Monday, June 1, 2009

LAPAR SALAH, BUBAR KALAH…

PILIHAN raya Penanti yang akan berlangsung pada akhir bulan Mei ini di mana BN berusaha memperalatkan calon-calon bebas untuk menyerang Pakatan Rakyat. Isu rasuah dan sogokan cuba dibesar-besarkan oleh media untuk menjatuhkan calon Pakatan Rakyat. Inilah sikap pengecut BN yang takut untuk bertanding sendiri, tetapi masih mahu campur tangan terhadap perjalanan pilihan raya kecil tersebut. Amat memalukan apabila sebuah parti pemerintah tidak berani berhadapan dengan rakyat dalam pilihan raya. Kononnya, kerana tidak mahu membazirkan wang rakyat, sedangkan penajaan calon-calon bebas telah menyebabkan pilihan raya terpaksa diadakan juga.


Kalau itulah alasan bodoh yang dibuat oleh BN, maka pilihan raya kecil di Manik Urai pada Julai nanti juga sepatutnya BN turut menarik diri dan memberikan kemenangan percuma kepada PAS. BN boleh memberitahu rakyat bahawa kekosongan ini adalah permainan politik pembangkang, dan BN tidak mahu bertanding kerana mengelakkan pembaziran wang rakyat. Hakikatnya BN cukup takut berhadapan dengan rakyat. Mereka boleh memperalatkan SPR, SPRM, mahkamah dan institusi yang lain untuk mengekalkan kuasa politik mereka. Tetapi BN tidak lagi dapat memperalatkan kesedaran rakyat untuk kepentingan dan survival politik mereka kali ini. Saya tidak tahu mengapa Khairy Jamaluddin menyeru rakyat supaya tidak keluar mengundi, tetapi saya tahu perbuatan itu adalah salah. Saya mencabar SPR bertindak ke atas perasuah politik Umno itu.


Kegusaran BN untuk berhadapan dengan rakyat dalam pilihan raya begitu memuncak. Apa tidaknya, sudah empat pilihan raya mereka tewas. Tidak sanggup lagi mereka untuk tewas di Penanti, dan Manik Urai juga. Kalau keadaan ini berterusan, bagaimana DUN perak hendak dibubarkan. BN tidak akan dapat memerintah Perak dengan sempurna walaupun mendapat sokongan penuh daripada mahkamah! Mereka akan berhadapan dengan pelbagai kemelut dan krisis perlembagaan sehingga tidak ada pilihan lagi, melainkan membubarkan sahaja DUN Perak. Itu sahaja jalan yang ada untuk meredakan kekecohan politik di negeri tersebut. Tidak ada jalan lain lagi. Mahkamah mungkin boleh mengesahkan jawatan Zambry Kadir, tetapi belum tentu ia dapat menghilangkan keresahan Zambry dalam mentadbir Perak.

Ditelan mati mak, diluah mati bapa! Itulah konflik jiwa yang dihadapi oleh BN di Perak. Hendak dibubar takut kalah, hendak teruskan tidak boleh memerintah. BN tidak sanggup untuk berhadapan dengan rakyat dalam suasana politik hari ini. Inilah pertama kali dalam sejarah politik di Malaysia, peralihan kuasa pemimpin tertinggi tidak memberi kesan kepada kemahuan rakyat untuk berubah. Dahulu, ketika rakyat marahkan Tunku Abdul Rahman pada 1969, Tun Razak menyelamatkan keadaan pada 1974. Apabilan Tun Hussein Onn berhenti pada 1981, rakyat memberikan mandate kepada Dr Mahathir pada 1982, bahkan kemarahan rakyat pada Dr Mahathir pada 1998 reda serta-merta pada 2004 apabila Pak Lah mengambil alih kuasa pada 2003. Tetapi nampaknya nasib ini tidak berpihak kepada Najib Razak. Semenjak Najib menjadi Perdana Menteri, bukan sahaja BN kalah beberapa kerusi, bahkan mencipta sejarah pertama kali BN kalah sebelum bertanding.


Najib semahu mungkin tidak mahu lagi ada pilihan raya sehingga tamat penggal ke-12 ini pada 2013. Dia agaknya berdoa panjang supaya dipercepatkan tahun 2011 supaya tidak ada lagi pilihan raya kecil. Tetapi Allah mentakdirkan sebaliknya apabila pilihan raya demi pilihan raya berlaku. Ketika pilihan raya Penanti belum selesai, tiba-tiba ADUN Manik Urai pula meninggal dunia. Nasib baik dua pilihan raya di Selangor (Bukit Lanjan dan Kota Alam Shah) tidak jadi diadakan. Jika tidak, Najib akan terus bersedih. Agaknya terkena sumpah hantu Altantuya perdana menteri baru kita ini.

Menyedari hakikat ini, BN nampaknya tidak rela untuk berpilihan raya di Perak. Mereka bukan sahaja tidak mahu membubarkan DUN, tidak mahu juga berpilihan raya. Mereka mahu kekecohan politik dihentikan segera. Mereka tidak mahu lagi sebarang provokasi yang boleh menghangatkan politik Perak. Mereka berusaha sekeras-kerasnya untuk menyekat kebangkitan rakyat Perak. Setelah DUN tidak berani bersidang, maka BN menggunakan polis untuk menghalang sebarang bentuk bantahan politik dan desakan DUN dibubarkan. Kini di Perak, berbaju hitam salah, mogok lapar salah, berpuasa sunat salah, bersolat hajat salah… pendek kata semuanya salah. Lapar salah, bubar kalah…jadi BN serba salah.


Apalah salahnya rakyat untuk memakai baju hitam di Perak. Apa bezanya baju hitam dengan baju biru atau baju hijau? Mengapa begitu ditakuti baju hitam itu sehingga pemakainya ditahan. Apalah salahnya rakyat mahu berlapar atau berpuasa sunat sehingga orang-orang menyertai mogok lapar itu ditangkap. Adakah berlapar itu satu kesalahan dalam undang-undang di Negara ini sehingga polis begitu rakus diperalatkan. Tidak pernah kita dengar di mana-mana pun bahawa berlapar itu salah, bahkan orang Islam setiap tahun, sebulan wajib berlapar. Berlapar itu ada manfaatnya, tetapi BN lebih lebih besar mudharatnya. Mereka menggunakan mufti dan bekas mufti yang berada di luar negeri untuk membuat fatwa kononnya berlapar itu haram hukumnya.

Memang memudharatkan diri itu haram hukumnya, tetapi kalau itulah caranya untuk menghentikan kezaliman atau mendapatkan semula keadilan, bukankah langkah seperti itu wajib dilaksanakan. Bukankah Islam membenarkan kita mengorbankan jiwa dalam perperangan untuk menegakkan keadilan Islam, maka mengapa pula berlapar untuk keadilan dan kebenaran tidak boleh. Lagipun, di kalangan umat Islam mereka hanya diarahkan berpuasa dan bersolat hajat sahaja, maka mengapa berpuasa itu dikatakan haram. Adakah halal kerajaan melakukan kezaliman ke atas rakyat, dan adakah harus seorang mufti berdiam diri terhadap kezaliman itu? Maka, apabila mufti sudah kehilangan arah, tidak salah rakyat memilih untuk berlapar demi keadilan. Mufti sepatutnya tidak menjadi alat dalam soal ini. Jangan kerana segenggam gaji atau sebuah kereta, mufti sanggup menjual agama daripada menyatakan kebenaran.


Hakikatnya bukan lapar itu salah, tetapi bubar itu kalah! BN tidak sanggup untuk membubarkan DUN Perak dalam apa keadaan pun. Najib tidak mahu dimalukan lagi. Beliau berusaha sekaras-kerasnya untuk menutup kejalangannya dalam melakukan rampasan kuasa di Perak, sehingga saban hari membesarkan isu komunis. Kerana terlalu takutkan kalah dalam pilihan raya, maka apa sahaja tindakan Pakatan Rakyat yang boleh membangkitkan kesedaran rakyat Perak dianggap salah. Sesiapa pun tidak boleh berbaju hitam, berlapar atau berpuasa demi keadilan di Perak, melainkan semuanya dianggap salah. Inilah politik demokrasi Gestapo BN yang kini sedang dihantui oleh baying-bayang Altantuya!

3 comments:

Mat Luku said...

HAHAHAHAHAHAHAHA.......SALAM.... BRO,KALAU DAH NAMANYA KERAJAAN BINI NAJIB,MEMANGLAH TAKUT KALAH...SEBAGAI ISTERI KEPADA ROSMAH,NAJIB TAKKAN BERANI DERHAKA DENGAN SUAMI DIA KAN?..ROSMAH TAK BAGI BUBAR DUN,SO KENA IKUT JELAH...KALAU DI CERAINYA NAJIB OLEH ROSMAH,TAKKAH MENDUDA PULAK NAJIB NANTI???

Anonymous said...

Tak habis2 altantuya... bodoh punya mahfuz.. tak baca al-quran ke... mana bukti... tak pasal2 dapat dosa kering.. besar lak tu dosanya.. bodoh punya mahfuz..

Anonymous said...

buat sidang media nak bertanding jwatan...