Wednesday, December 24, 2008

SURUHANJAYA PERLANTIKAN HAKIM KERAJAAN BN RAMPAS KUASA YANG DI-PERTUAN AGONG DAN PARLIMEN?

SETELAH Rang Undang Perbekalan 2009 yang dikatakan ’out of date’ diluluskan oleh Dewan Rakyat, minggu ini beberapa rang undang-undang baru telah dikemukakan oleh kerajaan sebagai ‘penutup’ kepada rancangan integriti yang dijanjikan oleh Perdana Menteri pada 2003. Ketika mula berkuasa pada akhir Oktober 2003, Abdullah Badawi telah berjanji kepada rakyat untuk menghapuskan rasuah, meningkatkan integriti dan membangunkan modal insan. Pada awalnya, rakyat begitu teruja dengan penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) dan pendakwaan ke atas beberapa tokoh seperti Tan Sri Kasitah Gaddam dan Tan Sri Eric Chia sehingga BN menang besar pada 2004.


Tetapi dalam masa empat tahun kemudian, rakyat sudah memerhatikan bahawa agenda integriti ini lebih bersifat retorik kerana Abdullah Badawi sendiri ’dikawal’ oleh Tingkat 4 JPM dalam pentadbiran beliau. Lebih memeranjatkan apabila menantunya dengan tiba-tiba menjadi jutawan dan orang yang paling berkuasa dalam dunia politik, pentadbiran awam, perniagaan bahkan sukan juga. Di mana-mana orang bercakap soal ketelusan dan amalan rasuah, kronisme dan nepotisme pada zaman Abdullah Badawi. Selepas kalah teruk pada 2008, Abdullah Badawi cuba membersihkan semula dirinya dengan membayar ’ex-gratia’ kepada bekas hakim yang dipecat dan menubuhkan dua suruhanjaya iaitu Suruhanjaya Perlantikan Hakim (SPK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Kita mengalu-alukan sebarang bentuk usaha kerajaan untuk menambah baik pentadbiran awam dan meningkatkan ketelusan dalam pengurusan negara. Walau bagaimanapun, jika cadangan yang dikemukakan lebih bersifat kosmetik, bahkan mempunyai agenda yang lain untuk menambahkan cengkaman kuasa eksekutif ke atas cabang-cabang pentadbiran yang lain, kita tidak dapat menerimanya. Kerana saya sendiri mempunyai pandangan yang agak sinis dalam soal penubuhan SPK khususnya. Saya mendapat maklumat yang berbeza daripada draf asal yang dikemukakan oleh Datuk Zaid Ibrahim berkenaan perkara ini, berbanding dengan apa yang dibentangkan di Dewan Rakyat minggu lepas. Agenda Datuk Zaid untuk membersihkan badan kehakiman nampaknya tidak disambut baik oleh Perdana Menteri.


Kita tidak menolak sepenuhnya SPK kerana ia mungkin lebih baik daripada amalan sebelum ini. Tetapi kita mempersoalkan apakah fungsi sebenar SPK jika cadangan-cadangan mereka boleh ditolak mentah-mentah oleh Perdana Menteri. Lebih teruk lagi, Perdana Menteri mempunyai kuasa melantik ahli suruhanjaya ini yang membolehkan cengkaman Perdana Menteri diperkukuhkan di belakang dan di hadapan. Perdana Menteri juga diberikan kuasa besar untuk meminda Akta SPK ini tanpa melalui prosedur biasa. Memang menjadi amalan perundangan untuk memberi hak kepada Menteri bagi mewujudkan undang-undang kecil (by law), tetapi cara Akta SPK memberi kuasa kepada Perdana Menteri meminda undang-undang ibu (akta) sudah menunjukkan bahawa badan perundangan telah dibeli oleh JPM (buy law).


Isu pertama yang menjadi persoalan ialah kedudukan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik hakim-hakim dengan nasihat Perdana Menteri. Nampaknya, Akta SPK yang memberi kuasa memilih calon hakim-hakim kanan termasuk Ketua Hakim Negara kepada SPK telah menyanggahi Perlembagaan. Dalam Perlembagaan, SPK tidak wujud, sebaliknya Perdana Menterilah yang berkuasa. Ini bermakna SPK dari sudut implementasinya adalah tidak kuat kerana Perdana Menteri secara wewenang boleh mengenepikan syor mereka berasaskan kuasa mencadang itu hak mutlak Perdana Menteri.


Bukan pertama kali pandangan suruhanjaya dibakulsampahkan di negara kita. Kita tentu masih ingat bagaimana nasib cadangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Suruhanjaya Penambahbaikan PDRM dahulu. Bukankah cadangan suruhanjaya ini dipandang serong oleh kerajaan? Apakah pula nasib SPK nanti? Adakah nama yang dikemukakan oleh SPK diterima oleh Perdana Menteri sedangkan akta itu menyebut Perdana Menteri tidak terikat dengan cadangan itu. Atau, apakah akan berlaku jika ada pihak yang mencabar akta ini serta perlantikan hakim di mahkamah kerana prosesnya bertentangan dengan Perlembagaan. Bukankah ini bakal memalukan Yang di-Pertuan Agong kelak?

Kita harus sedar bahawa Akta SPK telah membesarkan lagi kuasa Perdana Menteri dalam soal perlantikan hakim. Dahulu Perdana Menteri hanya mencadangkan nama kepada Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Majlis Raja-raja. Tetapi, Akta SPK bukan sahaja memberi hak kepada Perdana Menteri untuk menolak atau tidak terikat dengan syor SPK, bahkan keahlian SPK itu sendiri dikuasai oleh Perdana Menteri. Daripada sembilan ahli, empat daripadanya adalah ahli kerana jawatan, manakala lima lagi dilantik oleh Perdana Menteri setelah berunding tanpa terikat dengan Majlis Peguam. Dalam kata lain, Perdana Menteri berkuasa sepenuhnya ke atas SPK melalui kuasa lantikan ini sehingga ia tidak lagi menjadi suruhanjaya yang bebas.


Adakah empat orang hakim kanan dalam suruhanjaya ini ’sanggup’ berbeza pendapat dengan Perdana Menteri kerana lima lagi anggota SPK itu adalah ’orang Perdana Menteri’. Lima orang yang dilantik itu pula lebih kritikal kedudukannya kerana Seksyen 9(1) akta ini memberi kuasa kepada Perdana Menteri memecat mereka bila-bila masa tanpa perlu diberikan apa-apa sebab. Bukankah peruntukan ini bermaksud hidung lima orang itu telah ’dicucuk’ oleh Perdana Menteri? Jika mereka mahukan status quo mereka dalam SPK kekal, maka mereka mesti mencalonkan ’orang yang digemari Perdana Menteri’ untuk menjawat jawatan hakim kanan. Apakah erti semua ini? Apa bezanya dengan cara lama yang memberi kuasa terus kepada Perdana Menteri? Apakah benar ia sekadar kosmetik politik sahaja? Bukankah akta ini sekadar kosmetik politik sahaja?


Lebih aneh lagi apabila Seksyen 37 Akta SPK memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk meminda mana-mana bahagian dalam akta ini bagi memperkemaskannya dalam masa dua tahun tanpa perlu melalui proses Parlimen. Ini bermakna hak Parlimen membuat undang-undang telah dirampas oleh Perdana Menteri secara wewenang. Kita tidak tahu apa nasib akta ini dalam tempoh dua tahun kerana Perdana Menteri berkuasa mengubah, meminda atau tidak mengguna pakai mana-mana peruntukkannya jika didapati tidak sesuai oleh Perdana Menteri. Ini adalah sesuatu yang amat ganjil kerana undang-undang ibu boleh dipinda oleh seorang individu. Maka di manakah hak 218 orang wakil rakyat dan 69 senator dalam soal ini. Lebih terjejas ialah hak Yang di-Pertuan Agong sebagai salah satu komponen Parlimen. Pindaan cara ini telah melanggar proses perundangan biasa.


Rakyat harus sedar dan faham bahawa amalan demokrasi menghendaki cabang-cabang kuasa eksekutif, perundangan dan kehakiman dipisahkan. Kita mengamalkan demokrasi yang melantik eksekutif di kalangan ahli perundangan dalam konsep pertindanan kuasa. Pemisahan kuasa bertujuan supaya setiap cabang pentadbiran awam telus dan saling mengimbangi. Tetapi dalam akta SPK yang baru ini, Kerajaan BN melalui kedudukan Perdana Menteri selaku ketua eksekutif telah membolot semua kuasa. Perdana Menteri hari ini atau selepas mac 2009 diberi kuasa meminda undang-undang tanpa melalui Parlimen, kemudian PM jugalah yang berkuasa melantik hakim-hakim yang disukainya untuk memimpin badan kehakiman sehingga Yang di-Pertuan Agong pun kehilangan kuasa. Nampaknya cara Perdana Menteri mewujudkan integriti ialah dengan memasukkan semua institusi pentadbiran awam ke dalam ’kocek’nya!

2 comments:

AFRAR YUNUS said...

salam tn hj
tahniah menang kes dengan utusan.

Anonymous said...

Ini teks untuk Anwar baca kalau dah susah sangat nak bagi jawapan yang jelas. Sokongan makin lari bila Anwar tak jelaskan isu hudud dengan segera.

Jawapan:

1. Masyarakat bukan Islam tak perlu bimbang langsung kerana undang-undang Islam tidak akan dipaksakan ke atas mereka. Islam agama adil yang menghormati hak penganut agama-agama lain.

2. Kepada masyarakat Islam, undang-undang Islam wajib dilaksana tetapi secara berhikmah, bukan secara tergesa-tergesa. Saya tegaskan bahawa semua undang-undang Islam memang wajib ke atas umat Islam tetapi saya bagi jaminan tidak akan dilaksanakan secara tergesa-tergesa.

3. Kita kena faham bahawa sudah lama imej Islam diburukkan oleh pemahaman salah umat Islam berhubung kenyataan salah kepimpinan UMNO sebelum ini. Contohnya, ada pemimpin UMNO yang memfitnah bahawa menurut undang-undang Islam, 4 saksi diperlukan dalam kes rogol! Ini tidak benar. Kenyataan salah seperti ini yang membuatkan Islam kelihatan buruk.

4. Berhubung pelaksanaan undang-undang Islam, saya akan mulakan dengan kaedah pendidikan di sekolah di mana dalam matapelajaran agama Islam, pelajar akan diberi penerangan tentang undang-undang Islam yang sebenar. Salahfaham mesti diperbetulkan. Contohnya, bukan semua kes mencuri dihukum dengan potong tangan. Nabi Muhammad menjelaskan bahawa hukuman hudud tidak perlu dilaksanakan dalam kes kes yang ada keraguan. Orang yang mencuri kerana miskin contohnya. Islam tidak fanatik hendak memotong tangan orang. Islam mengiktiraf kaedah takzir (iaitu hukuman yang bukan hudud ) dalam kebanayakan kes..

5. Berhubung isu besar seperti ini, saya tidak setuju bahawa ia perlu diputuskan secara individu oleh mana-mana pemimpin. Seperti isu bahasa untuk Sains dan Matematik. Keputusan yang dibuat secara tiba-tiba tanpa konsultasi dan perbincangan, dan pelaksanaan secara tergesa-tergesa akan menimbulakan banyak masalah, seperti dalam isu Sains MAtematik sebelum ini..

Saya akan panggil semua pihak, alim ulamak dari seluruh negara tanpa mengira fahaman politik untuk membincangkan solution bagi masalah ini. Pakar undang-undang dan wakil dari Majlis Peguam dan pertubuhan hak asasi manusia akan turut dipanggil untuk memberikan pandangan dalam proses mendraf undang2 yang selaras dengan syariah Islam.

5. Selepas beberapa tahun, survey akan dibuat untuk melihat penerimaan umat Islam terhadap isu ini. Sekiranya terdapat banyak tentangan, mungkin undang2 Islam boleh dibuat secara berperingkat. Sebagai contoh, untuk ahli-ahli PAS dan orang Islam yang ingin kepada undang2 Islam, mereka boleh menandatangani borang menyatakan mereka ingin undang2 Islam dilaksanakan ke atas mereka. Justeru, tidak timbul masalah undang2 Islam dipaksakan ke atas sesiapa.

Saya yakin kebaikan undang-undang Islam akan terserlah apabila ia mula dilaksanakan dan tidak timbul langsung sebarang paksaan.

Sebagai manusia, saya mungkin tersilap dan sedia menerima teguran.