Tuesday, April 29, 2008

MAJLIS ANGKAT SUMPAH SEBAGAI AHLI DEWAN RAKYAT






















MAJLIS ANGKAT SUMPAH SEBAGAI AHLI DEWAN RAKYAT

PADA 28 APRIL 2008

Friday, April 25, 2008

SURUHANJAYA KEHAKIMAN MESTI BEBAS

RAMAI juga pemimpin Umno yang memberikan respon negatif ketika Datuk Zaid Ibrahim, Menteri JPM yang bertanggungjawab dalam soal kehakiman mencadangkan kepada kerajaan supaya satu permohonan maaf dibuat kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas di atas pemecatan beliau secara salah pada 1988. Pemimpin Umno segera melepaskan diri kononnya pemecatan tersebut dilakukan oleh Tribunal, bukannya oleh Kerajaan BN. Apapun, Datuk Zaid sebagai seorang peguam kanan berpandangan kes fiasco Tun Salleh ini menjadi punca runtuhnya imej kehakiman di negara kita.

Satu masa duhulu nama Ketua Hakim seperti Tun Suffian atau Raja Tun Azlan begitu dihormati kerana integriti mereka. Selepas Tun Salleh dipecat dalam satu drama kehakiman yang diarahkan oleh pemimpin politik BN, institusi kehakiman sudah tidak diyakini rakyat lagi. Rakyat melihat semua hakim sudah berada ’dalam poket’ pemimpin BN. Keyakinan rakyat terhadap isu ini semakin menjadi kenyataan apabila Datuk VK Linggam didedahkan sedang bercuti di New Zealand bersama Ketua Hakim Negara satu masa dahulu. Tetapi pendedahan ini tidak diambil pusing oleh pemimpin BN. Bila VCD Linggam sudah dibicarakan, barulah rakyat tahu siapa sebenarnya hakim-hakim di negara kita. Ketika Hakim Datuk Syed Aidid mendedahkan dalam ’surat layangnya’ dahulu pemimpin BN menganggapnya tidak benar.

Tiba-tiba sahaja Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sedang tersepit itu mengumumkan untuk memperakui kesilapan Kerajaan BN memecat Ketua Hakim Negara dan beberapa Hakim Kanan yang lain. Pak Lah mahu hakim-hakim dibebaskan daripada campur tangan politik atau dalam kata lain, amalan pemisahan kuasa diamalkan sepenuhnya untuk membolehkan badan kehakiman mengimbangi kuasa eksekutif. Pak Lah juga menerima cadangan penubuhan Suruhanjaya Kehakiman untuk melantik para hakim. PAS menyambut baik penubuhan suruhanjaya ini, tapi masih kabur ke mana ia hendak dibawa.

Apabila kita bercakap soal pemisahan kuasa, ia adalah amat fundemental dalam pemikiran demokrasi. Islam mengamalkannya semenjak zaman Khulafa ar-Rasyidin lagi berasaskan model yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Banyak kajian mengatakan model pemisahan kuasa Umar al-Khatab ditiru oleh demokrasi barat. Satu masa dahulu, di Eropah raja memiliki segala kuasa sehingga rakyat terbelenggu walaupun asalnya dilahirkan bebas. Ahli-ahli falsafah politik barat cuba keluar dari cengkaman ini. Tokoh-tokoh seperti Locke, Montesque, Hobbes, Roussaue dan lain-lain mula memperkatakan bahawa kuasa mutlak raja patut dikaji semula. Mereka mahu kuasa eksekutif, legislatif dan judikatif milik raja dipisah-pisahkan demi keadilan untuk rakyat.

Montesque adalah ahli falsafah barat pertama mengemukakan idea pemisahan kuasa ini kerana pertindanan kuasa membuka ruang kepada kezaliman. Maka beliau mengusulkan agar raja tidak boleh lagi berkuasa ke atas ketiga-tiga badan ini sekali gus. Maknanya ia mesti diserah kepada rakyat. Tiga cabang kuasa milik raja ini diwakilkan kepada rakyat yang berbeza. Satu pihak memegang kuasa eksekutif (pelaksana undang-undang), satu pihak sebagai legislatif (penggubal undang-undang) dan satu lagi sebagai judiciari (pentafsir undang-undang). Maka pemikiran ini menjadi asas demokrasi yang kuasanya adalah milik rakyat.

Malangnya, Malaysia sebagai negara pengamal demokrasi menjadikan ketiga-tiga cabang kuasa ini bertindan. Di Parlimen, kuasa eksekutif dan legislatif telah bertindan (fusion of power) apabila ahli dewan perundangan sahaja yang layak menjadi menteri. Keadaan ini diamalkan di beberapa negeri bekas jajahan British. Tetapi selepas 1988, kuasa eksekutif mulai bertindan dengan badan kehakiman pula. Institusi kehakiman yang dahulunya menjadi check and balance kepada dua lagi cabang kuasa itu, tidak lagi bebas, bahkan telah dipengaruhi sepenuhnya oleh badan eksekutif. Maka benteng keadilan terakhir harapan rakyat tidak lagi menjamin keadilan seperti yang diharapkan oleh pengasas demokrasi, sebaliknya menjadi kamar tempat penguasa mengabsahkan kezaliman mereka.

Pengumuman Perdana Menteri untuk menubuhkan suruhanjaya melantik hakim adalah suatu yang positif jika ia benar-benar bebas dan berkuasa berbuat demikian. Malangnya kita tidak tahu setakat mana suruhanjaya ini bebas daripada cengkaman eksekutif dalam memulihkan semula institusi kehakiman. Pak Lah sendiri mengatakan bahawa cadangan suruhanjaya ini akan melalui Perdana Menteri juga sebelum dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong. Kita tidak pasti adakah Perdana Menteri akan menjadi ’posmen’ sahaja untuk menbawa cadangan suruhanjaya kepada Baginda, atau hanya mendengar cadangan tetapi mempunyai pilihan lain dan merombak cadangan suruhanjaya. Kita sangsi apabila Pak Lah sendiri menyebut bahawa Perlembagaan masih memberi hak kepada Perdana Menteri untuk mencadangkan kepada Ketua Negara.

Rakyat harus ingat bahawa kita mempunyai pengalaman yang luas tentang kuasa suruhanjaya di negara ini. Pemimpin BN sudah acap kali benar bermain silap mata dengan rakyat menggunakan nama suruhanjaya. Lihatlah bagaimana Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang dilantik oleh Majlis Raja-raja bekerja untuk BN. Begitu juga Suhakam yang semakin tidak bertaring kerana menjadi sebahagian daripada eksekutif. Pandangan dan cadangan Suhakam tidak dipeduli oleh kerajaan, bahkan pernah dituduh Suhakam terpengaruh oleh barat. Inilah jadinya apabila suruhanjaya ditubuhkan tanpa memisahkan mereka daripada kuasa eksekutif. Kita bimbang jika suruhanjaya yang baru ini ditubuh untuk membebaskan kehakiman daripada pertindanan kuasa, rupa-rupanya suruhanjaya itu sendiri menjadi alat BN.

Kita berterima kasih kepada kerajaan jika benar niat mereka mahu menjadikan kehakiman sebagai pengawal Perlembagaan, undang-undang dan keadilan untuk rakyat. Tetapi cara suruhanjaya ini ditubuhkan semacam SPR juga operasinya. Maka apa jaminan keadilan dapat dikembalikan kepada rakyat. Kita harus sedar bahawa masalah kita bukan setakat integriti kehakiman itu sahaja, tetapi juga soal kewujudan undang-undang yang menafikan hak hakim-hakim. ISA misalnya, hak para hakim ternafi dengan sendirinya kerana Menteri KDN boleh menahan sesiapa sahaja tanpa bicara. Makanya, untuk mengembalikan integriti kehakiman, undang-undang juga mesti direformasikan. Bukan ISA sahaja, Ordinan Darurat, LLPK dan seumpamanya yang membenarkan tahanan tanpa bicara mesti dihapuskan.

Jika para hakim tidak diberi hak sepenuhnya dalam memutuskan keadilan kepada rakyat, maka bagaimana hakim mahu mengawal undang-undang dan menzahirkan keadilan. BN sengaja menggubal undang-undang yang menyekat hak asasi rakyat. Hakim terpaksa menzalimi rakyat kerana undang-undang berkehendakkan demikian walaupun ia bercanggah dengan undang-undang semula jadi (nature law). Di negara kita ada lebih 10 akta yang dianggap draconian. Ia mesti dihapuskan atau dikaji semula. ISA, OSA, Akta Cetak, Akta Polis, AUKU dan sebagainya meletakkan hakim dalam keadaan serba tak kena. Menghukum zalim, tidak dihukum begitulah kehendak undang-undang. Pak Lah tidak ada pilihan jika mahu kehakiman mnzahirkan keadilan melainkan akta-akta draconian ini direformasi sama.

Sebagai tanda menyesal kerajaan BN itu, pembayaran ex-gratia akan dibuat kepada Tun Salleh dan tiga hakim lain. Tetapi Datuk Najib Razak bertegas bahawa bayaran itu bukan permohonan maaf. Kita tidak faham mengapa kerajaan yang berdosa begitu degil untuk memohon maaf. Malukah atau hinakah orang yang memohon maaf selepas sedar kesilapannya? Pemimpin berjiwa besar harus berani meminta maaf. Meminta maaf bukan bermaksud mahu memanjangkan isu kerana terlukanya moral Tun Salleh tidak akan sembuh hanya dengan ex-gratia. Dulu Tun Salleh diaibkan sebegitu rupa, maka kini beliau patut diberi tempat mulia dengan kerajaan memohon maaf. Jika kerajaan Jepun sanggup memohon maaf kerana Perang Dunia Kedua, apa salahnya Kerajaan BN meminta maaf kepada bekas Ketua Hakim Negara.

Bukan itu sahaja, kerajaan mesti menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan untuk menyiasat tribunal yang memecat Tun Salleh. Dahulu Tun Salleh membawa kes ini ke mahkamah dan mahkamah yang berpihak kepadanya dikenakan tindakan. Salah seorang anggota tribunal pula segera menjadi Ketua Hakim selepas dia berjaya memecat Tun Salleh. Keadilan apa seperti ini? Kerana itu, sebuah suruhanjaya siasatan mesti ditubuhkan. Penyelewengan mereka sudah didedahkan oleh Tun Salleh dahulu tetapi didiamkan sahaja oleh kerajaan. Inilah masa yang sesuai untuk kerajaan menjadikan kehakiman kita benar-benar diyakini rakyat.

Di kalangan pemerhati politik, tindakan Pak Lah menubuhkan suruhanjaya dan membayar ex-gratia ini seperti ingin menyatakan kononnya Tun Dr Mahathir campur tangan dalam kehakiman. Rakyat harus ingat, pada zaman Pak Lah inilah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Umno, Tan Sri Zaki Tun Azmi dilantik sebagai hakim mahkamah rayuan melalui pengaruh politik. Tan Sri Zaki adalah peguam Umno yang diketahui umum dan telah memintas hakim-hakim kanan yang lain dalam perlantikkannya. Ia seumpama ’bom jangka’ Umno untuk memastikan kehakiman terus terjerat dalam pengaruh politik BN. Jika begini amalannya, tidak mustahil satu masa peguam-peguam Umno akan menguasai institusi kehakiman sebagai mana mereka menguasai Dewan Negara sehingga hilang fungsi dewan itu dalam mengimbangi Dewan Rakyat.

BPR kepada Suruhanjaya, sekadar 'gincu' untuk politik Abdullah

Tidak mendatangkan impak maksima!

Saya sangsi dengan cadangan Abdullah itu kerana banyak aspek penting yang perlu diubah di dalam BPR seperti bebas daripada pengaruh eksekutif dan tugas pendakwaan masih seperti sediakala menjadikan badan itu tidak bebas sepenuhnya.

Contoh ketara katanya ialah Abdullah masih lagi bertanggungjawab penuh ke atas BPR walaupun ianya dijadikan badan bebas termasuk mengemukakan laporan kepadanya setelah dimajukan kepada Parlimen.

Begitu juga dengan pendakwaan kes rasuah yang masih lagi berada di dalam bidang kuasa Peguam Negara yang dilihat tidak mendatang sebarang impak maksima ke atas usaha untuk memerangi rasuah.

Saya juga mahu Abdullah sendiri memulihkan kredibiliti dan integiritinya terlebih dahulu kerana pernah dikaitkan dengan isu rasuah sebelum ini. Antaranya yang membabitkan isu Oil For Food, ECM Libra yang melibatkan menantu beliau Khairy Jamaludin, pembelian rumah di Australia, pemberian Kapal Layar oleh saudagar terkemuka dan tender-tender kerajaan yang melibatkan syarikat anak beliau Kamaludin

"Ini umpama gincu baru nak 'mencantikkan' wajah politik Pak Lah. Pelaksanaan masih sama cuma diberi nafas baru sahaja.

"Dan cadangan ini merupakan 'nafas baru' bagi perasuah-perasuah negara yang akan lebih dilindungi daripada didakwa atau dikenakan sebarang tindakan," katanya ketika dihubungi pagi tadi.

Selain itu idea untuk menambahkan pegawai sejumlah 5,000 itu akan merugikan dana rakyat kerana tidak berperanan sebaiknya memandangkan kes-kes yang dikendalikan oleh BPR khususnya membabitkan pemimpin politik dan tokoh terkenal akan ditutp begitu sahaja.

"Apa guna tambah pegawai apabila para pegawai tidak ada kes untuk didakwa dan tugas penyiasatan yang mereka lakukan selama ini menjadi sia-sia kerana tidak ada sebarang tindakan yang bakal diambil, Bersihkan dulu imej dia sebelum mahu memperbetulkan orang lain barulah rakyat yakin dan akan meberi sokongan."

Tuesday, April 22, 2008

JPP: Umno-BN cabuli kedaulatan Raja-raja Melayu

Usaha Umno-BN mewujudkan kerajaan dalam kerajaan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di semua negeri yang diperintah Pakatan Rakyat disifatkan sebagai mencabuli kedaulatan Raja-raja Melayu

Demikian kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar yang mahu Majlis Raja-raja menasihati Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi segera membubarkan JPP.

"Kerajaan BN seolah-olah tidak mengiktiraf keputusan rakyat yang memberi kepercayaan kepada Pakatan Rakyat mentadbir lima negeri dengan mewujudkan JPP," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

JPP katanya adalah badan penyaluran peruntukan pembangunan yang bukan kepada kerajaan negeri yang memerintah, sebaliknya satu jabatan lain yang terasing.

Ini sekaligus menghina kedaulatan Raja-raja Melayu yang menjadi paksi kepada rakyat di negara ini dan sekaligus pihak yang merestui pengwujudan negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat selepas menang dalam pilihan raya umum lalu, katanya.

Beliau mendesak Majlis Raja-raja yang bersidang hari ini dan esok memperhalusi hal ini selain mendesak Perdana Menteri agar tidak mendiskriminasi negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat.

"Pertemuan esok yang akan turut dihadiri oleh Perdana Menteri adalah landasan tebaik untuk mendesak kerajaan agar menghormati keputusan rakyat," kata Mahfuz.

Beliau juga tidak mendesak Majlis Raja-raja melihat soal tindakan Umno-BN dalam isu Jawatan Kuasa Keselamatan dan Kebajikan Kampung (JKKK) selain isu Ketua-ketua Kampung di Perak yang hanya menimbulkan konflik.

"Mereka ini (Umno-BN) seolah-olah tidak mengiktiraf kerajaan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat sedangkan ia adalah pilihan rakyat,"

Menjalankan Pemerintahan Mengenai Urusan Umat Islam

Hadith :
Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
“Sesiapa yang menjalankan pemerintahan mengenai urusan umat Islam tanpa menghiraukan kemiskinan,keperluan,kefakiran dan hajat mereka, nescaya Allah akan membiarkannya pada hari kiamat tanpa menghiraukan kemiskinannya, keperluannya, hajatnya dan kefakirannya.”
Riwayat Abu Daud

Huraian
i) Berdisiplin ketika bekerja merupakan kekuatan yang menggerak kepada kejayaan dan kemenangan.
Ii) Dalam melakukan urusan dengan orang ramai (masyarakat) perlulah dilakukan dengan adil dan menyesuaikan keutamaan tanpa ada perasaan pilih kasih dan sebagainya. Jika tidak akan berlakulah kezaliman dan penganiayaan terhadap orang lain.
iii) Oleh itu untuk mendapatkan ganjaran ibadah dalam setiap kerja yang dilakukan patuhilah peraturan dan arahan dengan baik serta melaksanakan sesuatu tugas dengan tertib dan beradab dengan menjaga tentang aspek pengurusan waktu yang telah ditetapkan. Dengan itu kita akan mendapat keredhaan Allah S.W.T dan mendapat ganjaran yang selayaknya di akhirat nanti.

Friday, April 18, 2008

MAJLIS POTONG KEK SEMPENA KEMENANGAN PAS ANJURAN PAS POKOK PAUH















Majlis potong kek sempena kemenangan pas anjuran Pas Pokok Pauh 20 mac 2008 lalu , Pokok Sena Kedah Darul Aman

UMNO TIDAK HORMATI FEDERALISM

Satu masa dahulu orang-orang Melayu diketuai Umno mengadakan bantahan keras kepada British apabila Malayan Union atau Kesatuan Malaya ditubuhkan pada 1946. Bahkan, penubuhan Umno sendiri mempunyai kaitan dengan reaksi politik orang Melayu ketika itu sehingga boleh dikatakan Umno tidak akan lahir jika tidak kerana Malayan Union. Orang Melayu menolak negara kesatuan kerana ia menjejaskan kuasa Raja-raja Melayu, sehingga ada sejarawan berpendapat itulah kali pertama seluruh Tanah Melayu benar-benar dijajah melalui Malayan Union. Hasil penentangan menyeluruh orang Melayu, maka pada 1 Februari 1948, Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan berasaskan prinsip federalisme.

Kewujudan persekutuan ini mungkin antara sumbangan Dato’ Onn Jaafar yang boleh rakyat negara ini hargai. Tetapi malangnya, Umno yang diasaskan oleh Dato’ Onn pada 1946 (kemudian meninggalkannya pada 1951) telah mengkhianati prinsip federalisme yang menunjangi pembentukan negara Malaysia hari ini. Dahulu, negeri-negeri Melayu pada asalnya adalah terpisah antara satu sama lain mengikut kerajaan negeri masing-masing sehingga mudah kuasa asing menyerang dan menjajah negeri Melayu. British cuba menyatukan negeri-negeri tersebut melalui Malayan Union, tetapi orang Melayu mahukan persekutuan supaya setiap negeri kekal dalam kuasa autonomi masing-masing dan Sultan Melayu terus berdaulat.

Secara prinsipnya, konsep persekutuan atau federalisme merupakan satu proses hubungan pusat-pinggir (negeri) di mana bidang kuasa kerajaan pusat dan kerajaan negeri dinyatakan dengan jelas. Dalam amalan kebanyakan negara federal yang lain, negeri diberikan kuasa autonomi untuk membolehkan mereka mentadbiran urusan-urusan di bawah bidang kuasa mereka dengan berkesan. Di Malaysia, amalan federalisme ini dinyatakan melalui agihan kuasa secara jelas sebagai mana yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan. Satu set senarai bidang kuasa yang dikenali sebagai Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama menjelaskan agihan bidang kuasa ini. Walau bagaimanapun, Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada kerajaan pusat untuk mengetepikan kuasa kerajaan negeri jika kerajaan pusat berpandangan ia boleh menjejaskan kesejahteraan keseluruhan persekutuan.

Selepas kemerdekaan negara pada 1957, asas federalisme yang dibina pada 1948 telah menjadi tunjang pembentukan negara kita. Umno dan Perikatan (kemudian BN) diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk melaksanakan prinsip federalisme ini dalam sistem politik Malaysia. Maka, sejak itulah timbul pelbagai cerita dan kisah bagaimana satu demi satu hak rakyat dicabul sama ada hak yang dijamin oleh Perlembagaan dari aspek hak politik dan sivil, begitu juga hak-hak negeri dalam menjamin agihan kuasa yang jelas antara kuasa pusat dan kuasa pinggir. Yang paling ketara dicabul ialah kuasa Dewan Negara yang dahulunya diwujudkan untuk mengimbangi peranan Dewan Rakyat seperti mana peranan Dewan Tinggi di Britain.

Dahulu Dewan Negara menghendaki ahli-ahlinya dua orang mewakili setiap DUN (bermakna 26 orang ditambah 4 orang wakil Wilayah Persekutuan) untuk memastikan hak negeri sentiasa dijamin. Tetapi Umno telah meminda Perleembagaan dengan memberikan hak kepada Yang di-Pertuan Agong (baca: kerajaan pusat) melantik 39 orang ahli. Yang di-Pertuan Agong juga turut berkuasa melantik empat orang wakil Wilayah Persekutuan menjadikan 43 orang berbanding 26 wakil negeri. Umno/BN sebagai kerajaan pula mencalonkan pemimpin-pemimpin mereka sebagai Ahli Dewan Negara sehingga hampir seluruh ahli dewan tersebut adalah anggota BN. Amat kecil peratusan ahli yang mewakili minoriti seperti wartawan, buruh, orang kurang upaya, Orang Asli dan lain-lain. Negeri yang dikuasai BN melantik wakil di kalangan ahli BN, manakala kerajaan pusat juga demikian, maka jadilah Dewan Negara sebagai ‘rubber stamp’ – pencabulan pertama ke atas federalisme!

Isu federalisme ini berbangkit sejak akhir-akhir ini kerana kekalahan BN di beberapa negeri kepada Pakatan Rakyat. Antaranya, masalah pentadbiran awam di peringkat terkecil (mukim dan kampung), tadika Kemas, membatal MoU dengan kerajaan negeri hinggalah kuasa sultan melantik menteri besar. Anehnya, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam segera menegaskan bahawa adalah menjadi hak kerajaan pusat tentang urusan pekerja asing apibila kerajaan Selangor bercadang mengenakan levi kepada pekerja asing di negeri itu. Kerajaan Pusat yang dikuasai BN cuba mempertahankan hak bidang kuasa mereka apabila dicabar oleh negeri, tetapi mereka sendiri secara wewenang mengabaikan hak-hak kerajaan negeri.

Krisis bermula apabila Umno dengan tiba-tiba mengosongkan kelas-kelas tadika Kemas di premis kerajaan negeri sebagai satu taktik mengelirukan rakyat bahawa kerajaan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat menganiaya pelajar tadika seperti yang mereka lakonkan di Terengganu dahulu. Tetapi isu ini cepat selesai apabila kerajaan-kerajaan Pakatan rakyat menafikan dan mengarahkan kelas tadika berjalan seperti biasa. Isu yang lebih jelas timbul apabila Perdana Menteri selaku Pengerusi BN mengeluarkan ‘watikah’ perlantikan menteri besar yang kemudiannya tidak direstui oleh istana. Kuasa melantik menteri besar dan memberi watikah adalah hak negeri atau sultan, bukannya hak pusat. Perdana Menteri cepat menuduh Sultan Terengganu melanggar Perlembagaan apabila menolak Idris Jusoh, sedangkan hak sultan adalah amat jelas. Di Perlis juga berlaku hal sama apabila Raja Perlis menolak Shahidan Kassim.

Kisah Umno memperlekehkan sultan-sultan ini bukan isu baru dalam politik Negara. Umno ketika ditubuhkan dahulu kononnya untuk mempertahankan sultan-sultan Melayu kerana kebanyakan pemimpin Umno adalah rakyat sultan yang menjadi pembesar dan hidup di bawah naungan istana. Apapun, usaha Umno ketika itu telah menyelamatkan institusi beraja ini. Tetapi pada 1983, kuasa raja yang dahulunya cuba dihapuskan oleh British, telah dihapuskan sendiri oleh Umno, diikuti oleh tindakan Umno ‘membogelkan’ Raja-raja Melayu dalam krisis 1989. Kini Raja-raja sudah tidak berimuniti lagi. PAS menyokong supaya semua orang saksama di sisi undang-undang, tetapi ternyata undang-undang kita memberi imuniti kepada pemimpin BN pula.

Saya sendiri agak terkejut apabila Pengerusi Perhubungan Umno Selangor mengadakan pertemuan dengan lebih 300 orang penghulu di Selangor baru-baru ini. Atas kapasiti apa dia berbuat demikian, dan mengapa para penghulu menghadiri perjumpaan tersebut? Bukankah semua penghulu adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, bukannya di bawah Umno walaupun penghulu tersebut ahli Umno. Saya tidak kisah jika mereka datang atas nama Ketua Cawangan Umno, tetapi atas nama penghulu. Ini adalah satu pencabulan ke atas kuasa kerajaan negeri yang dilakukan oleh menteri yang pernah membawa berkilo-kilo wang ke luar negara. Dia memang ‘buta’ undang-undang kerana Menteri Kemajuan Luar Bandar tidak berbidang kuasa ke atas para penghulu.

Di beberapa negeri yang lain, termasuk di Kelantan dan pernah berlaku di Terengganu, kerajaan pusat menubuhkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk menyaingi penghulu dan ketua kampung lantikan kerajaan negeri. Bahkan, jabatan-jabatan persekutuan tidak mengiktiraf penghulu negeri sehingga timbul istilah ‘Penghulu PAS’ dan ‘Penghulu Umno’. Adakah kerajaan pusat tidak faham bahawa semua pentadbiran awam pada peringkat yang lebih rendah daripada kerajaan negeri adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Dan tindakan kerajaan pusat membentuk JKKK di bawah Kementerian Luar Bandar dan Rukun Tetangga di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat tanpa persetujuan kerajaan negeri adalah mencabul kuasa kerajaan negeri. Adakah kerajaan pusat melihat lantikan penghulu kerajaan negeri ini menjejaskan kesejahteraan keseluruhan persekutuan sehingga terpaksa melantik JKKK di negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.

Perbuatan mencabulan konsep federalisme berterusan apabila Menteri Pelancongan membatalkan MoU berkaitan program pelancongan di lima negeri berkaitan kerana kononnya tidak bersefahaman. Adakah rakyat lima negeri ini bukan rakyat Malaysia atau Azalina Othman sudah hilang kewarasan. Dahulu, Umno pernah membatalkan perjanjian royalti minyak di Terengganu sedangkan hasil bumi adalah jelas hak negeri. Kini MoU pula dibatalkan. Selepas ini mungkin banyak lagi ‘sabotaj’ yang akan dibuat oleh kerajaan pusat untuk melemahkan kerajaan negeri. Ini tidak mustahil kerana Umno di Pulau Pinang sudah mendesak supaya pelbagai projek pusat dibatalkan termasuk Jambatan Kedua, NCER dan juga Rapidpenang. Tindakan yang sama pernah berlaku di Kelantan apabila Umno mendesak kerajaan pusat membatalkan semua projek di Kelantan, termasuk melambatkan bayaran geran wajib dan ia diakui sendiri oleh Tun Dr Mahathir dan Datuk Mustapa Mohamad.

Sebagai sebuah parti yang memerintah semenjak 1957, Umno/BN tidak sepatutnya bertindak begitu dangkal dengan melanggar semangat dan prinsip persekutuan ini yang dahulu dibina atas persetujuan semua kerajaan negeri. Pusat harus sedar bahawa mereka tidak memiliki apa-apa jika negeri memboikot pusat. Ini bukan soal boikot atau sabotaj, tetapi masalah amalan dan respect terhadap federalisme. Pemikiran kepartian yang sempit tidak wajar dijadikan asas untuk menindas rakyat yang wang cukai mereka digunakan untuk membayar gaji menteri. Adakah kerajaan pusat akan membuat sesuatu yang ‘gila’ seperti memindahkan tiga lapangan terbang antarabangsa di KLIA, Pulau Pinang dan Langkawi ke negeri yang dikuasai BN. Jika Azalina benar-benar tidak bersefahaman lagi, saya mencabar beliau berbuat demikian supaya pelancong tidak lagi melawat negeri Pakatan Rakyat.

Kedangkalan seperti ini jelas menunjukkan bahawa pemimpin Umno/BN sebenarnya tidak berjiwa sebagai seorang negarawan, sebaliknya hanyalah pemimpin kampungan yang mengamalkan undang-undang rimba. Kekecohan dan krisis dalaman Umno biarlah Umno sendiri yang tanggung, dan ia tidak perlu dibebankan kepada rakyat melalui pendekatan politik yang begitu sempit dan tidak bermaruah seperti ini. Saya berharap lima buah kerajaan Pakatan Rakyat dapat mengaturkan satu koridor ekonomi lima negeri ini secara lebih tersusun untuk berhadapan dengan ‘sekatan ekonomi’ yang dilakukan oleh kerajaan pusat yang ‘buta federalusme’ ini.

SIAPA DERHAKA?

KECELARUAN politik Umno/BN semakin teserlah ekoran kegagalan mereka mendapat majority dua pertiga di Parlimen dan kehilangan empat lagi negeri kepada Barisan Alternatif (BA). Walaupun para pemimpin BN mendakwa mereka kuat dan mempunyai kerajaan yang kukuh, ternyata isu-isu yang tercetus kebelakangan ini menggambarkan sebaliknya. Bayangkan betapa ‘gabranya’ BN sehingga terpaksa menggunakan perisik untuk mengorek maklumat tentang kemungkinan wakil rakyat mereka di Sabah dan Sarawak akan menyokong BA. Keadaan ini telah memaksa mereka mencadangkan supaya satu rang undang-undang anti lompat diwujudkan.

Satu masa dahulu undang-undang ini telah diwujudkan di Sabah dan Kelantan untuk menghalang BN daripada membeli wakil rakyat untuk menjatuhkan kerajaan PAS di Kelanan dan PBS di Sabah. Tetapi ekoran kejayaan Umno membeli empat wakil rakyat, termasuk dua ADUN S46 pada 1992, pilihan raya kecil terpaksa diadakan. Apabila calon BN dikalahkan oleh rakyat mereka membawa kes ini ke mahkamah. Kes Nordin Yaakub vs Kerajaan Kelantan telah menyebabkan undang-undang anti lompat di Kelantan dan Sabah dianggap bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan kedua-duanya terbatal.

Kini giliran BN pula tersepit apabila ada di kalangan wakil rakyat mereka sendiri ’lebih yakin’ dengan kemampuan BA berbanding BN. Mereka mahu ada undang-undang untuk menyekat wakil rakyat bertukar parti. Pelbagai gelaran dilabelkan kepada mereka yang mahu melompat seperti ‘katak’, ‘tiada maruah’, ‘perosak politik’ dan sebagainya. Perdana Menteri sendiri membuat tuduhan bahawa BA mahu membeli wakil rakyat mereka dan menganggap ini adalah satu rasuah. Bahkan, dua ADUN Terengganu yang dikatakan akan menyokong Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar pun disiasat oleh BPR.

Umno harus tahu bahawa BA tidak mempunyai cukup wang untuk membeli wakil rakyat mereka, tetapi mmpunyai dasar dan perjuangan yang cukup meyakin YB mereka untuk berubah parti. Budaya membeli wakil rakyat ini adalah budaya BN. Kita amat jarang mendengar wakil rakyat BN masuk PAS atau parti pembangkang lain, tetapi kita biasa mendengar wakil-wakil pembangkang melompat kepada BN. Kerana apa? Kerana ‘dibeli’ oleh BN, sebab itu bila ada sahaja desas-desus wakil rakyat BN hendak melompat, maka yang tercetus di kepala PM ialah ’dibeli’. Kita tentu sahaja masih ingat bagaimana Kerajaan PAS Terengganu dijatuhkan pada 1961 oleh Umno/Perikatan; peristiwa ’turn about-about turn’ di Kelantan pada 1967; kejatuhan Kerajaan PBS di Sabah pada 1994 dan juga usaha-usaha membeli wakil rakyat PAS pada 2004. Ini semua adalah jenayah politik Perikatan/BN.

Berbalik kepada kekecohan politik yang sedang berlaku hari ini, kita mendapati bahawa Umno sudah kehilangan pedoman dan tidak dapat mengemudi politik negara dengan berkesan lagi. Di dalam Umno, pergolakan begitu hebat. Ku Li menyatakan kesediaan untuk mencabar Presiden Umno, Dr Mahathir pula mahu Pak Lah bertanggangungjawab dan berhenti segera, Datuk Mukhriz mahu PM berundur, Radzi Sheikh Ahmad sudah berpindah kem, Khir Toyo pula terpaksa menyerahkan kuasanya kepada Muhammad Taib, Rafidah Aziz nampaknya masih belum berpuas hati, sedang Khairy Jamaluddin dikatakan terus berkuasa dalam Umno.

Kabinet baru yang dibentuk langsung tidak meyakinkan rakyat lebih-lebih lagi dengan kemunculan semula menteri-menteri ’otai’ yang kebanyakkannya bermasalah. Ditambah lagi apabila meneri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang mengakui bahawa pemecatan Tun Salleh Abas sebagai Ketua Hakim Negara bukan sahaja satu kesilapan, bahkan membuka ruang kepada hakim-hakim rasuah menjadi Ketua Hakim Negara. Rakyat masih belum bercakap soal inflasi yang semakin meningkat, kejatuhan saham atau kemungkinan harga petrol dinaikkan. Tetapi pergolakan politik yang diharu-birukan sendiri oleh Umno/BN sudah cukup untuk memanaskan keadaan.

Di negeri-negeri, suasana nampak tenang di Kelantan dan Kedah yang diperintah oleh PAS. Tidak ada satu perkataan pun ditujukan untuk mencerca PAS di Kelantan melainkan kenyataan kecewa oleh Zam. Di Kedah, percubaan mereka untuk menimbulkan isu Tadika Kemas gagal apabila Menteri Besar mengarahkan ia beroperasi seperti biasa diikuti oleh arahan kerajaan Selangor, Perak dan Pulau Pinang. Kenyataan Lim Guang Eng bahawa beliau akan mentadbir seadil Khalifah Umar Abdul Aziz mematikan semangat perkauman Umno di pulau mutiara itu.

Kelewatan BA membentuk kerajaan di Selangor dan Perak menjadi senjata BN, tetapi untuk sementara waktu sahaja. Di Selangor selesai dengan cepat kerana BA mendapat majoriti yang lebih besar, manakala di Perak ada masalah kerana DAP yang mendapat majoriti tidak mempunyai wakil Melayu untuk diangkat sebagai Menteri Besar. Tetapi semuanya selesai di meja rundingan apabila parti-parti BA bersedia bertolak ansur demi menamatkan kezaliman BN. Mereka sudah ketiadaan isu untuk memburukkan pembangkang dan kini proses melaksanakan manifesto sedang bermula.

Masalah yang kian parah sekarang ialah kegagalan BN membentuk kerajaan di Terengganu walaupun menguasai dua pertiga majoriti. Krisis politik dalaman mereka kini bertukar menjadi perbalahan dengan istana. Sultan Terengganu yang menjadi Yang di-Pertuan Agong hanya berdiam diri, tetapi Majlis Pemangku Raja napaknya memahami bahawa sultan dan rakyat Terengganu tidak mahu berketuakan seorang menteri besar yang rakus dan bertopengkan agama. Sultan ikhabarkan mahu orang yang ’baik’ menjadi MB dengan maksud MB lama ’tidak baik’. Apabila MPR menawarkan jawatan MB kepada Ahmad Said, penyokong Idris Jusoh segera membuat laporan BPR tentang aktiviti rasuah calon MB baru itu.

Terbukti Pak Lah penipu! Dia memberitahu rakyat bahawa semua calon BN bersih dan telah ditapis termasuk oleh BPR. Apabila Ahmad Said hendak dilantik sebagai MB, juak-juak BN sendiri mendedahkan kegiatan haram mereka. Jika Ahmad Said yang dianggap ’terbaik’ oleh Istana pun didakwa terlibat dengan rasuah, inikan pula wakil-wakil rakyat lain yang ’kurang baiknya’ itu. Di sebalik masalah ’kebersihan’ wakil rakat BN ini, lebih ketara sekarang ialah ’penderhakaan’ terbuka Umno/BN terhadap istana. 23 wakil rakyat BN menyertai Pak Lah dan kuncu-kuncunya mempertikaikan keputusan istana untuk menolak Idris Jusoh.

Apa hebatnya Idris Jusoh sehingga bermati-matian mahu dipertahankan oleh 23 wakil akyat Umno ini sehingga sanggup menderhakai sultan. Mungkin Idris Jusoh boleh memberikan mereka projek-projek di Pulau Wan Man atau mendapat tender untuk Monsun Cup, walaupun semua rakyat tahu projek tersebut sudah dibolot oleh Patrick Badawi dan Khairy Jamaluddin. Penderhakaan kepada sultan adalah suatu yang amat asing dalam politik Melayu. Pemimpin-pemimpin dahulu kala sudah banyak terkena tulah dan daulat kerana cuba menderhaka, tetapi Idris Jusoh dan kroninya masih sanggup untuk berbuat begitu demi kuasa. Kita menyokong jika raja yang zalim ditentang, tetapi kita hairan apabila sultan yang mahukan keadilan disanggah. Ia ternyata satu perbuatan pemimpin yang zalim.

Ketika pergolakan berlaku di Perak kerana Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengarahkan ADUN DAP memulaukan majlis angkat sumpah MB Perak, Umno segera menuduh Kit Siang derhaka. Ketua Penerangannya, Muhammad Mohd Taib bertalu-talu menyerang Kit Siang, tetapi pemimpin DAP itu cepat sedar kesilapannya lalu segera memohon maaf kepada istana. Shahidan Kassim yang tidak direstui Raja Perlis juga diam sahaja apabila istana tidak memilihnya. Kini, Idris Jusoh sahaja yang terus menderhaka. Rakyat masih tercari-cari ke mana tokoh yang pernah melarikan anak Sultan Selangor itu untuk mengecap ’derhaka’ kepada Idris Jusoh pula! Kini ludah sudah jatuh ke muka sendiri.

Kita akui perbuatan Kit Siang tidak wajar tetapi kita berbesar hati apabila dia sanggup meminta maaf dan kembali ke pangkal jalan. Namun rakyat sudah kepeningan apabila Idris Jusoh yang biasa menjadi Timbalan Menteri dan Menteri Besar begitu biadap terhadap sultan. Sulan menolak beliau kerana ’dosa-dosa’nya sepanjang empat tahun menjadi MB negeri itu. Sultan sudah tahu segala karenah dan kebobrokan beliau sebagai Ketua Kerajaan. Sultan tidak mahu Idris Jusoh lagi. Itu sahaja. Mengapa Idris berkeras, degil dan biadap terhadap Istana? Adakah kerana masih banyak wang rakyat yang belum dipunggah atau diagihkan kepada Patrick Badawi. Maka, kerana itu Pak Lah mempertahankan Idris Jusoh?

Nampaknya Umno lebih suka mempertahankan kepentingan poket dan perut masing-masing daripada mempertahankan kepentingan Melayu atau kepentingan negeri dan rakyat Terengganu. Di Pulau Pinang mereka melakonkan perjuangan hak Melayu, tetapi membunuhnya di Terengganu. Dahulu mereka merompak wang royalti milik rakyat Terengganu, kini mereka menghina Sultan Terengganu. Apabila seseorang pemimpin lebih mementingkan projek daripada rakyat, mereka akan sanggup melawan sultan. Keadaan ini amat menggugat kestabilan ekonomi dan politik negara, selain turut mencabuli kedaulatan Raja-raja Melayu.

Rakyat sudah boleh menilai sendiri siapa Umno sebenarnya. Adakah seorang pejuang Melayu menderhakai sultannya? Umno sudah kehilangan taring politiknya. Mereka sudah cacamerba dan kehilangan arah perjuangan. Membela Melayu, sultan ditentang. Membela DEB, kroni kekenyangan. Membela Islam, murtad berkembang. Membela rakyat, keadilan hilang. Apapun, saya mengucapkan tahniah kepada rakyat yang telah bertindak bijak menafikan dua pertiga BN sekali gus menyelematkan hak rakyat daripada terus menjadi mangsa kerakusan BN

Perasmian Mesyuarat Agung PIBG Maktab Mahmud Pokok Sena



Perasmian Mesyuarat Agung PIBG Maktab Mahmud Pokok Sena 12 APRIL 2008

Thursday, April 17, 2008

Siasatan 'Black 14' : Teruslah tekan rakyat, jika mahu peralihan kerajaan berlaku cepat - Mahfuz

Kepantasan pihak Polis menyerah notis dan menyiasat beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) berhubung isu himpunan 'Black 14' seawal beberapa jam selepas himpunan menyaksikan sekali lagi polis dipergunakan kerajaan sebagai alat politik, kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar.

Menurutnya, polis bertindak sangat pantas dalam kes-kes sebegini (politik) sebaliknya dalam kes jenayah tindakan polis sangat lemah dan lambat.

"Kenapa polis bertindak lambat dalam kes pembunuhan Adik Nurin Jazlin Jazimin, kes kehilangan adik Sharlinie Mohd Nashar, kes rompakan besar -besaran di KLIA dan kes-kes pembunuhan lain yang menyebabkan keselamatan negara terjejas.

"Tetapi dalam kes himpunan 'Black 14', tindakan polis begitu cepat menyerah notis kepada Presiden KeADILan, Datin Seri Dr wan Azizah Wan Ismail seawal jam 6.30 pagi sudah menunggu di rumah Wan Azizah," katanya sinis.

Polis katanya dalam kes-kes seperti Kes Nurin Jazlin dan rompakan di KLIA memberi pelbagai alasan termasuk menyalahkan orang ramai yang tidak membantu siasatan menyebabkan kelewatan dalam tindakan.

Bagaimanapun dalam kes 'Black 14' polis tanpa kerjasama orang ramai begitu cepat melakukan tindakan tidak sampai 24 jam berjaya menyerahakn notis siasatan kepada pemimpin KeADILan.

Hal ini sangat dikesali dan PAS mengecam tindakan ini yang disifatkan menutup kebebasan berhimpun dan menyuarakan pandangan di kalangan rakyat Malaysia, katanya.

Beliau seterusnya melihat tindakan ini hanyalah akan meneruskan lagi rasa benci dan sangsi rakyat kepada kerajaan yang mempergunakan polis sebagai jalan menutup kelemahan.

"Saya lihat jika hal ini berterusan dan polis akan terus dipergunakan oleh kerajaan BN, ianya hanya akan menyebabkan kebencian rakyat semakin meninggi.

"Jangan salahkan rakyat nanti jika tindakan sedemikian hanya akan menyebabkan peralihan tampuk pemerintahan negara akan bertukar lebih cepat," katanya sinis.

Sementara itu semalam, empat pemimpin KeADILan memberikan keterangan kepada polis berhubung himpunan 'Black 14' di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur 14 April lalu.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberikan keterangannya selama 20 minit kepada pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur di pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK).

Sementara Dr wan Azizah ; Naib Presiden PKR, Azmin Ali dan Pegawai Khas Menteri Besar Selangor, Yahya Shahri pula memberikan keterangan kepada pegawai yang sama selama 30 minit di IPK Shah Alam kira-kira pukul 2 petang semalam.

Wan Azizah ketika ditemui selepas memberikan keterangan itu memberitahu, mereka semua memberikan kerjasama kepada polis.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana segala keterangannya yang adalah dalam siasatan oleh pihak polis.

"Tidak ada tindakan yang dikenakan , tetapi hanya keterangan sahaja yang diambil dan kita telah pun berikan kerjasama kepada mereka.

"Sebelum itu, kita ke pejabat SUK pagi ini untuk berikan keterangan bersama-sama Menteri Besar tetapi berlaku salah faham dan polis minta kita ke IPK, kita beri kerjasama.

"Sungguhpun begitu, kita hairan kenapa dilayan seperti ini dan tidak kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) dan keadaan ini akan menambahkan lagi ketegangan

Wednesday, April 9, 2008

Sidang Parlimen: PM, Menteri mesti hadir untuk jawab soalan

Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar berkata, jika kerajaan dapat memastikan semua menterinya boleh hadir di setiap kali persidangan Dewan Rakyat nanti, PAS mengalu-alukan langkah penukaran hari Rabu kepada hari Jumaat sebagai hari mesyuarat mingguan kabinet.

Katanya, ini kerana mereka tidak mahu lagi kerajaan menghantar wakilnya untuk menjawab persoalan yang dibangkit Ahli-ahli Parlimen nanti.

"Bagi saya perkara itu cukup bagus tetapi kita hendak pastikan para menteri kena hadir.

"Jangan pula bila mesyuarat kabinet diubah pada hari Jumaat tiba-tiba sidang parlimen tak ada juga menteri yang hadir," katanya mengulas langkah kerajaan menukarkan mesyuarat mingguan kabinet mereka kepada hari Jumaat.

Bernama, semalam dipetik, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri akan diadakan setiap Jumaat bagi membolehkan semua menteri hadir pada setiap sesi sidang Dewan Rakyat.

Beliau berkata lagi, perubahan itu juga berkaitan siaran langsung selama 30 minit yang diadakan pada sesi soal jawab Parlimen yang akan bermula akhir bulan ini.

Menurut Mahfuz, yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, yang penting Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, hadir setiap hari pada hari persidangan.

"Kalau pun tak boleh setiap hari, sekurang-kurangnya dua hari dalam seminggu. Beliau juga kena duduk dalam dewan dan bukannya untuk tempoh siaran langsung TV saja," katanya.

Katanya, yang penting lagi ialah peraturan mesyuarat itu harus dirombak atau dipinda iaitu supaya diwujudkan satu ruang seperti mana berlaku di parlimen British (Britain) iaitu sesi soal jawab bersama Perdana Menteri .

Katanya, walaupun tidak setiap hari tetapi dalam tempoh seminggu itu sekurang-kurangnya dua kali dalam seminggu.

"Dalam sesi soal jawab itu mesti peruntukan sekurang-kurang satu jam atau sejam setengah ataupun dua jam untuk bersama Perdana Menteri," katanya.

Menurutnya ini perlu kerana Perdana Menteri perlu menunjukkan beliau mempunyai keupayaan, kemampuan dan pengetahuan secara menyeluruh dalam semua hal.

Katanya, rakyat mahu melihat Perdana Menteri tidak dikuasai oleh orang lain sebagaimana diperkatakan bahawa beliau dikuasai oleh menantunya, Khairy Jamaluddin.

Katanya, ini sangat penting untuk beliau membuktikan kebolehannya.

Sementara itu mengulas mengenai, siaran langsung perbahasan oleh RTM nanti beliau berkata, kerajaan tidak perlu bimbang mengenai kos penyiarannya.

Ini katanya, jika ia menarik penonton tentunya, syarikat-syarikat iklan akan menaja siaran tersebut.

Sehubungan itu katanya, ia boleh dilanjutkan sehingga satu jam atau dua jam.

Ini katanya tempoh setengah jam adalah terlalu singkat bahkan tidak sempat Ahli-ahli Parlimen membuka mulut.

Menyentuh mengenai tatacara perbahasan yang dibimbangi berlaku keceluparan semasa berbahas beliau berkata, soal kesopanan sangat perlu.

Namun katanya, kesopanan itu sangat umum bahkan ketegasan, kelantangan seseorang ahli parlimen tidak boleh dianggap tidak sopan percakapannya.

Monday, April 7, 2008

Kerajaan digesa siar secara keseluruhan sidang Dewan Rakyat

Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar mengalu-alukan langkah kerajaan untuk menyiarkan secara langsung sesi parlimen mulai sidang akan datang.

Katanya, langkah tersebut merupakan langkah awal ke arah untuk mewujudkan satu siaran yang lebih tetap dan kemas untuk menjadi tatapan kepada masyarakat tentang bagaimana bentuk perjalanan perbahasan dalam parlimen di samping mendidik masyarakat untuk keluar dari fahaman politik tradisional.

"Ini sekaligus untuk mendidik rakyat agar dapat menilai ahli-ahli parlimen itu dalam konteks perbahasan bukan hanya pada sudut yang dikatakan dalam konteks orang Melayu contohnya, wakil rakyat hanya dilihat hadir makan kenduri, ziarah orang sakit atau orang mati.

"Mereka tak menilai dari sudut bagaimana penghujahan yang dibawa oleh ahli parlimen yang cuba membentuk rangka dasar masa depa depan negara," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berharap langkah tersebut tidak hanya berakhir dengan slot setengah jam tapi perlu diadakan slot yang lebih panjang.

"Kena ada slot khas bukan sahaja menyiarkan sesi soalan lisan, sebaliknya perbahasan bajet atau perbahasan titah ucapan Yang DiPertuan Agung membabitkan perbahasan oleh semua ketua parti. Bukan sahaja dari komponen BN tapi juga semua ketua parti dari Pakatan Rakyat.

"Ini untuk memberi rakyat menilai. Bagi saya kalau nak siar keseluruhan sesi parlimen secara langsung kena ada satu saluran khas di tv khusus untuk menyiarkan perbahasan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara," katanya yang ditemui di majlis jamuan rakyat anjuran PAS Kawasan Pokok Sena baru-baru ini

Ahli Umno patut henti sokongan kepada PM

Sudah sampai masanya ahli-ahli Umno mempertimbangkan semula sokongan mereka kepada pemimpin parti itu setelah usaha dan sokongan mereka tidak dihargai langsung, kata Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar.

"Kasihan ahli-ahli Umno yang berpuluh-puluh tahun bertungkus-lumus untuk memenangkan parti mereka.

"Baru kali ini parti mereka mengalami kekalahan teruk, mereka yang dipersalahkan kononnya kerana mensabotaj parti sendiri," kata beliau.

Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bukan sahaja enggan mengambil tanggungjawab atas kekalahan parti yang dipimpinnya malah menyalahkan sesiapa sahaja dan apa jua perkara kecuali diri sendiri.

Beliau menyifatkan sikap Abdullah itu sebagai "memalukan ahli-ahli Umno kerana mempunyai pemimpin seperti itu".

"Dengan membutakan matanya kepada kemarahan rakyat terhadap pentadbirannya yang banyak memudaratkan negara ini, beliau berkata Barisan Nasional (BN) tidak akan kalah 14 kerusi Parlimen dan 22 Dewan Undangan Negeri (DUN) jika tidak disabotaj ahli-ahli sendiri.

"Seputih mana pun penarafan yang diberikan kepada sesuatu kawasan oleh jentera partinya, Perdana Menteri tidak boleh kata kawasan-kawasan itu dijamin menang. Mana boleh jamin dan atasi kuasa Allah yang membolak-balikkan hati?" Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan.

Mahfuz meminta Perdana Menteri supaya "beristighfar banyak-banyak," memuhasabahkan diri sendiri serta berundur seberapa segera bagi menyelamatkan negara ini.

"Contohilah tindakan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting yang enggan menjadi menteri untuk mengambil tanggungjawab atas prestasi buruk partinya atau Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang menawarkan diri untuk mengundur diri,"

"Saya alukan sikap sumbang Azalina"

Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said kerana tindakan sumbangnya.

"Terima kasih kerana Azalina mengukuhkan lagi kerajaan Pakatan Rakyat (PR) dengan menambahkan lagi kemarahan kepada para pemimpin Barisan Nasional.

"Mula-mula dia kata semua memorandum persefahaman (MoU) berkaitan program pelancongan antara lima kerajaan negeri yang dikuasai kerajaan campuran dengan kerajaan pusat dibatalkan berkuat kuasa serta merta kerana tidak setuju dengan keputusan rakyat memilih kerajaan yang mereka kehendaki.

"Kelmarin dia ulangi lagi kenyataan sumbangnya dengan mendakwa kononnya MoU tersebut ditamatkan kerana beliau sudah tahu tidak boleh bekerjasama dengan pembangkang. Dia Tuhankah sehingga tahu apa yang akan berlaku?" kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Sambil menyifatkan Azalina begitu sempit dengan mentaliti kepuakan Barisan Nasionalnya, Mahfuz menyifatkan menteri itu tidak ada semangat Malaysia seperti para pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

"Walaupun tahu rakyat di Kelantan dan di Terengganu dibuli sebelum ini dengan penahanan royalti minyak di Terenganu misalnya serta melambat-lambat serta menyusah-nyusahkan peruntukan untuk negeri yang ditetapkan oleh perlembagaan negara, tetapi kerajaan PR tetap menghormati kerajaan pusat," katanya.

Perkara itu, katanya, dibuktikan apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengunjungi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Razak juga akan mengunjungi Perdana Menteri.

"Tetapi, para pemimpin Barisan Nasional (BN) sengaja mengetepikan konsep federalisme yang ditetapkan oleh perlembagaan negara seperti yang dilakukan oleh Azalina itu," katanya.

Mahfuz menyifatkan sikap panas baran Azalina serta isyarat permusuhannya itu membuktikan para pemimpin BN mahu berperang dengan rakyat yang memilih kerajaan yang mereka kehendaki.

"Buat apa batalkan MoU sahaja? Kenapa Menteri Pelancongan tidak cadangkan supaya diubah lapangan terbang antarabangsa di Pulau Pinang ke Perlis?

"Kalau ikut lojik sikap beliau sepatutnya lapangan terbang antarabangsa di Pulau Pinang diubah ke Perlis, satu-satunya negeri di utara yang dikuasai BN.

"Adakah Menteri Pelancongan nak biarkan Pulau Pinang menjadi pintu masuk pelancong sedangkan beliau sudah sudah tahu tidak boleh bekerjasama dengan pembangkang? Ubahlah lapangan terbang antarabangsa ke Perlis,"

Thursday, April 3, 2008

Menjadikan Harta Jambatan Ibadah

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Sesungguhnnya bagi setiap
umat itu mempunyai ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan.”
Riwayat at-Tirmidzi

Huraian
1. Harta kekayaan, kemewahan dan pangkat menyilaukan pandangan serta dapat mengubah pendirian seseorang.
2. Islam melarang umatnya bersikap terlalu mementingkan kehidupan dunia dan mengutamakan kehidupan peribadi lebih daripada kepentingan masyarakat. Sedangkan pemberian atau nikmat-nikmat keduniaan itu sebenarnya adalah suatu bentuk ujian daripada Allah SWT untuk mengukur sama ada manusia menghargainya dengan bersyukur atau tenggelam dalam kelekaan hingga menjadi kufur terhadap Allah SWT.
3. Oleh itu setiap individu perlu berwaspada agar tidak menjadikan harta kekayaan sebagai alasan untuk melupakan perintah dan suruhan Allah SWT sebaliknya menjadikan nikmat-nikmat tersebut sebagai faktor pendorong untuk melakukan kebajikan dan amal soleh yang dituntut dengan ikhlas bersungguh-sungguh kerana golongan seperti ini bukan sahaja akan beruntung di dunia bahkan mendapat ganjaran besar yang di akhirat kelak.

Kerajaan PR perlu tubuh badan Hisbah

Semua kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang memerintah lima negeri mesti menubuhkan badan Hisbah untuk memastikan ketelusan yang disandarkan kepada sistem yang dipercayai,

"Bukan pengisytiharan harta Exco-exco sahaja yang boleh meningkatkan keyakinan umum terhadap kerajaan-kerajaan tersebut, tetapi yang lebih penting lagi ialah kepada siapa harta diisytiharkan dan adakah perisytiharan itu disiasat oleh badan yang bebas," kata beliau ketika mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Menteri Besar Abdul Khalid Ibrahim tentang keputusan untuk mengisytiharkan harta Menteri Besar serta Exco-exco kerajaan negeri itu serta keluarga mereka.

Beliau berharap badan tersebut yang dipanggil ombudsman oleh umum akan ditubuhkan dengan segera oleh kelima-lima kerajaan negeri yang berkaitan.

"Kita tidak mempersoalkan kejujuran sesiapa. Tetapi hukum alam seolah-olah menetapkan kejujuran sahaja tanpa sistem yang memelihara kejujuran itu boleh menyebabkan individu-individu yang jujur juga terperangkap dengan situasi yang mereka hadapi,"

Sebab itulah, satu sistem yang memelihara dan memastikan kejujuran individu yang berkaitan mesti diwujudkan melalui badan hisbah tersebut.

"Dengan adanya badan hisbah, Menteri Besar, Exco-Exco dan pegawai-pegawai kerajaan boleh mengisytiharkan harta mereka kepada badan itu.

"Bukan setakat isytihar sahaja, tetapi boleh disiasat jika badan itu berpendapat ada keraguan yang mesti dijelaskan dan seterusnya mengambil tindakan susulan," katanya.

Jika harta-harta diisytiharkan kepada Menteri Besar sahaja, katanya, ia tidak memadai untuk dilhat sebagai ketelusan yang selama ini dituntut oleh rakyat.

"Kita jangan lupa, rakyat mengundi kita kerana sudah jemu dengan janji-janji yang tidak ditunaikan oleh Barisan Nasional (BN).

"Mereka bertindak mengundi PR kerana mengharapkan ketelusan dan satu anjakan dalam pengendalian kuasa yang mereka amanahkan.

"Kita mesti buktikan bahawa tindakan mereka itu berbaloi. Worth it,"

Wednesday, April 2, 2008

Dagang Di Dunia

Hadith :
Daripada Ibnu Umar r.a katanya: “Rasulullah SAW telah memegang kedua-dua bahu ku lantas bersabda : “Hendaklah kamu menjadi seperti seorang dagang di dunia ini atau seorang pengembara..” Ibnu Umar r.a berkata : “Apabila kamu berpetang-petang janganlah kamu menunggu waktu pagi, dan apabila kamu berpagi-pagi maka janganlah tunggu waktu petang dan pergunakan masa sihat mu sebelum sakit mu dan masa hidup mu sebelum mati mu...”
(Al-Bukhari)

Huraian
Seorang Muslim Hendaklah bersegera melakukan kebaikan dan memperbanyakkan amalan-amalan ketaatan dan kebajikan. Janganlah melengah-lengahkan masa dan jangan pula mengabaikan masa dengan harapan untuk melakukannya kemudian sedangkan seseorang itu tidak dapat memastikan bilakah ajalnya akan tiba.


PAS, DAP dan KeADILan setuju tubuhkan Pakatan Rakyat

Pemimpin-pemimpin tertinggi parti-parti KeADILan, DAP dan PAS bersetuju menubuhkan Pakatan Rakyat, seperti yang diputuskan dalam mesyuarat yang diadakan pagi ini, kata Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Anwar itu turut dihadiri Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden KeADILan, Datin Seri Wan Azizah serta delegasi masing-masing.

Mesyuarat hari ini mencadangkan untuk memantapkan kerjasama di atas nama Pakatan Rakyat dan nama ini akan disahkan setelah ketiga-tiga parti mendapat persetujuan jawatankuasa pusat masing-masing dalam masa yang terdekat.

"Pakatan Rakyat berikrar akan memperjuangkan hak dan kebajikan semua rakyat tanpa mengira kaum seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara. Dengan keputusan ini, bermakna kerajaan-kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor nanti akan dikenali sebagai kerajaan Pakatan Rakyat," jelas Anwar.

Beliau berkata, dasar-dasar utama kerajaan negeri ini akan diselaraskan sesuai dengan dasar-dasar yang akan ditentukan dalam gagasan Pakatan Rakyat.

Beliau menambah, ketiga-tiga parti akan bermesyuarat di peringkat jawatankuasa masing-masing bagi mengemukakan cadangan kepada sekretariat bersama Pakatan Rakyat yang akan ditubuhkan dalam masa terdekat.

Sehubungan itu, bagi memantapkan pemahaman semua dasar yang akan dibentangkan wakil-wakil rakyat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) ketiga-tiga parti akan mengadakan satu konvensyen pada 27 April 2008, di sebuah lokasi yang akan dimaklumkan kemudian.

Rakyat berjaya robohkan tembok yang dibina BN � Ustaz Azizan

Suasana muhibbah dan semangat penuh kerjasama serta perpaduan jelas terserlah dalam majlis pertemuan Menteri Besar bersama wakil-wakil persatuan masyarakat pelbagai kaum.

Majlis yang dihadiri lebih 600 orang daripada kira-kira 50 wakil persatuan Cina, India, Siam dan Sikh seluruh Kedah, diadakan di Kediaman Rasmi MB di Sri Mentaloon baru-baru ini. Antara yang hadir ialah Exco-exco Kerajaan Negeri, Pengerusi KeADILan Kedah, Ir. Zamri Yusuf dan Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pusat, Ho Phang Chow.

Berucap dalam majlis tersebut, Ustaz Azizan Abdul Razak melahirkan rasa terharunya atas sokongan rakyat kepada PAS dan KeADILan dalam PRU baru-baru ini. Katanya beliau dapat memahami, bahawa rakyat sudah tidak tahan lagi dengan penderitaan dan tekanan pelbagai cara yang dilakukan oleh kerajaan yang memerintah.

"Kerajaan yang memerintah begitu lama merasakan bahawa tiada kuasa lagi yang akan merampas kekuasaan yang ada pada mereka. Tetapi hari ini kita membuktikan kepada dunia bahawa "people power" telah menjatuhkan kerajaan yang memerintah," ujar beliau yang disambut tepukan gemuruh hadirin.

"Kita telah mencipta sejarah! Kita telah memecahkan satu tembok yang lebih besar dari tembok negeri China," katanya yang menyebabkan dewan menjadi gamat dengan derai ketawa.

"Iaitu kefahaman yang menyatakan selain daripada Barisan Nasional orang lain tak boleh memerintah dan orang lain tak boleh mengadakan pakatan dan kerjasama untuk memerintah," sambut beliau melanjutkan ucapan.

Jelas beliau, sungguhpun rakyat Kedah majoriti beragama Islam, rakyat tidak perlu bimbang kerana agama Islam mengajar untuk menghormati manusia, menghormati nilai-nilai kemanusiaan dan menghormati hak-hak. Beliau juga mahu menghapuskan rasa takut di kalangan rakyat.

"Rakyat tidak harus berasa takut kepada parti pemerintah, pegawai kerajaan tidak harus takut kepada parti yang memerintah, peniaga tidak harus takut kepada parti yang memerintah, petani tidak harus berasa takut kepada pemerintah, guru-guru tidak harus berasa takut kepada pemerintah," tegas beliau.

Katanya beliau memberi kebebasan kepada pegawai kerajaan untuk menganut apa jua fahaman politik tetapi sebagai pegawai kerajaan mestilah memberikan ketaatan dalam menunaikan tanggungjawab yang diberikan.

"Bukan dasar kita menggunakan pegawai kerajaan untuk mencapai matlamat politik seperti yang diamalkan BN," katanya.

Beliau turut menyentuh slogan yang diguna dalam manifesto pilihan raya baru-baru ini iaitu �Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua�.

"Apa maksudnya Kedah Sejahtera? Kita menjanjikan kepada rakyat, kita akan berikan kepuasan, ketenangan, kebebasan, dan kalau kita ada peluang rezeki, habuan biar sama-sama kita kongsi," ujar beliau.

Berhubung kerajaan yang masih baru berusia 21 hari itu, beliau memberikan kiasan seperti berikut:

"Ibarat kata kalau kita masuk rumah baru, simen ada lagi, bekas cat ada lagi, kita bau cat di rumah baru ini. Ambil masa nak sesuaikan bau cat dengan bau simen. Perabut kita tak masuk lagi. Harap tuan-tuan bersabar, beri peluang kepada kami mengenal pasti program-program yang perlu diberi keutamaan," katanya.

Menjaga Imej Agama

Hadith :
Sabda Rasulullah s.a.w:”Sesungguhnya Allah SWT telah menyerahkan agama itu pada diri seseorang, maka tidak baik agama itu melainkan dengan ketinggian dan keelokkan akhlak. Adakah kamu mengelokkan agama kamu dengan kedua-dua sifat mulia ini? ”
Riwayat at-Tabrani

Huraian
1. Akhlak yang mulia merupakan perhiasan diri selain daripada cerminan agama yang dianuti.
2. Islam memerintahkan penganutnya agar sentiasa memperelokkan akhlak mereka dan menjauhi segala sifat-sifat yang buruk sehingga menjadi fitnah pada agama. Contohnya banyak berlaku dalam kehidupan umat Islam hari ini yang menyalahtafsirkan ajaran agama dan melakukan berbagai perbuatan buruk dan zalim yang didakwa dilakukan di atas nama Islam.
3. Allah mengetahui segala yang tersirat di dalam hati manusia. Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dalam melakukan segala sesuatu agar tidak menjatuhkan maruah diri, agama dan masyarakat sekeliling.

AHLAN WASAHLAN

ASSALAMUALAIKUM...

AHLAN WASAHLAH DAN SELAMAT DATANG KE WEB BLOG MAHFUZ OMAR