Monday, November 2, 2009

1,800 pesara tentera berhak dapat pingat dan pencen

1,800 pesara tentera yang dikenal pasti berjasa pada negara supaya diberikan anugerah dan elaun yang selayaknya.


Cadangan itu dibuat ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pingat Gagah Perkasa (PGP), di Parlimen hari ini.

"Tidak bolehkah 1,800 orang yang dikenal pasti ini dianugerahkan pingat gagah berani dan pingat gagah perkasa disebabkan jasa mereka," tegasnya.

Ujarnya lagi, inisiatif kerajaan memberikan anugerah serta elaun tententu kepada hanya 99 pesara tentera sahaja sebelum ini adalah tidak memadai.

Sebaliknya, kesemua pesara yang lain juga sepatutnya layak kerana berjuang bersama-sama dalam hutan suatu ketika dulu.

"Ada (pesara) yang dipotong kaki, bukan kerana kemalangan atau masalah kesihatan...maknanya ia hilang upaya sewaktu berdepan dengan musuh mempertahan negara dari pengkhianat, tapi tiada apa-apa bantuan."

"Kalau mereka (pesara) ini tidak boleh diiktiraf (oleh) kerajaan kerana berjuang di hutan dulu, kita nak panggil mereka apa," soalnya.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS mempersoal keberkesanan Tabung Kebajikan Tentera yang saban tahun mengutip dana daripada rakyat untuk menampung kebajikan pesara tentera sebelum ini.

Beliau turut meminta kerajaan memeprtimbang untuk memberikan elaun yang munasabah kepada pesara yang lain, termasuk mangsa kes kapal terbang Nuri terhempas beberapa tahun lalu.

Ahli Parlimen Pendang, Dr. MOhd Hayati Othman yang mencelah, meminta kerajaan mempertimbangkan untuk memberi anugerah dan elaun juga kepada para pesara polis yang layak, disebabkan keberanian dan berjasa pada negara.

Jelasnya, pengalaman melawat Balai Polis Bukit Jenun, Pendang, menyaksikan polis terpaksa beroperasi dalam kontena secara tidak selesa, sedangkan mereka bertugas secara berani dan berjasa pada negara.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakat PAS Kedah meminta kerajaan memperuntukan sejumlah dana tertentu untuk membiayai pesara tentera yang mengalami penyakit kronik, termasuk perkhidmatan dialesis secara percuma.

Menjawab perbahasan itu, Ahli Parlimen Sandakan VK Liew tidak mahu memberikan respon balas kerana mahu fokus pada beberapa perkara yang lain.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) menjelaskan, kerajaan mempertimbang untuk menarik balik anugerah PGB daripada pesara-pesara yang dikenal pasti terlibat dalam acara jenayah, sebagaimana yang dibangkitkan semalam.

Sebelum pada itu, Ahli Parlimen Alor Setar Alor Setar Chor Chee Heung (MCA) mendakwa segelintir pemimpin Pakatan menyokong pengkhianat negara serta tidak menghargai pengorbanan tentera dulu.

Ianya disebabkan Pakatan mengkritik tindakan kerajaan menghalang pemimpin utama Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng pulang ke tanah air.

Kerajaan juga mendakwa tindakan pembangkang itu sebagai mengkhianati pengorbanan tentera serta tanah air.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bangun kemudiannya, menegaskan bahawa dakwaan Chor itu sebagai suatu perbahasan kosong.

Dakwanya lagi, kerajaan sepatutnya mendahulukan perdamaian dengan bekas pemimpin PKM itu, sebagaimana yang pernah dimeterai antara kerajaan Malaysia dan PKM suatu ketika dulu.

Tegasnya lagi, Chin Peng berhak pulang ke tanah air kerana hak tersebut adalah termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UHDR).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh menasihatkan kerajaan meninggalkan amalan balas dendam, yang dianggap tidak berprikemanusiaan.

Semalam, kerajaan memaklumkan bahawa sebanyak 11 pesara tentera dianugerahkan pingat Gagah Perkasa yang membawa elaun RM2,000 setiap bulan.

11 pesara yang lain dianugerahkan pingat Gagah Berani yang membawa elaun RM1,500 setiap bulan._


No comments: