Saturday, September 19, 2009

Gelabah Najib petanda dokumen didedahkan MT adalah tulen

Kegelabahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berikutan tindakan Malaysia Today (MT) mendedahkan dokumen yang meminta diluluskan kenaikan kos projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) merupakan satu pengakuan bahawa dokumen tersebut adalah dokumen yang tulen.

"Orang menggelabah bila bersalah. Sebab itulah Najib sengaja bising-bising hendak memburu pihak yang membocorkan dokumen itu dan mengunci rapat-rapat mulutnya terhadap pendedahan tindakan kabinet meluluskan pembelasahan wang rakyat semata-mata untuk menutup salah laku dalam projek tersebut.

"Jika dokumen itu tulen, Perdana Menteri jenis apa mendiamkan diri terhadap pembelasahan lebih RM3.5 bilion wang rakyat berdasarkan peningkatan kepada lebih RM4.6 bilion dari kos asal RM1.088 bilion.

"Ini bukan belasah satu ringgit. Belasah satu ringgit pun wang rakyat tanpa mengikut peraturan yang sah adalah salah di sisi undang-undang. Perdana Menteri jenis apa menjahit mulutnya terhadap pendedahan pembelasahan berbilion-bilion wang negara?" kata beliau yang sebelum ini menuntut Najib dan semua anggota kabinet yang terlibat meletakkan jawatan masing-masing jika dokumen yang didedahkan oleh MT itu tulen.

Saya juga ingin menyifatkan Najib mahu mengalihkan isu apabila hanya membesar-besarkan isu pembocoran dokumen itu.

"Najib boleh cuba untuk mengalihkan isu dengan membangkit-bangkitkan Akta Rahsia Rasmi (OSA) untuk bertindak balas terhadap mereka yang membocorkan dokumen itu.

"Tetapi jangan lupa, rakyat juga hendak bertindak balas terhadap Najib dan semua anggota kabinet yang terlibat memberi kelulusan yang dicadangkan dalam dokumen itu, jika dokumen itu tulen.

"Saya yakin, selain menuntut ditubuhkan suruhanjaya di raja supaya penyelewengan tersebut disiasat, ada tindakan lain yang akan diambil oleh rakyat,"

Jika dokumen yang didedahkan oleh MT itu tulen, isunya bukan setakat penyelewengan syarikat pemaju, badan berkanun kerajaan atau mana-mana menteri, tetapi penyelewengan seluruh kabinet Malaysia.

"Sebab itulah kita tidak boleh menerima sama sekali sandiwara memburu pembocor maklumat untuk menyembunyikan penyelewengan kabinet termasuk Najib sendiri,"

Jika dokumen itu tulen, kabinet penyeleweng yang membelasah wang rakyat itu mesti mesti dihukum kerana telah merugikan berbilion-bilion wang rakyat.

"Walaupun dokumen itu telah didedahkan dan ia sememangnya tulen, tetapi kita tidak percaya kerajaan berani mendeklasifikasikannya kerana ia tidak mahu wujud bukti yang sah di sisi undang-undang tentang penyelewengan kabinet itu.

"Sebab itulah, seluruh rakyat Malaysia mesti menuntut penubuhan suruhanjaya di raja untuk menyiasat perkara itu sehinggalah seluruh kabinet penyeleweng itu dihukum mengikut undang-undang negara."

Saya ingin menggesa semua pihak yang prihatin berganding bahu untuk memastikan semua anggota kabinet penyeleweng itu diheret ke muka pengadilan.

"Jika dokumen itu tulen, Najib dan sebahagian anggota kabinetnya kini berada dalam kabinet penyeleweng itu, mereka mesti dihukum.

"Rakyat negara ini tidak sepatutnya dibiarkan dizalimi dan dianiaya dan terus diperintah oleh anggota-anggota kabinet penyeleweng itu,"

Saya juga ingin mengulangi kenyataannya bahawa satu pasukan peguam PAS ditubuhkan bagi mengkaji peruntukan undang-undang untuk memastikan kerajaan menubuhkan suruhan jaya di raja bagi menyiasat skandal tersebut.

Projek PKFZ mencetuskan kontroversi apabila timbulnya pendedahan bahawa kos pembangunannya melambung daripada RM2.5 bilion kepada lebih RM4.6 bilion.

Siasatan awal keatas projek PKFZ mendapati ia terpaksa diselamatkan dengan pinjaman dari kerajaan.

Selain itu juga, siasatan juga mengesahkan kerajaan melalui Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) membeli 404 hektar tanah dari KDSB pada RM25 setiap kaki persegi walaupun harga sebenar dianggarkan RM10 sahaja setiap kaki persegi. KDSB juga dilantik sebagai pemaju PKFZ.

KDSB pula membeli tanah tersebut dari Koperasi Pembangunan Pulau Lumut Bhd (KPPLB) pada harga RM1.9 hingga RM2.9 sekaki persegi. Pengerusi koperasi tersebut ketika transaksi itu ialah Adun Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil.

Beliau juga adalah ahli lembaga pengarah LPK dari 1997 sehingga 2003

Laporan audit yang dikeluarkan pada akhir Mei oleh PriceWaterhouseCoopers (PwC), syarikat yang dilantik LPK bagi tujuan itu, menyebut tentang pembabitan beberapa ahli politik dalam projek berkenaan, yang menurutnya, mungkin menimbulkan percanggahan kepentingan.

Siap sedia awal hadapi Bagan Pinang

Saya menyeru kepada seluruh jentera pilihan raya parti itu bersiap sedia lebih awal untuk menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang pada 11 Oktober ini meskipun masih dalam suasana sambutan Hari Raya Aidifitri.

Jentera Pakatan Rakyat khususnya PAS harus mengambil perhatian serius mengenai pilihan raya itu dengan turun lebih awal ke lokasi untuk bertemu dengan para pemilih.

"Saya harap PAS setiap negeri dapat menghantar jentera pilihan raya secepat mungkin untuk persediaan gerak kerja walaupun mungkin masing-masing masih dalam mood raya, "

Saya juga ingin turut menyeru seluruh penyokong Pakatan Rakyat di seluruh negara agar turut membantu PAS untuk memenangi pilihanraya kecil kali ini. "Saya sangat berharap agar seluruh rakyat yang menyokong Pakatan agar menunjukkan satu kesepakatan dalam menghadapi pilihan raya kecil kali ini,"

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 3 Oktober sebagai hari penamaan calon manakala hari membuang undi pada 11 Oktober iaitu pada hari Ahad, berbeza dengan pilihan raya kecil sebelum ini yang diadakan pada hari bekerja.

Sehubungan itu tegasnya, tiada alasan untuk para penyokong dan pengundi Pakatan Rakyat untuk tidak terlibat dengan gerak kerja kempen atau pulang mengundi memandangkan kedua-dua tarikh penamaan calon dan pembuangan undi jatuh pada hari cuti.

Saya kesal dengan keputusan kerajaan yang hanya memberi bantuan khas kewangan RM500 untuk penjawat awam kumpulan sokongan, dan dibayar dua kali iaitu sebelum Aidilfitri dan selebihnya pada Disember nanti.

Kerajaan seharusnya mencontohi kerajaan Pakatan Selangor dan Kedah yang memberikan bantuan khas itu secara sekaligus sebelum Aidilfitri.

Kerajaan Selangor memperuntukan hampir RM4.38 juta bagi bantuan khas kewangan pada tahun ini kepada seluruh kakitangan perkhidmatan awam kumpulan sokongan di negeri itu.

Manakala Kedah pula memperuntukkan RM2.65 juta untuk bayaran bonus berkenaan, RM2.47 juta kepada kakitangan berjawatan tetap dan selebihnya kepada kakitangan kontrak, sementara dan sambilan

"Bagi saya keputusan kerajaan dalam pemberian bantuan khas ini sangat mengecewakan. Sudahlah hanya sebanyak RM500 yang diberi. Itu pun dibayar separuh-separuh. Ini menunjukkan kerajaan hadapi masalah kekurangan wang tunai,"

Keputusan kerajaan itu juga tidak membantu meringankan beban rakyat apatah lagi rakyat sedang berdepan dengan kenaikan harga barang keperluan khususnya menjelang musim perayaan ini.

Kerajaan juga dilihat masih berpihak kepada golongan usahawan dan peniaga apabila gagal mengawal kenaikan harga barang sehingga menyebabkan pengguna menjadi mangsa.

"Sudahlah gagal kawal kenaikan haga barang, bonus pun tak boleh bagi kepada semua kakitangan awam. Ini langsung tak selari dengan slogan '1Malaysia Pencapaian Diutamakan, Rakyat Didahulukan,'

Saya ingin mengingatkan seluruh rakyat agar bijak mengawal perbelanjaan ketika ini dan mengamalkan kesederhanaan dalam persiapan yang dilakukan.

Kepada mereka yang tinggal di bandar-bandar dan ingin pulang menyambut Aidilfitri di kampung, beliau berpesan agar berhati-hati ketika memandu dan memastikan rumah ditinggalkan dalam keadaan yang selamat bagi mengelakkan berlakunya sebarang perkara yang tidak diingini.

"Pesan saya kepada sesiapa yang nak balik kampung, pastikan rumah dikunci dengan sempurna, dan minta tolong jiran tengok-tengokkan rumah sepanjang peninggalan,"

Saya juga berharap amalan rumah terbuka yang diadakan dapat dijadikan sebagai tempat untuk menjalinkan dan merapatkan hubungan silaturrahim antara ahli keluarga dan sahabat handai.

"Kalau buat rumah terbuka, manfaatkan ia sebagai ruang untuk saling mengenali dan merapatkan hubungan silaturrahim antara satu sama lain,"

Friday, September 18, 2009

Riuh-rendah bela Dr M kerana kepentingan diri

iuh-rendah orang-orang kenamaan dan orang-orang terkenal Umno membela bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak ubah seperti riuh-rendah mereka kini yang kononnya membela kepentingan Melayu dan Islam

"Sebelum ini, ketika orang kenamaan dan orang terkenal Umno begitu yakin Dr Mahathir tidak diperlukan untuk kepentingan diri dan cita-cita mereka, tentulah mereka tidak memberikan apa-apa reaksi.

"Hari ini, mungkin mereka mula merasakan sebaliknya. Sebab itulah mereka berebut-rebut hendak mengambil hati bekas presiden mereka tu,"

Apabila mereka yakin bahawa kuasa mereka begitu kuat dan tidak boleh digugat, rakyat tidak pula mendengar riuh-rendah orang kenamaan dan orang terkenal Umno tentang kepentingan Melayu. "Malah mereka berpakat mengubah kawasan pilihan raya supaya kawasan-kawasan majoriti Melayu dikurangkan semaksima yang boleh,"

Bila kawasan-kawasan yang mereka kuasai pula yang akhirnya direntap dengan begitu banyak oleh kuasa rakyat dalam pilihan raya umum lalu, tiba-tiba sahaja rakyat mendengar riuh-rendah "kononnya membela kepentingan dan masa hadapan orang-orang Melayu".

"Sedangkan hakikatnya, riuh-rendah mereka itu bukan disebabkan oleh kepentingan dan masa hadapan orang-orang Melayu tetapi disebabkan kepentingan dan masa hadapan mereka sendiri.

"Orang kenamaan dan orang terkenal Umno itu tahu, hanya dengan mengapi-apikan semangat perkauman sempit yang menjejaskan keselamatan negara sahaja yang menjadi satu-satunya cara untuk menyelamatkan kuasa di tangan mereka.

Di mana suara pembelaan tokoh-tokoh seperti Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin serta orang kenamaan dan orang terkenal Umno lain ketika Dr Mahathir dihina oleh orang-orang Umno sendiri dahulu.

"Sebahagian besar yang bercakap membela Dr Mahathir sekarang, apabila seorang perwakilan perhimpunan MIC mencadangkan supaya dikalungkan selipar pada gambarnya, tidak bersuara sedikit pun membela bekas presiden mereka ketika begitu ramai ahli Umno menghentamnya dahulu,"

Saya juga tidak pelik jika Dr Mahathir tidak sedih atau marah dengan cadangan seorang anggota MIC agar gambar beliau dikalung selipar sebaliknya beliau amat sedih dan marah sekiranya kecaman datang daripada ahli Umno sendiri seperti yang pernah berlaku.

Bukan sesuatu yang pelik, jika ahli parti lain mengecam Dr Mahathir tetapi amat memeranjatkan jika ahli-ahli Umno yang dahulunya dituduh menjadi penjilat beliau tiba-tiba menjadi orang yang paling garang mengecam dan menghentam beliau semata-mata kerana beliau dianggap tidak layak menegur setelah tidak ada kuasa.

"Ia sama seperti kita tidak merasa pelik dan terperanjat jika dilaporkan bahawa orang-orang bukan Islam menghina Islam seperti laporan yang mendakwa (Presiden MIC, Datuk Seri S) Samy Vellu yang menempelak dengan pertanyaan "Apa, Quran boleh bikin lebuhraya ka?"

"Tetapi kita amat pelik dan sedih jika seorang yang beragama Islam seperti Najib menghina Islam apabila memberitahu wartawan bahawa "Negara akan huru-hara sekiranya undang-undang Islam dilaksanakan" seperti yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan pada pada 20 April 1983 lalu.

"Apa yang hendak dihairankan jika perwakilan perhimpunan MIC mahu mengalungkan selipar pada gambar Dr Mahathir, jika al-Quran pun didakwa telah dihina sebegitu rupa oleh presiden mereka,"

Tidak kedengaran suara orang kenamaan dan orang terkenal Umno membela al-Quran ketika Samy Vellu dilaporkan berkata demikian.

"Kalau al-Quran pun tidak dibela, apa lagi Dr Mahathir walaupun beliau dihina.

"Jangankan hendak membela Dr Mahathir, malah seolah-olah merestui pula apabila beliau dihina dengan kata-kata iblis dan beruk oleh pembesar-pembesar Umno sendiri dan disifatkan celupar apabila menegur Umno semata-mata kerana beliau sudah tidak ada kuasa lagi,"

PERUTUSAN HARI RAYA AIDIL FITRI 1430

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!


Pertamanya marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT yang telah melimpahkan rahmat dan keberkatan kepada kita semua sepanjang bulan Ramadhan ini sehingga kita dapat mengisinya dengan agenda-agenda yang membawa kepada ketaqwaan yang sejati. Hari ini, kita telah menyempurnakan latihan Ramadhan selama sebulan, dan kita akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri sebagai satu tanda kesyukuran kita terhadap nikmat-nikmat Allah SWT. Saya berharap, latihan ubudiyah selama sebulann ini telah dapat memenuhi KPI berpuasa iaitu ketaqwaan kepada Allah SWT.


Saya, bagi pihak PAS mengucapkan Selamat Hari Raya dan maaf zahir dan batin kepada semua umat Islam sempena hari yang mulia ini. Saya berdoa supaya kita semua selamat daripada sebarang kecelakaan pada Hari Raya ini dan dapat pula kita bersama-sama merapatkan ukhuwah dan silaturrahim melalui ziarah, bermaafan-maafan, balik kampung dan sebagainya. Berhati-hatilah di jalan raya dan juga berwaspada dengan rumah yang ditinggalkan agar semuanya selamat dan sejahtera.


Apabila menyambut Hari Raya sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT, maka hendaklah kita menyambutnya dalam suasana yang terikat dengan syariat Allah SWT. Allah memerintahkan pada Hari Raya ini untuk ‘litukabbirallah’ (membesarkan Allah) di atas segala hidayah dan nikmatnya. Maka janganlah Hari Raya menjadi medan untuk kita kembali kufur kepada Allah SWT dengan melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam. Janganlah ada pada Hari Raya perbuatan sumbang seperti pembaziran, menyimpan dendam, hasad dengki dan sebagainya. Sebaliknya, kekalkanlah ketaatan kita sepanjang Ramadhan itu untuk terus mekar sepanjang Hari Raya dan juga hari-hari berikutnya.


Amalan mengadakan rumah terbuka begitu bermakna sekali dalam kita membina semua kekuatan umat Islam terutama untuk mengukuhkan persaudaraan kita. Ziarah menziarahi dapat memulihkan semula nostalgia yang mencetuskan kemesraan dan meninggalkan perselisihan yang tidak berkesudahan. Namun begitu, suka saya mengingatkan supaya amalan rumah terbuka ini tidak disulam dengan perkara-perkara yang tidak baik. Janganlah acara rumah terbuka ini membawa kepada pembaziran, dipenuhi dengan aktiviti hiburan melampau, ada umpat-mengumpat dan dilaksanakan dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk. Biarlah rumah terbuka ini berlangsung dalam suasana keagamaan, ajaklah bersama orang-orang miskin, ibu-ibu tunggal, orang-orang tua dan juga anak-anak yatim supaya mereka juga dapat bergembira bersama-sama.


Ketika kita sedang berseronok dengan Hari Raya ini, jangan kita lupa kepada anggota keselamatan yang terpaksa bertugas untuk menjamin keselamatan kita. Kepada pihak polis dan tentera saya merakamkan berbanyak-banyak terima kasih di atas pengorbanan mereka pada Hari Raya. Jasa dan sumbangan mereka janganlah dipinggirkan. Kerana itu, saya berharap pada Hari Raya ini, pihak kerajaan dapat memberikan kebebasan dan hak kepada anggota keselamatan yang berjasa ini untuk ‘memiliki suara’ secara yang adil di negara ini. Janganlah tenaga dan pengorbanan mereka kita kerahkan, tetapi kebebasan dan hak mereka kita bendung. Berilah mereka kebebasan untuk bersuara dengan menghapuskan undi pos dan biarkan mereka memilih secara bebas dan telus.


Akhirnya, saya berharap daripada tarbiyah Ramadhan selama sebulan ini dapat membangkitkan semula kesedaran dan kemahuan kita untuk mengangkat martabat Islam ke tempat yang setinggi-tingginya. Pada Ramadhan tahun ini, Islam telah terhina dan tercemar dengan beberapa isu dan insiden seperti sekatan ke atas perlaksaan hukum sebat ke atas peminum arak, pergeseran dengan penganut agama Hindu kerana pembinaan kuil dan beberapa fitnah lain yang dilancarkan oleh Umno/BN yang berkepentingan politik. Sedangkan dalam masa yang sama kita menyambut Ramadhan dalam semangat kemerdekaan. Sebagai mana Ramadhaan telah memerdekakan umat Islam daripada penyembahan sesama makhluk kepada perhambaan hanya kepada Allah, maka ia sepatutnya telah menyedarkan kita untuk kembali kepada al-Quran dan Sunnah. Setelah kita berpuasa kerana Allah selama sebulan, maka marilah kita berjihad kerana Allah untuk melaksanakan perintah-perintah Allah yang masih tertangguh akibat kedegilan ‘anak didik penjajah’. Sempena Aidil Fitri ini, marilah kita mendukung slogan AL-QURAN DIDAHULUKAN, SUNNAH DIUTAMAKAN!


Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!


Selamat Hari Raya. Maaf Zahir dan Batin


DATO’ HAJI MAHFUZ HAJI OMAR

Naib Presiden PAS

Monday, September 14, 2009

Ucapan terima kasih kepada Dr M

Saya mengucapkan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang mengingatkan Pakatan Rakyat bahawa kemenangan yang akan diperolehi tidak akan kekal jika prestasinya lemah.

juga mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir yang memotivasikan lagi rakyat yang cintakan demokrasi dan kedaulatan undang-undang apabila bekas Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menyatakan Umno dan BN mungkin akan mengalami nasib yang sama seperti Parti Liberal Demokratik (LDP) Jepun yang ditolak rakyat negara itu.

"Dr Mahathir kata, BN hanya boleh diselamatkan oleh prestasi lemah pembangkang.

"Apa yang beliau nyatakan itu merupakan peringatan yang sangat berguna kepada Pakatan. Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Tun,"

Saya ingin menggesa para pemimpin Pakatan mengingati kembali kenyataan Dr Mahathir November lalu di mana bekas Perdana Menteri menyatakan bahawa parti-parti lawan BN sedang memberikan 'preview' jenis pemerintahan yang akan didirikan.

"Kita bertanggungjawab memberikan 'preview' yang menyenangkan hati rakyat dan bukan 'preview' yang menyebabkan mereka meluat untuk melihatnya,"

Walaupun Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menunjukkan contoh yang baik dengan kehidupan sederhananya, kata beliau, ia tidak akan memberikan apa-apa makna jika tidak diikuti dengan bersungguh-sungguh oleh para pemimpin yang lain.

Saya ingin menyeru kerajaan-kerajaan negeri di bawah PR dan para pemimpin PR memastikan diri mereka bersih dari gejala-gejala yang melanda Umno yang dinyatakan oleh Dr Mahathir.

"Ketika (Presiden MIC, Datuk Seri S) Samy Vellu semalam menyatakan orang-orang India menyampah dengan BN, para pemimpin PR mestilah sedar bahawa bukan orang-orang India sahaja yang menyampah dengan BN malah sukar dinafikan bahawa majoriti rakyat negara ini menyampah dengan BN.

"Oleh itu, jika para pemimpin PR dilihat tidak berbeza dengan para pemimpin BN, rakyat akhirnya akan menyampah dengan PR,"