KABINET Malaysia di bawah Perdana Menteri baru, Datuk Seri Mohd Najib Razak telahpun diumumkan pada Khamis lepas, iaitu lima hari sesudah Perdana Menteri mengangkat sumpah. Media massa pengampu dengan segera melabelkan kabinet ini sebagai berjiwa rakyat dengan slogan “Satu Malaysia – Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan”.
Memang slogan ini cukup manis untuk dilihat oleh rakyat, tetapi belum tentu dari segi perlaksanaannya. Tun Dr Mahathir dahulu ketika mula-mula naik pada 1981 melaungkan slogan Kepemimpinan Melalui Teladan dan mendukung agenda Bersih, Cekap dan Amanah. Tetapi berhenti Dr Mahathir sebagai Mahafiraun yang penuh dengan penyelewengan sehingga digelar “Bapa Mizan” yang bekerja dengan “daddy kasi”. Bukankah rakyat menolak Dr Mahathir dahulu kerana KKN-nya?
Tun Abdullah Badawi juga mencipta slogan lunak ketika mencari al-Ghazali, lalu diisytiharkan projek integriti ke arah pembinaan modal insan. Beliau mengusung ke sana ke mari Islam Hadhari – satu salinan semula kepada Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam Dr Mahathir. Akhirnya, Dr Mahathir bersama juak-juaknya termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘membelasah’ Pak Lah, walaupun Najib hanya berdiam diri. Dr Mahathir mempersoalkan integriti zaman Pak Lah kerana ‘kuasa’ menantunya di Tingkat 4 JPM. Rasuah yang diasaskan pada zaman Dr Mahathir membiak dengan pesat di bawah Pak Lah dengan dengan ‘muka kering’ Dr Mahathir memberitahu ahli Umno bahawa makan rasuah lebih besar dosanya daripada makan daging babi! Akhirnya Mr Clean terpaksa berundur dengan imej rasuah yang terpalit pada pentadbirannya.
Kabinet baru ini dibentuk selepas sah rakyat menolak kepemimpinan Najib dalam pilihan raya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau pada 7 April 2009. Najib bernasib baik kerana masih boleh ‘memperbodohkan’ pengundi di Batang Ai yang rata-rata tidak dapat mengakses pandangan kedua. Tetapi, nyatalah bahawa rakyat tidak percaya kepada Najib, tidak seperti mana keajaiban yang diterima oleh Pak Lah pada 2004. Bahkan, tindakan Najib menarik balik penggantungan Harakah dan Suara Keadilan serta membebaskan 13 tahanan ISA hanya dipandang sinis oleh rakyat – tidak ubah seperti Pak Lah mendakwa Mendiang Eric Chia dan Tan Sri Kasitah Gadam untuk projek integritinya dahulu. Nampaknya lakonan pemimpin BN hari ini tidak termakan lagi oleh rakyat.
Berbalik kepada persoalan Kabinet yang baru dibentuk ini, ramai yang mempersoalkan apakah ahli parlimen BN lebih 100 orang itu semuanya tiada wibawa, lalu dikitar semula tokoh-tokoh yang sudah dirijek oleh rakyat. Menteri yang kalah pilihan raya, yang kalah pemilihan parti nampaknya diangkat semula. Yang menang tidaklah pula menjadi pilihan, maka ramailah senator menjadi menteri pada kali ini. Termasuk yang dilantik ini ialah bekas Pengarah KAGAT, Datuk Jamil Khir Baharom. Nampaknya menjadi tradisi di kalangan pemimpin Umno sekarang ini memperalatkan tokoh-tokoh agama untuk ‘menyucikan’ kabinet mereka.
Tapi, seperti biasa orang-orang ini akan menjadi sampah dalam Umno. Lihatlah nasib Tan Sri Hamid Othman, Datuk Seri Abdul Hamid Zainal Abidin,Datuk Abdullah Mat Zain, Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir dan lain-lain, terbuang mereka. Tentu Datuk Furdaus Ismail dan Datuk Nakhaie Ahmad bersetuju dengan saya. Apa tidaknya, Umno bukan mendengar nasihat ulamak, melainkan memperalatkan mereka sahaja.
Beberapa menteri yang dikaitkan dengan rasuah semasa pemilihan Umno baru-baru ini terus berada dalam kabinet Najib. Bahkan, yang pernah dikaitkan dengan skandal seks pun masih ada di situ. Yang tiada cuma Khairy Jamaluddin, perasuah yang dibenarkan bertanding Ketua Pemuda Umno itu. Mungkin Dr Mahathir cukup berbulu dengan Khairy, lalu Mukhriz yang kalah diangkat menjadi timbalan menteri. Agaknya, kerana itulah orang berkata kabinet kali ini adalah kabinet Dr Mahathir, bukannya Najib. Saya tidak tahu sama ada benar atau tidak bahawa Dr Mahathir mempengaruhi Najib dalam soal ini, tetapi itulah yang dipercayai oleh rakyat. Seburuk-buruk Pak Lah dahulu, tidak mahu dia mengikut telunjuk Dr Mahathir, kerana itu dia diserang bertubi-tubi.
Isu sebenar di sebalik kabinet “Rakyat Didahulukan” ini ialah adakah orang-orang yang dilantik diperkenan oleh rakyat. Rakyat sudah menolak mereka, ahli Umno juga menolak mereka. Tetapi merekalah yang diangkat untuk mendahulukan kepentingan rakyat. Bagaimana ia hendak dilaksanakan. Yang kedua, dua buah negeri di Borneo mendapat tambahan kerusi menteri yang mewakili sekitar lima juta rakyat, sedangkan negeri-negeri yang lain tidak pula demikian. Adakah kerana BN melihat Sabah dan Sarawak (baca: Batang Ai) adalah kubu kuat yang menentukan survival politik Najib hari ini.
Ini bukan mendahulukan rakyat, tetapi mendahulukan kepentingan politik sempit diri sendiri! Najib cuba memancing perhatian rakyat dengan retorik “Satu Malaysia ”, sedangkan pada hakikatnya satu kroni sahaja!
Najib cuba memberitahu rakyat bahawa pada kali ini kabinetnya akan mengutamakan prestasi, dengan maksud pencapaian lebih diutamakan daripada projek. Bukankah ini juga slogan yang dibawa oleh Dr Mahathir dan Pak Lah dahulu. Najib berada dalam kabinet kedua-dua bekas PM ini, tetapi kenapa ketika itu beliau tidak mengutamakan prestasi. Ketika beliau menjadi TPM, semua orang melihat inilah cabinet yang paling lemah dan lembab dalam sejarah negara. Tidak ada prestasi langsung.
Bahkan penuh dengan rasuah, penyelewengan dan skandal. Najib tidak berbuat apa-apa pun. Mungkin Najib akan berkata, ketika itu saya bukan ketua. Memang benar, tetapi ketika itulah beliau disabitkan dengan isu kapal selam dan helikopter sehingga wanita Mongolia itu boleh menyeludup masuk ke Malaysia tanpa rekod imigresen” Jika Najib akan memantau prestasi menteri lain, siapa pula yang akan memantau Najib. Mungkin Rosmah! Nampak gaya kabinet kali ini dikawal dari dapurlah…
Apapun isunya, rakyat tetap akan melihat bahawa masalah sebenar kabinet hari ini ialah kecelaan yang ada pada ketua kabinet, iaitu Najib sendiri. Referandum rakyat sudah dinyatakan di Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Najib belum membersihkan dirinya daripada pelbagai tuduhan. Dari tuduhan khalwat dengan artis di Port Dickson hinggalah skandal seks dengan Altantuya. Daripada membeli kapal selam hinggalah pembunuhan wanita Mongolia . Daripada membeli undi dalam pilihan raya hinggalah membeli jawatan tertinggi dalam parti. Begitu comot sekali Najib dengan pelbagai skandal untuk beliau memimpin kerajaan Malaysia . PAS sudah berkali-kali mendesak Najib membersihkan dirinya dengan membawa isu ini ke mahkamah, tetapi Najib enggan kerana takut rahsianya terlondeh.
Apabila Najib enggan ke mahkamah, maka kabinetpun berkepalakan seorang yang diragui integritinya. Keraguan rakyat jelas sekali apabila semua bergembira dengan pendirian pengundi di dua bukit itu. Apabila kepala sudah busuk, maka sampai keekornya pun busuk sama. Apatah lagi apabila ahli-ahli kabinet sudah diketahui umum tercemar oleh pelbagai skandal.
Apakan upaya seorang Pengarah Kagat untuk menjadi sebutir garam untuk menyegarkan kabinet yang sedang membusuk ini. Akhirnya, seperti mana reputnya Umno, begitulah reputnya kabinet ini. Bersetuju atau tidak, rakyat sudah melihat bahawa kabinet ini adalah kabinet ikan busuk kerana berkepalakan kepala yang busuk. Mungkin inilah rupanya kabinet terakhir BN…