Friday, April 25, 2008

SURUHANJAYA KEHAKIMAN MESTI BEBAS

RAMAI juga pemimpin Umno yang memberikan respon negatif ketika Datuk Zaid Ibrahim, Menteri JPM yang bertanggungjawab dalam soal kehakiman mencadangkan kepada kerajaan supaya satu permohonan maaf dibuat kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas di atas pemecatan beliau secara salah pada 1988. Pemimpin Umno segera melepaskan diri kononnya pemecatan tersebut dilakukan oleh Tribunal, bukannya oleh Kerajaan BN. Apapun, Datuk Zaid sebagai seorang peguam kanan berpandangan kes fiasco Tun Salleh ini menjadi punca runtuhnya imej kehakiman di negara kita.

Satu masa duhulu nama Ketua Hakim seperti Tun Suffian atau Raja Tun Azlan begitu dihormati kerana integriti mereka. Selepas Tun Salleh dipecat dalam satu drama kehakiman yang diarahkan oleh pemimpin politik BN, institusi kehakiman sudah tidak diyakini rakyat lagi. Rakyat melihat semua hakim sudah berada ’dalam poket’ pemimpin BN. Keyakinan rakyat terhadap isu ini semakin menjadi kenyataan apabila Datuk VK Linggam didedahkan sedang bercuti di New Zealand bersama Ketua Hakim Negara satu masa dahulu. Tetapi pendedahan ini tidak diambil pusing oleh pemimpin BN. Bila VCD Linggam sudah dibicarakan, barulah rakyat tahu siapa sebenarnya hakim-hakim di negara kita. Ketika Hakim Datuk Syed Aidid mendedahkan dalam ’surat layangnya’ dahulu pemimpin BN menganggapnya tidak benar.

Tiba-tiba sahaja Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sedang tersepit itu mengumumkan untuk memperakui kesilapan Kerajaan BN memecat Ketua Hakim Negara dan beberapa Hakim Kanan yang lain. Pak Lah mahu hakim-hakim dibebaskan daripada campur tangan politik atau dalam kata lain, amalan pemisahan kuasa diamalkan sepenuhnya untuk membolehkan badan kehakiman mengimbangi kuasa eksekutif. Pak Lah juga menerima cadangan penubuhan Suruhanjaya Kehakiman untuk melantik para hakim. PAS menyambut baik penubuhan suruhanjaya ini, tapi masih kabur ke mana ia hendak dibawa.

Apabila kita bercakap soal pemisahan kuasa, ia adalah amat fundemental dalam pemikiran demokrasi. Islam mengamalkannya semenjak zaman Khulafa ar-Rasyidin lagi berasaskan model yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Banyak kajian mengatakan model pemisahan kuasa Umar al-Khatab ditiru oleh demokrasi barat. Satu masa dahulu, di Eropah raja memiliki segala kuasa sehingga rakyat terbelenggu walaupun asalnya dilahirkan bebas. Ahli-ahli falsafah politik barat cuba keluar dari cengkaman ini. Tokoh-tokoh seperti Locke, Montesque, Hobbes, Roussaue dan lain-lain mula memperkatakan bahawa kuasa mutlak raja patut dikaji semula. Mereka mahu kuasa eksekutif, legislatif dan judikatif milik raja dipisah-pisahkan demi keadilan untuk rakyat.

Montesque adalah ahli falsafah barat pertama mengemukakan idea pemisahan kuasa ini kerana pertindanan kuasa membuka ruang kepada kezaliman. Maka beliau mengusulkan agar raja tidak boleh lagi berkuasa ke atas ketiga-tiga badan ini sekali gus. Maknanya ia mesti diserah kepada rakyat. Tiga cabang kuasa milik raja ini diwakilkan kepada rakyat yang berbeza. Satu pihak memegang kuasa eksekutif (pelaksana undang-undang), satu pihak sebagai legislatif (penggubal undang-undang) dan satu lagi sebagai judiciari (pentafsir undang-undang). Maka pemikiran ini menjadi asas demokrasi yang kuasanya adalah milik rakyat.

Malangnya, Malaysia sebagai negara pengamal demokrasi menjadikan ketiga-tiga cabang kuasa ini bertindan. Di Parlimen, kuasa eksekutif dan legislatif telah bertindan (fusion of power) apabila ahli dewan perundangan sahaja yang layak menjadi menteri. Keadaan ini diamalkan di beberapa negeri bekas jajahan British. Tetapi selepas 1988, kuasa eksekutif mulai bertindan dengan badan kehakiman pula. Institusi kehakiman yang dahulunya menjadi check and balance kepada dua lagi cabang kuasa itu, tidak lagi bebas, bahkan telah dipengaruhi sepenuhnya oleh badan eksekutif. Maka benteng keadilan terakhir harapan rakyat tidak lagi menjamin keadilan seperti yang diharapkan oleh pengasas demokrasi, sebaliknya menjadi kamar tempat penguasa mengabsahkan kezaliman mereka.

Pengumuman Perdana Menteri untuk menubuhkan suruhanjaya melantik hakim adalah suatu yang positif jika ia benar-benar bebas dan berkuasa berbuat demikian. Malangnya kita tidak tahu setakat mana suruhanjaya ini bebas daripada cengkaman eksekutif dalam memulihkan semula institusi kehakiman. Pak Lah sendiri mengatakan bahawa cadangan suruhanjaya ini akan melalui Perdana Menteri juga sebelum dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong. Kita tidak pasti adakah Perdana Menteri akan menjadi ’posmen’ sahaja untuk menbawa cadangan suruhanjaya kepada Baginda, atau hanya mendengar cadangan tetapi mempunyai pilihan lain dan merombak cadangan suruhanjaya. Kita sangsi apabila Pak Lah sendiri menyebut bahawa Perlembagaan masih memberi hak kepada Perdana Menteri untuk mencadangkan kepada Ketua Negara.

Rakyat harus ingat bahawa kita mempunyai pengalaman yang luas tentang kuasa suruhanjaya di negara ini. Pemimpin BN sudah acap kali benar bermain silap mata dengan rakyat menggunakan nama suruhanjaya. Lihatlah bagaimana Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang dilantik oleh Majlis Raja-raja bekerja untuk BN. Begitu juga Suhakam yang semakin tidak bertaring kerana menjadi sebahagian daripada eksekutif. Pandangan dan cadangan Suhakam tidak dipeduli oleh kerajaan, bahkan pernah dituduh Suhakam terpengaruh oleh barat. Inilah jadinya apabila suruhanjaya ditubuhkan tanpa memisahkan mereka daripada kuasa eksekutif. Kita bimbang jika suruhanjaya yang baru ini ditubuh untuk membebaskan kehakiman daripada pertindanan kuasa, rupa-rupanya suruhanjaya itu sendiri menjadi alat BN.

Kita berterima kasih kepada kerajaan jika benar niat mereka mahu menjadikan kehakiman sebagai pengawal Perlembagaan, undang-undang dan keadilan untuk rakyat. Tetapi cara suruhanjaya ini ditubuhkan semacam SPR juga operasinya. Maka apa jaminan keadilan dapat dikembalikan kepada rakyat. Kita harus sedar bahawa masalah kita bukan setakat integriti kehakiman itu sahaja, tetapi juga soal kewujudan undang-undang yang menafikan hak hakim-hakim. ISA misalnya, hak para hakim ternafi dengan sendirinya kerana Menteri KDN boleh menahan sesiapa sahaja tanpa bicara. Makanya, untuk mengembalikan integriti kehakiman, undang-undang juga mesti direformasikan. Bukan ISA sahaja, Ordinan Darurat, LLPK dan seumpamanya yang membenarkan tahanan tanpa bicara mesti dihapuskan.

Jika para hakim tidak diberi hak sepenuhnya dalam memutuskan keadilan kepada rakyat, maka bagaimana hakim mahu mengawal undang-undang dan menzahirkan keadilan. BN sengaja menggubal undang-undang yang menyekat hak asasi rakyat. Hakim terpaksa menzalimi rakyat kerana undang-undang berkehendakkan demikian walaupun ia bercanggah dengan undang-undang semula jadi (nature law). Di negara kita ada lebih 10 akta yang dianggap draconian. Ia mesti dihapuskan atau dikaji semula. ISA, OSA, Akta Cetak, Akta Polis, AUKU dan sebagainya meletakkan hakim dalam keadaan serba tak kena. Menghukum zalim, tidak dihukum begitulah kehendak undang-undang. Pak Lah tidak ada pilihan jika mahu kehakiman mnzahirkan keadilan melainkan akta-akta draconian ini direformasi sama.

Sebagai tanda menyesal kerajaan BN itu, pembayaran ex-gratia akan dibuat kepada Tun Salleh dan tiga hakim lain. Tetapi Datuk Najib Razak bertegas bahawa bayaran itu bukan permohonan maaf. Kita tidak faham mengapa kerajaan yang berdosa begitu degil untuk memohon maaf. Malukah atau hinakah orang yang memohon maaf selepas sedar kesilapannya? Pemimpin berjiwa besar harus berani meminta maaf. Meminta maaf bukan bermaksud mahu memanjangkan isu kerana terlukanya moral Tun Salleh tidak akan sembuh hanya dengan ex-gratia. Dulu Tun Salleh diaibkan sebegitu rupa, maka kini beliau patut diberi tempat mulia dengan kerajaan memohon maaf. Jika kerajaan Jepun sanggup memohon maaf kerana Perang Dunia Kedua, apa salahnya Kerajaan BN meminta maaf kepada bekas Ketua Hakim Negara.

Bukan itu sahaja, kerajaan mesti menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan untuk menyiasat tribunal yang memecat Tun Salleh. Dahulu Tun Salleh membawa kes ini ke mahkamah dan mahkamah yang berpihak kepadanya dikenakan tindakan. Salah seorang anggota tribunal pula segera menjadi Ketua Hakim selepas dia berjaya memecat Tun Salleh. Keadilan apa seperti ini? Kerana itu, sebuah suruhanjaya siasatan mesti ditubuhkan. Penyelewengan mereka sudah didedahkan oleh Tun Salleh dahulu tetapi didiamkan sahaja oleh kerajaan. Inilah masa yang sesuai untuk kerajaan menjadikan kehakiman kita benar-benar diyakini rakyat.

Di kalangan pemerhati politik, tindakan Pak Lah menubuhkan suruhanjaya dan membayar ex-gratia ini seperti ingin menyatakan kononnya Tun Dr Mahathir campur tangan dalam kehakiman. Rakyat harus ingat, pada zaman Pak Lah inilah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Umno, Tan Sri Zaki Tun Azmi dilantik sebagai hakim mahkamah rayuan melalui pengaruh politik. Tan Sri Zaki adalah peguam Umno yang diketahui umum dan telah memintas hakim-hakim kanan yang lain dalam perlantikkannya. Ia seumpama ’bom jangka’ Umno untuk memastikan kehakiman terus terjerat dalam pengaruh politik BN. Jika begini amalannya, tidak mustahil satu masa peguam-peguam Umno akan menguasai institusi kehakiman sebagai mana mereka menguasai Dewan Negara sehingga hilang fungsi dewan itu dalam mengimbangi Dewan Rakyat.

No comments: