KETIKA politik negara masih dalam kegawatan ekoran kelemahan kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, umat Islam didatangi oleh bulan penuh berkat, Ramadhan al-Mubarrak. Bulan ini di kalangan orang melayu sejak sekian lama dikenali sebagai bulan puasa kerana ibadat puasa diwajibkan padanya. Tetapi mungkin ramai yang tidak sedar bahawa Ramadhan sebenarnya bulan latihan dan juga bulan pembaharuan politik yang begitu bermakna kepada umat Islam sepanjang sejarahnya.
Kita biasa menyambut Ramadhan dengan zakat fitrah, puasa, tarawikh, qiamullail, bersedekah dan lain-lain. Suatu masa dahulu tazkirah yang dianggap amat bermanfaat untuk yang beriman pernah diharamkan oleh Kerajaan BN di bulan Ramadhan. Sebenarnya melalui sesi tazkirah inilah para ulamak dapat menyampaikan seruan-seruan agama Islam yang bersifat merahmati alam. Melalui tazkirah, orang awam diberikan kefahaman tentang makna dan falsafah ibadat-ibadat yang diamalkan supaya ia tidak tinggal sekadar ibadat atau adat sahaja, tetapi ia boleh membentuk peribadi yang mulia sebagaimana sembahyang boleh mencegah fahsya dan mungkar.
Dalam bulan Ramadhan ini Allah SWT telah mentakdirkan berlakunya beberapa peristiwa politik yang penting kepada umat Islam. Yang pertama, Allah mahu memberikan kita pengajaran bahawa Ramadhan bukan semata-mata bulan ibadat atau kita bersikap lemah kerana kelaparan, sebaliknya Allah mahukan kita jadikan ia sebagai satu perjuangan. Kita berjuang melawan nafsu untuk memboleh kita bertahan sehingga mata hari jatuh, pada malamnya walaupun letih, kita disuruh lagi berqiamullail atau bertarawikh. Ini satu perjuang jihad terhadap nafsu. Tiba-tiba dalam keadaan letih seperti ini, kita mendengar tazkirah bahawa dalam keadaan berpuasa Ramadhanlah Rasulullah SAW dan para sahabatnya berhadapan dengan musuh-musuh dalam Perang Badar.
Perang Badar merupakan satu batu pemisah di antara politik kotor dan jijik yang berasaskan kepada pemikiran keduniaan yang gilakan pangkat, penuh tipu daya, rasuah dan penyelewengan, beralih kepada satu politik baru yang telus, adil dan berkebajikan berasaskan wahyu Allah SWT. Islam tidak mengajar kita supaya berperang atau membunuh musuh, tetapi yang diajar oleh Islam ialah setiap umatnya wajib berjihad untuk menegakkan kebenaran. Jika patut mati, maka kita mesti sanggup mati. Jika patut habis harta benda, maka kita mesti sanggup mengorbankan harta benda. Inilah perjuangan yang ditanamkan dalam bulan Ramadhan sehingga politik Islam yang adil kepada semua dapat ditegakkan.
Pemisahan antara kebenaran dan kebatilan ini menjadi isu utama dalam agenda Ramadhan. Ikonnya ialah al-Quran, iaitu kitab suci yang diturunkan dalam bulan Ramadhan untuk memberikan petunjuk kepada manusia, sekaligus menjadi pembeza antara yang hak dan yang batil. Nama al-Quran yang dikenali juga sebagai al-Furqan itu adalah dengan maksud kitab suci sebagai batu sempadan yang memisahkan antara dua sifat bertentangan dan saling kontradik ini. Dalam bulan yang mulia ini Allah SWT telah menurunkan al-Quran sehingga meletakkan Ramadhan benar-benar mulia berbanding bulan-bulan yang lain. Kenapa? Kerana dalam bulan inilah keburukan disingkirkan daripada kebaikan. Kemuliaan kita semua juga akan tercapai sekiranya kita bersedia untuk membuang kebatilan dalam hidup kita dan menggantikannya dengan kebenaran.
Ketika kita berpuasa, ada dua perkara yang asalnya halal untuk kita, tetapi kita diharamkan daripada menikmatinya. Pertama, makan minum dan kedua, bersetubuh dengan isteri. Kita patut sedar apabila Allah mendidik kita supaya satu bulan kita tidak memakan makanan yang halal, yang kita sendiri berusaha mendapatkannya dengan cara yang halal, dan memilikinya secara halal, tetapi diharamkan ke atas kita memakannya pada siang hari. Mesejnya cukup jelas. Jika makanan yang halal pun kita sanggup untuk tinggalkan kerana taat kepada Allah, maka bagaimana seorang yang beriman sanggup makan benda yang haram di sisi Allah. Orang yang berpuasa tidak makan rasuah, tidak mengamalkan riba, tidak benarkan lesen judi, tidak menyeleweng, tidak salah guna kuasa, tidak beri projek kepada anak beranak, tidak menggunakan duit rakyat untuk kayakan kroni.
Jika seseorang itu berpuasa, tiba-tiba dalam masa yang sama mereka mengamalkan cara-cara memperolehi kekayaan atau harta benda melalui saluran yang haram, maka tidak ada makna dia meninggalkan yang halal pada bulan Ramadhan. Begitu juga masalah isteri kita yang kita kahwini dahulu dengan mas kahwinnya, maharnya, aqadnya dan sebagainya. Sudah sekian lama dia halal untuk kita, tiba-tiba pada siang hari bulan Ramadhan ia diharamkan ke atas kita. Sudah tentu kita dapat memahami bahawa jika isteri kitapun kita tidak bersetubuh dengannya, maka bagaimana boleh timbul cerita-cerita zina, khalwat, sumbang mahram, rogol dan akhir-akhir ini timbul pula cerita liwat. Orang yang berpuasa tidak buat semua ini, termasuk menuduh orang lain berzina atau meliwat tanpa membawa empat orang saksi. Tidak cukup sekadar bersumpah tentang tuduhan liwat atau zina, sebaliknya kita kena sedar puasa telah mengajar kita bahawa persetubuhan yang halal itu kita tangguhkan kerana taatkan Allah, dan tidak timbul sama sekali untuk melakukan persetubuhan haram.
Berbalik kepada masalah pembaharuan politik yang berlaku dalam bulan Ramadhan. Selain Badar yang membuka satu tema baru dalam politik dunia dengan menghapuskan politik adu-domba dan penyelewengan, dalam bulan ini juga berlakunya pembukaan kota Mekah atau Fath Makkah. Ia adalah reformasi politik terpenting dalam sejarah umat manusia, khususnya bagi umat Islam. Semenjak kota Mekah dibuka semula oleh Islam, maka berakhirlah satu tradisi mempertahankan amalan dan kepercayaan karut bahawa amalan menyembah berhala tidak boleh dihapuskan. Ia juga menjelaskan bahawa waris tok nenek yang tidak betul mesti ditinggalkan. Jika pilihan yang dibuat oleh tok nenek kita dahulu salah, merugikan dan mungkin boleh menghancurkan masa depan bangsa dan nusa, maka kita mesti berubah pada bulan Ramadhan ini untuk memilih cara hidup baru yang menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat.
Kita tahu dalam Perang Badar, ketua penjenayah, Abu Jahal telah dijatuhkan daripada takhta kerajaannya apabila dia dibunuh dengan hina oleh orang yang pernah dihinanya dahulu. Satu dekad sebelum Perang Badar, Abu Jahal telah menzalimi Abdullah Ibnu Mas’ud dengan mencederakannya kerana melaungkan reformasi aqidah. Dalam Perang Badar, Abdullah Ibnu Mas’ud yang lemah ini telah diberi peluang oleh Allah untuk menjatuhkan seorang pemimpin yang zalim lalu membunuhnya. Semenjak itu, keadilan Islam mula boleh ditegakkan dengan cara yang lebih berkesan lagi sehingga Islam dapat bertapak dengan kukuh di semenanjung Arab. Ini merupakan antara pembaharuan-pembaharuan politik yang berlaku pada bulan Ramadhan yang harus kita insafi.
Bermula sejak awal Ramadhan, kita sudah diwajibkan juga untuk berzakat fitrah, selain galakan sedeqah, infak, wakaf dan sebagainya. Tujuan utama ialah supaya manusia faham bahawa Islam mahukan hubungan semasa manusia diperkukuhkan melalui amalan kebajikan. Kebajikan adalah satu isu yang besar dan penting dalam agenda ekonomi, politik dan sosial Islam. Tetapi kebajikan tidak akan lahir melainkan kita menegakkan juga bersama-samanya kerajaan yang adil dan telus. Kerana itulah, Ramadhan menjadi universiti untuk melatih manusia bersikap telus dengan Allah melalui peninggalan makan, minum dan seks; kemudian Ramadhan membawa pula mesej keadilan dan kebenaran melalui Badar dan Fath Makkah. Reformasi ini diperkukuhkan pula oleh amalan kebajikan.
Dalam konteks politik di negara kita hari ini, suasana kalut dan cacamerba wujud sejak sekian lama. Ternyata pilihan mak bapa kita dahulu kurang tepat. Kita tidak menyalahkan mereka kerana membuat pilihan setelah menerima maklumat yang salah melalui kaca tv, corong radio dan dada akhbar. Tetapi, kita sebagai generasi yang bertanggungjawab harus menolak semua kesilapan untuk demi generasi akan datang. Kita tidak perlu berdegil untuk mempertahankan warisan dan amalan tok nenek kita dengan ‘Kapal Layar’nya, sebaliknya kita mesti memulakan pembaharuan dengan memilih kerajaan baru yang adil, telus dan berkebajikan. Kita tidak usah terpedaya dengan kosmetik politik seperti sumpah laknat, penurunan harga minyak dan janji-janji projek baru, tetapi kita mesti bertekad supaya kesilapan lepas tidak diulang.
Jika umat Islam di negara menghayati Ramadhan dalam yang minimum seperti di atas, ia sudah cukup untuk membuka peluang kepada kita bagi melakukan perubahan politik dalam bulan Ramadhan ini. Khabarnya 16 September akan berlaku perubahan. Benar atau tidak jangan dipersoalkan. Yang penting, rakyat mesti bertekad untuk menamatkan kekuasaan politik oleh kerajaan yang zalim, menindas, menyeleweng, rasuah, mengutamakan kroni dan keluarga dan sebagainya. Semangat dan roh Ramadhan perlu ditanam kejap dalam diri masing-masing bahawa yang rakyat selama ditindas dan dizalimi akan bangkit untuk menjatuhkan kezaliman dan melaku perubahan politik besar-besaran dalam masa yang terdekat ini.
YB Yn Hj Mahfuz Omar
Ahli Parlimen Pokok Sena
Ketua Penerangan PAS Pusat