumlah ganti rugi yang nominal dengan mengambil kira faktor karakter dan sifat peribadi Mahfuz yang dikatakan lantang dan suka bertikam lidah.

Mahfuz, selaku plaintif, memfailkan saman itu pada 2001 dengan menamakan Ketua Pengarang Kumpulan akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia Datuk Khalid Mohd dan penerbit akhbar harian itu Utusan Melayu Berhad sebagai defendan-defendan. - Bernama

No comments: