Friday, April 18, 2008

UMNO TIDAK HORMATI FEDERALISM

Satu masa dahulu orang-orang Melayu diketuai Umno mengadakan bantahan keras kepada British apabila Malayan Union atau Kesatuan Malaya ditubuhkan pada 1946. Bahkan, penubuhan Umno sendiri mempunyai kaitan dengan reaksi politik orang Melayu ketika itu sehingga boleh dikatakan Umno tidak akan lahir jika tidak kerana Malayan Union. Orang Melayu menolak negara kesatuan kerana ia menjejaskan kuasa Raja-raja Melayu, sehingga ada sejarawan berpendapat itulah kali pertama seluruh Tanah Melayu benar-benar dijajah melalui Malayan Union. Hasil penentangan menyeluruh orang Melayu, maka pada 1 Februari 1948, Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan berasaskan prinsip federalisme.

Kewujudan persekutuan ini mungkin antara sumbangan Dato’ Onn Jaafar yang boleh rakyat negara ini hargai. Tetapi malangnya, Umno yang diasaskan oleh Dato’ Onn pada 1946 (kemudian meninggalkannya pada 1951) telah mengkhianati prinsip federalisme yang menunjangi pembentukan negara Malaysia hari ini. Dahulu, negeri-negeri Melayu pada asalnya adalah terpisah antara satu sama lain mengikut kerajaan negeri masing-masing sehingga mudah kuasa asing menyerang dan menjajah negeri Melayu. British cuba menyatukan negeri-negeri tersebut melalui Malayan Union, tetapi orang Melayu mahukan persekutuan supaya setiap negeri kekal dalam kuasa autonomi masing-masing dan Sultan Melayu terus berdaulat.

Secara prinsipnya, konsep persekutuan atau federalisme merupakan satu proses hubungan pusat-pinggir (negeri) di mana bidang kuasa kerajaan pusat dan kerajaan negeri dinyatakan dengan jelas. Dalam amalan kebanyakan negara federal yang lain, negeri diberikan kuasa autonomi untuk membolehkan mereka mentadbiran urusan-urusan di bawah bidang kuasa mereka dengan berkesan. Di Malaysia, amalan federalisme ini dinyatakan melalui agihan kuasa secara jelas sebagai mana yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan. Satu set senarai bidang kuasa yang dikenali sebagai Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama menjelaskan agihan bidang kuasa ini. Walau bagaimanapun, Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada kerajaan pusat untuk mengetepikan kuasa kerajaan negeri jika kerajaan pusat berpandangan ia boleh menjejaskan kesejahteraan keseluruhan persekutuan.

Selepas kemerdekaan negara pada 1957, asas federalisme yang dibina pada 1948 telah menjadi tunjang pembentukan negara kita. Umno dan Perikatan (kemudian BN) diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk melaksanakan prinsip federalisme ini dalam sistem politik Malaysia. Maka, sejak itulah timbul pelbagai cerita dan kisah bagaimana satu demi satu hak rakyat dicabul sama ada hak yang dijamin oleh Perlembagaan dari aspek hak politik dan sivil, begitu juga hak-hak negeri dalam menjamin agihan kuasa yang jelas antara kuasa pusat dan kuasa pinggir. Yang paling ketara dicabul ialah kuasa Dewan Negara yang dahulunya diwujudkan untuk mengimbangi peranan Dewan Rakyat seperti mana peranan Dewan Tinggi di Britain.

Dahulu Dewan Negara menghendaki ahli-ahlinya dua orang mewakili setiap DUN (bermakna 26 orang ditambah 4 orang wakil Wilayah Persekutuan) untuk memastikan hak negeri sentiasa dijamin. Tetapi Umno telah meminda Perleembagaan dengan memberikan hak kepada Yang di-Pertuan Agong (baca: kerajaan pusat) melantik 39 orang ahli. Yang di-Pertuan Agong juga turut berkuasa melantik empat orang wakil Wilayah Persekutuan menjadikan 43 orang berbanding 26 wakil negeri. Umno/BN sebagai kerajaan pula mencalonkan pemimpin-pemimpin mereka sebagai Ahli Dewan Negara sehingga hampir seluruh ahli dewan tersebut adalah anggota BN. Amat kecil peratusan ahli yang mewakili minoriti seperti wartawan, buruh, orang kurang upaya, Orang Asli dan lain-lain. Negeri yang dikuasai BN melantik wakil di kalangan ahli BN, manakala kerajaan pusat juga demikian, maka jadilah Dewan Negara sebagai ‘rubber stamp’ – pencabulan pertama ke atas federalisme!

Isu federalisme ini berbangkit sejak akhir-akhir ini kerana kekalahan BN di beberapa negeri kepada Pakatan Rakyat. Antaranya, masalah pentadbiran awam di peringkat terkecil (mukim dan kampung), tadika Kemas, membatal MoU dengan kerajaan negeri hinggalah kuasa sultan melantik menteri besar. Anehnya, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam segera menegaskan bahawa adalah menjadi hak kerajaan pusat tentang urusan pekerja asing apibila kerajaan Selangor bercadang mengenakan levi kepada pekerja asing di negeri itu. Kerajaan Pusat yang dikuasai BN cuba mempertahankan hak bidang kuasa mereka apabila dicabar oleh negeri, tetapi mereka sendiri secara wewenang mengabaikan hak-hak kerajaan negeri.

Krisis bermula apabila Umno dengan tiba-tiba mengosongkan kelas-kelas tadika Kemas di premis kerajaan negeri sebagai satu taktik mengelirukan rakyat bahawa kerajaan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat menganiaya pelajar tadika seperti yang mereka lakonkan di Terengganu dahulu. Tetapi isu ini cepat selesai apabila kerajaan-kerajaan Pakatan rakyat menafikan dan mengarahkan kelas tadika berjalan seperti biasa. Isu yang lebih jelas timbul apabila Perdana Menteri selaku Pengerusi BN mengeluarkan ‘watikah’ perlantikan menteri besar yang kemudiannya tidak direstui oleh istana. Kuasa melantik menteri besar dan memberi watikah adalah hak negeri atau sultan, bukannya hak pusat. Perdana Menteri cepat menuduh Sultan Terengganu melanggar Perlembagaan apabila menolak Idris Jusoh, sedangkan hak sultan adalah amat jelas. Di Perlis juga berlaku hal sama apabila Raja Perlis menolak Shahidan Kassim.

Kisah Umno memperlekehkan sultan-sultan ini bukan isu baru dalam politik Negara. Umno ketika ditubuhkan dahulu kononnya untuk mempertahankan sultan-sultan Melayu kerana kebanyakan pemimpin Umno adalah rakyat sultan yang menjadi pembesar dan hidup di bawah naungan istana. Apapun, usaha Umno ketika itu telah menyelamatkan institusi beraja ini. Tetapi pada 1983, kuasa raja yang dahulunya cuba dihapuskan oleh British, telah dihapuskan sendiri oleh Umno, diikuti oleh tindakan Umno ‘membogelkan’ Raja-raja Melayu dalam krisis 1989. Kini Raja-raja sudah tidak berimuniti lagi. PAS menyokong supaya semua orang saksama di sisi undang-undang, tetapi ternyata undang-undang kita memberi imuniti kepada pemimpin BN pula.

Saya sendiri agak terkejut apabila Pengerusi Perhubungan Umno Selangor mengadakan pertemuan dengan lebih 300 orang penghulu di Selangor baru-baru ini. Atas kapasiti apa dia berbuat demikian, dan mengapa para penghulu menghadiri perjumpaan tersebut? Bukankah semua penghulu adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, bukannya di bawah Umno walaupun penghulu tersebut ahli Umno. Saya tidak kisah jika mereka datang atas nama Ketua Cawangan Umno, tetapi atas nama penghulu. Ini adalah satu pencabulan ke atas kuasa kerajaan negeri yang dilakukan oleh menteri yang pernah membawa berkilo-kilo wang ke luar negara. Dia memang ‘buta’ undang-undang kerana Menteri Kemajuan Luar Bandar tidak berbidang kuasa ke atas para penghulu.

Di beberapa negeri yang lain, termasuk di Kelantan dan pernah berlaku di Terengganu, kerajaan pusat menubuhkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk menyaingi penghulu dan ketua kampung lantikan kerajaan negeri. Bahkan, jabatan-jabatan persekutuan tidak mengiktiraf penghulu negeri sehingga timbul istilah ‘Penghulu PAS’ dan ‘Penghulu Umno’. Adakah kerajaan pusat tidak faham bahawa semua pentadbiran awam pada peringkat yang lebih rendah daripada kerajaan negeri adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Dan tindakan kerajaan pusat membentuk JKKK di bawah Kementerian Luar Bandar dan Rukun Tetangga di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat tanpa persetujuan kerajaan negeri adalah mencabul kuasa kerajaan negeri. Adakah kerajaan pusat melihat lantikan penghulu kerajaan negeri ini menjejaskan kesejahteraan keseluruhan persekutuan sehingga terpaksa melantik JKKK di negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.

Perbuatan mencabulan konsep federalisme berterusan apabila Menteri Pelancongan membatalkan MoU berkaitan program pelancongan di lima negeri berkaitan kerana kononnya tidak bersefahaman. Adakah rakyat lima negeri ini bukan rakyat Malaysia atau Azalina Othman sudah hilang kewarasan. Dahulu, Umno pernah membatalkan perjanjian royalti minyak di Terengganu sedangkan hasil bumi adalah jelas hak negeri. Kini MoU pula dibatalkan. Selepas ini mungkin banyak lagi ‘sabotaj’ yang akan dibuat oleh kerajaan pusat untuk melemahkan kerajaan negeri. Ini tidak mustahil kerana Umno di Pulau Pinang sudah mendesak supaya pelbagai projek pusat dibatalkan termasuk Jambatan Kedua, NCER dan juga Rapidpenang. Tindakan yang sama pernah berlaku di Kelantan apabila Umno mendesak kerajaan pusat membatalkan semua projek di Kelantan, termasuk melambatkan bayaran geran wajib dan ia diakui sendiri oleh Tun Dr Mahathir dan Datuk Mustapa Mohamad.

Sebagai sebuah parti yang memerintah semenjak 1957, Umno/BN tidak sepatutnya bertindak begitu dangkal dengan melanggar semangat dan prinsip persekutuan ini yang dahulu dibina atas persetujuan semua kerajaan negeri. Pusat harus sedar bahawa mereka tidak memiliki apa-apa jika negeri memboikot pusat. Ini bukan soal boikot atau sabotaj, tetapi masalah amalan dan respect terhadap federalisme. Pemikiran kepartian yang sempit tidak wajar dijadikan asas untuk menindas rakyat yang wang cukai mereka digunakan untuk membayar gaji menteri. Adakah kerajaan pusat akan membuat sesuatu yang ‘gila’ seperti memindahkan tiga lapangan terbang antarabangsa di KLIA, Pulau Pinang dan Langkawi ke negeri yang dikuasai BN. Jika Azalina benar-benar tidak bersefahaman lagi, saya mencabar beliau berbuat demikian supaya pelancong tidak lagi melawat negeri Pakatan Rakyat.

Kedangkalan seperti ini jelas menunjukkan bahawa pemimpin Umno/BN sebenarnya tidak berjiwa sebagai seorang negarawan, sebaliknya hanyalah pemimpin kampungan yang mengamalkan undang-undang rimba. Kekecohan dan krisis dalaman Umno biarlah Umno sendiri yang tanggung, dan ia tidak perlu dibebankan kepada rakyat melalui pendekatan politik yang begitu sempit dan tidak bermaruah seperti ini. Saya berharap lima buah kerajaan Pakatan Rakyat dapat mengaturkan satu koridor ekonomi lima negeri ini secara lebih tersusun untuk berhadapan dengan ‘sekatan ekonomi’ yang dilakukan oleh kerajaan pusat yang ‘buta federalusme’ ini.

No comments: