Penubuhan inkues untuk menentukan punca sebenar kematian Teoh Beng Hock akan menambahkan lagi keraguan rakyat terhadap kematian tersebut, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
"Rakyat menuntut suruhanjaya di raja yang menyiasat punca sebenar kematian Teoh Beng Hock di mana ia termasuk menyiasat cara siasatan yang digunapakai oleh SPRM semasa melakukan soal siasat terhadap Teoh dan semua perkara yang boleh menentukan punca kematian beliau," tegas beliau.
Menurut beliau, suruhanjaya di raja menyiasat punca sebenar kematian Teoh mempunyai bidang kuasa yang lebih luas berbanding inkues yang hanya diketuai oleh seorang majistret.
"Suruhanja di raja bertangungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong sahaja manakala majistret pula tertakluk kepada arahan ketuanya dan ketuanya pula tertakluk kepada arahan lebih banyak lagi ketua," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Mahfuz juga menggesa rakyat supaya menuntut sidang Parlimen khas diadakan bagi menentukan keanggotaan, bidangkuasa dan prosedur suruhanjaya di raja bagi menyiasat punca sebenar kematian Teoh.
"Untuk menjamin siasatan yang tidak diragui, sidang khas Parlimen perlu diadakan segera untuk melantik anggota suruhanjaya di raja itu serta memutuskan bidang kuasa dan prosedur siasatannya," katanya.
Persoalan yang lebih penting, katanya, suruhanjaya di raja itu hendaklah dianggotai oleh tokoh-tokoh yang tidak dipertikaikan integriti mereka.
"Untuk menjamin suruhanjaya di raja itu dianggotai oleh tokoh-tokoh yang tidak dipertikaikan integriti mereka, perlantikan mereka mestilah dicadangkan oleh pihak yang lebih diyakini.
"Sebab itulah saya mencadangkan supaya sidang khas Parlimen yang melantik anggota suruhanjaya di raja itu serta memutuskan bidang kuasa dan prosedur siasatannya," tegas beliau.
Selepas itu, katanya, keputusan itu dicadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Menurut amalan biasa, keanggotaan suruhanjaya di raja seperti itu dicadangkan oleh Perdana Menteri dan kemudiannya mereka dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
"Masalahnya, bagaimana rakyat hendak meyakini kewibawaan suruhanjaya diraja itu jika keanggotaannya dicadangkan oleh (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak)?
"Amat sukar bagi rakyat meyakini kewibawaan anggota suruhanjaya diraja itu jika mereka dicadangkan oleh orang yang tidak henti-henti dipertikaikan kewibawaanya," kata beliau.
Lebih dari itu, katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.
"Bolehkah rakyat mempercayai cadangan Perdana Menteri itu bebas dari kecenderungan melindungi badan yang dituduh menjadi talian hayat parti yang dipimpinnya?" Mahfuz mempersoalkan.
Beliau yakin hanya dengan cara itu sahaja rasa tidak puas hati rakyat dapat dikurangkan.
No comments:
Post a Comment