Wednesday, July 22, 2009

Tarif elektrik: Sehingga bila rakyat dipaksa pelihara kucing gemuk?

Bebanan perjanjian berat sebelah dengan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) mesti diatasi terlebih dahulu sebelum Tenaga Nasional Berhad (TNB) bercakap hendak menaikkan tarif elektrik, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Beberapa hari lalu, Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Che Khalib Mohamad Noh dianggap membayangkan kenaikan tarif elektrik apabila menyatakan harga bahan api sekarang lebih mahal dari awal tahun ini.

"Persoalannya, sejauh manakah usaha TNB mengkaji perjanjian yang memihak kepada IPP dan menindas pengguna TNB termasuk golongan miskin?

"Masalahnya sekarang, TNB mesti membeli tenaga dari IPP walaupun tidak digunakan. Angka hujung tahun lalu sahaja menunjukkan TNB dipaksa membayar RM3 bilion setahun kepada IPP," kata Mahfuz.

Persoalan lebih besar lagi, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, mengapa kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak kelihatan berusaha bersungguh-sungguh mengatasi perkara itu?

"Adakah IPP tersebut sebenarnya kucing gemuk mereka? Sehingga bila rakyat terus dipaksa menjadi kuli yang membesarkan lagi kucing-kucing gemuk itu!" beliau mempersoalkan.

Beliau juga mempersoalkan apa lagi 'hadiah' Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada rakyat miskin.

"Sebelum ini tambang pengangkutan awam dinaikkan. Mentaliti kerajaan BN tidak berubah, asal ada masalah naikkan harga," katanya.

Mahfuz berharap rakyat dapat menuntut kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai pengangkutan awam untuk mencari jalan mengurangkan beban mereka.

"Jawatankuasa itu boleh mencadangkan pelbagai perkara termasuk subsidi minyak khusus untuk kenderaan awam, potongan cukai untuk alat ganti kenderaan awam dan sebagainya," kata beliau.

No comments: