Rakyat digesa menuntut supaya sidang Parlimen khas diadakan bagi menentukan keanggotaan, bidangkuasa dan prosedur suruhanjaya diraja bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock.
"Untuk menjamin siasatan yang tidak diragui, sidang khas Parlimen perlu diadakan segera untuk melantik anggota suruhanjaya diraja itu serta memutuskan bidang kuasa dan prosedur siasatannya," kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
Persoalan yang lebih penting, katanya, suruhanjaya diraja itu hendaklah dianggotai oleh tokoh-tokoh yang tidak dipertikaikan integriti mereka.
"Untuk menjamin suruhanjaya diraja itu dianggotai oleh tokoh-tokoh yang tidak dipertikaikan integriti mereka, perlantikan mereka mestilah dicadangkan oleh pihak yang lebih diyakini.
"Sebab itulah saya mencadangkan supaya sidang khas Parlimen yang melantik anggota suruhanjaya diraja itu serta memutuskan bidang kuasa dan prosedur siasatannya," tegas Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Selepas itu, katanya, keputusan itu dicadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Menurut amalan biasa, keanggotaan suruhanjaya diraja seperti itu dicadangkan oleh Perdana Menteri dan kemudiannya mereka dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
"Masalahnya, bagaimana rakyat hendak meyakini kewibawaan suruhanjaya diraja itu jika keanggotaannya dicadangkan oleh (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak)?
"Amat sukar bagi rakyat meyakini kewibawaan anggota suruhanjaya diraja itu jika mereka dicadangkan oleh orang yang tidak henti-henti dipertikaikan kewibawaanya," kata beliau.
Lebih dari itu, katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.
"Bolehkah rakyat mempercayai cadangan Perdana Menteri itu bebas dari kecenderungan melindungi badan yang dituduh menjadi talian hayat parti yang dipimpinnya?" Mahfuz mempersoalkan.
Beliau yakin hanya dengan cara itu sahaja rasa tidak puas hati rakyat dapat dikurangkan.
2 comments:
saya nak minta Yb Izzat tolong tengok dan baca email yang dijawab oleh pegawai khasnya itu, seolah-olah Uztas Izzat bukan seorang ustaz,bukan seorang Yb dan bukan seorang Ustaz Izzat yang kita kenal, tapa cara jawapan itu macam geng tarik kereta.
Saya setuju 100 peratus.Biar parlimen yang lantik..
Post a Comment