Friday, September 12, 2008

AHLI PARLIMEN POKOK SENA BIDAS KERAJAAN NEGERI GAGAL SELESAI ISU SAMPAH


Kegagalan Majlis Bandaraya Alor Star (MBAS) menyelesaikan masalah pengurusan sampah di bandaraya ini khususnya di kawasan-kawasan kediaman sejak sekian lama ditempelak Ahli Parlimen Pokok Sena, YB Tuan Haji Mahfuz Omar.

Dalam satu sidang media di rumahnya di Taman Satria, 5 September baru-baru ini, beliau menyifatkan perkara memalukan itu sebagai kelemahan MBAS yang sangat ketara dari segi kecekapan bekerja, komitmen dan kesungguhan untuk menangani isu tersebut





"Saya sudah hampir hilang kesabaran melihat masalah sampah ini apatah lagi timbul di tempat tinggal saya sendiri.

"Di setiap rumah ada longgokan sampah yang sudah berulat dan berbau busuk sejak 31 Ogos lagi," beritahunya.

Terangnya, beliau percaya MBAS tidak akan melakukan proses kutipan pada hari tersebut memandangkan hari cuti dan keesokannya, Sabtu juga merupakan hari cuti.

Beliau turut mendakwa MBAS juga gagal menguruskan tapak pelupusan sampah di Jabi dan membiarkan lebih sebulan tanpa operasi.

"Ini menunjukkan lembab, tidak efisyen, tidak ada semangat bekerja kepada pegawai-pegawai tinggi MBAS. Saya kira pihak Kerajaan Negeri harus meneliti hal-hal ini khususnya kedudukan Datuk Bandar kerana dilihat tidak mengambil apa-apa tindakan dan langkah perlu bagi mengatasi masalah pengurusan sampah yang berlarutan sehingga kini," ujarnya tegas.

YB Mahfuz turut melahirkan rasa kesal terhadap Exco Perumahan Dan Kerajaan Tempatan kerana tidak menunjukkan komitmen untuk melihat masalah yang dihadapi oleh rakyat khususnya dalam kawasan bandaraya.

Ujarnya, beliau tidak nampak satu langkah yang bersungguh dan berkesan diambil oleh pihak exco tersebut untuk memberi pengarahan dan tindakan kepada MBAS seolah-olah tidak mempunyai kuasa untuk bertindak.

Beliau turut menganggap tindakan MBAS berunsurkan sabotaj terhadap Kerajaan Negeri untuk membiarkan timbulnya rasa marah di kalangan rakyat terhadap Kerajaan Negeri Kedah khususnya kerajaan di bawah Pakatan Rakyat ini yang diterajui oleh PAS.

"Bagi saya Kerajaan Negeri harus mengambil langkah-langkah perlu untuk mengelak satu tanggapan negatif.

"Saya menganggap ini bukan sahaja sabotaj kepada Kerajaan Negeri, ia juga adalah sabotaj terhadap sambutan Jubli Emas Tuanku Sultan Kedah dan menjejaskan bandaraya yang menjadi ibu negeri di mana sepatutnya berada dalam keadaan bersih," katanya yang turut mendakwa MBAS kini sudah dikenali sebagai 'Majlis Bandaraya Sampah'.

Mahfuz memberikan tempoh seminggu kepada MBAS untuk menyelesaikan masalah tersebut. Tegas beliau, jika tidak berlaku sebarang perubahan yang memuaskan, beliau akan membuat laporan kepada polis, Jabatan Alam Sekitar, Badan Pencegah Rasuah dan Ketua Audit Negara.

"Saya minta supaya MBAS menyegerakan apa cara sekalipun sewa lori yang munasabah. Kita tidak mahu lagi lori yang buruk dan jika mengambil sampah pun mengalirkan air kotor ke jalan raya.

"Jadi mereka mesti menyewa lori seberapa segera dengan mengeluarkan peruntukan dan menyewa jentolak untuk ditempatkan di tempat pelupusan sampah," tegas beliau.

Tambah beliau, pengumuman oleh Kerajaan Negeri untuk membayar bonus kakitangannya dan membayar hutang Kerajaan Persekutuan baru-baru ini menunjukkan Kerajaan Negeri memiliki keupayaan kewangan.

Oleh itu, pinta Mahfuz, peruntukan yang munasabah juga perlu dikeluarkan untuk membeli lori atau menyewa dalam tempoh terdekat ini.

"Oleh kerana Kerajaan Pusat akan mengambil alih pengurusan sisa pepejal ini, maka saya rasa wajar sewa sahaja," cadangnya.

Beliau turut menuntut Kerajaan Negeri mengambil tindakan disiplin terhadap Datuk Bandar dan pegawai-pegawai tertinggi MBAS serta melakukan semula pengstrukturan MBAS.

"Semua ini berpunca daripada kepimpinan tertinggi MBAS. Saya melihat kepimpinan MBAS lebih komited untuk mengambil tindakan terhadap penjaja.

"Mereka sudah hilang arah, sama ada hendak ambil tindakan kepada penjaja atau mengatasi masalah kebersihan," katanya.

Mahfuz turut menuntut agar Kerajaan Negeri membuat penyiasatan audit terhadap MBAS, termasuk sejak dari Majlis Perbandaran Kota Star lagi.

"Lihat bagaimana wang hasil percukaian diperolehi dan geran yang diperolehi daripada Kerajaan Pusat bagaimana mereka membelanjakannya.

"Adakah perbelanjaan itu menepati keperluan untuk menyediakan khidmat kepada rakyat atau perbelanjaan yang tidak menjurus kepada persoalan perkhidmatan," ujarnya mempersoalkan.

Ujar Mahfuz, tindakan beliau bukan sahaja sebagai seorang ahli politik tetapi juga pembayar cukai.

Bagi beliau, tanggungjawab untuk mengutip sampah bukan hanya kepada pembayar cukai pintu tetapi telah menjadi tanggungjawab kepada sebuah Majlis Bandaraya untuk memastikan kebersihan terjaga.

Menurutnya, keadaan seperti itu boleh menimbulkan kesan kesihatan apatah lagi kawasan perumahan yang beliau diami berada bersebelahan Hospital Sultanah Bahiyah. Tegasnya, persekitaran hospital seharusnya memiliki keadaan kebersihan dan kesihatan yang terjamin.

Mahfuz turut meminta Kerajaan Negeri 'mempertahankan diri' dengan menubuhkan audit dalaman untuk memberitahu kepada rakyat bahawa perkara tersebut berpunca daripada penyelewengan lalu dan dalam masa yang sama Kerajaan Negeri harus mengambil tindakan.

"Saya tidak teragak-agak untuk mengerah lebih ramai berkumpul di hadapan MBAS untuk lambakkan sampah, bukan ke pejabat, tetapi ke muka Datuk Bandar. Bagi saya ialah soal kepentingan pengguna dan rakyat harus diutamakan," tegas beliau membayangkan kemungkinan mengulangi tindakan simbolik yang pernah dilakukannya itu dahulu.


Friday, September 5, 2008

Ucapan takziah kepada keluarga Pak Samad

Saya ucapkan takziah kepada keluarga dan balu tokoh wartawan, Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Ismail yang meninggal dunia semalam.

Kehilangan Samad yang dikenali sebagai Pak Samad meninggalkan kesan besar kepada dunia kewartawanan.

Allahyarham Pak Samad juga seorang tokoh pejuang kemerdekaan yang banyak membuat penulisan yang memberi impak besar semasa para pejuang kemerdekaan berusaha memerdekakan negara.

"Kehilangan Allahyarham sangat dirasai bukan sahaja di kalangan wartawan tetapi seluruh pejuang,"

Thursday, September 4, 2008

Politik ugut Abdullah untuk sekat kerajaan baru

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memandang serius kenyataan Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawaan 2009 yang bertegas tidak akan melepaskan kerajaan kerana mandat telah diberikan rakyat kepada BN.

PAS berpandangan kenyataan ini adalah lambang sikap tidak demokratik Abdullah Badawi yang tidak mahu mengakui bahawa beliau sudah kehilangan kepercayaan parlimen untuk terus mengetuai kerajaan.

Jadi pendekatan yang berbau ugutan cuba digunakan ke atas wakil rakyat yang berhasrat meninggalkan BN dan menyertai Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan baru.

Kenyataan Pak Lah untuk terus mempertahankan kerajaannya itu telah ditafsirkan oleh pemerhati politik bahawa beliau akan menggunakan undang-undang darurat untuk mengisytiharkan MAGERAN atau membubarkan parlimen jika BN kehilangan majoriti di Dewan Rakyat.

Ini merupakan satu amalan politik yang tidak sihat dan terlalu gilakan kuasa. Apabila seseorang perdana menteri sudah tidak diyakini oleh penyokong sendiri, mereka mesti berundur, bukannya mengugut wakil rakyat supaya tidak melakukan sesuatu.

Bahkan, tindakan mereka yang hendak berhijrah " melompat " parti adalah suatu yang demokratik jika ia dilakukan dengan tujuan yang baik. Mandat yang diberikan oleh rakyat adalah supaya wakil mereka membela kepentingan rakyat, dan wakil-wakil rakyat BN mendapati BN bukanlah wadah untuk membela rakyat, sebaliknya untuk kroni dan keluarga Perdana Menteri. Untuk melaksanakan mandat rakyat mereka perlu berhijrah kepada Pakatan Rakyat dan meninggalkan BN.

Pak Lah cuba juga menggambarkan bahawa beliau berupaya untuk mendaruratkan negara ini atau membubarkan parlimen, sedangkan ia adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Pak Lah seolah-olah cuba memberi tahu rakyat bahawa Yang di-Pertuan Agong telah bersetuju dengan caranya dan Baginda akan tunduk dengan kehendak beliau.

PAS percaya bahawa Tuanku tidak akan mudah diperalatkan oleh BN dan PAS sangat berharap supaya Tuanku boleh memainkan peranan penting dalam menamatkan krisis politik ini.

BN cuba menjadi Yang di-Pertuan Agong sebagai alat politik mereka dengan menyuruh Tuanku membubarkan parlimen. Perkara ini tidak akan berlaku kerana Baginda terkenal dengan kebijaksanaan dalam pentadbiran seperti yang berlaku dalam krisis politik di Terengganu selepas pilihan raya lalu.

Tidak menjadi satu kesalahan untuk bertukar parti kerana ia adalah hak setiap wakil rakyat.

Tidak munasabah untuk seorang wakil rakyat berdegil dengan partinya walau tahu partinya sudah rosak. Bahkan, Umno/BN sendiri sudah beberapa kali melakukan perkara yang sama dalam menjatuhkan kerajaan.

Pada 1961, Umno membeli wakil rakyat PAS untuk menjatuhkan kerajaan PAS Terengganu. Pada 1967, Umno melakukan sekali lagi di Kelantan, tetapi gagal. Kemudian pada 1994, kerajaan PBS di Sabah dijatuhkan dengan cara yang sama.

Adakah apabila giliran Umno melakukannya ia adalah demokratik, apabila parti lain yang ingin menjatuhkan BN demi untuk perubahan masa depan negara, maka ia dianggap tidak demokratik.

Jika demikian mengapa Umno/BN melakukannya di Kelantan pada 2004 dan Tajol Rosli melakukan di Perak menjelang 31 Ogos baru-baru ini?

Umno bertegas bahawa perbuatan memujuk wakil rakyat BN ini suatu perkara yang tidak bermoral, tetapi mereka sendiri melakukannya. Bukankah Umno juga berusaha memujuk PAS meninggalkan Pakatan Rakyat dan menyokong BN dalam isu muzakarah.

Bermoralkah Umno? Umno patut menilik pada diri sendiri sebelum mengatakan tindakan orang lain sebagai tidak baik. Pakatan Rakyat memujuk wakil BN berpindah kem adalah untuk kebaikan rakyat setelah BN terbukti gagal membela kepentingan rakyat. Sedang BN membeli wakil rakyat pembangkang untuk kepentingan dan survival politik sempit mereka.

PM juga sedang melakukan ugutan dengan menakutkan wakil rakyat BN. PM ini berusaha untuk melakukan ugutan yang baru iaitu melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LDHN) dan Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Dua agensi kerajaan ini sudah diarah untuk menyiasat mana-mana wakil rakyat yang terlibat dengan rasuah atau melarikan diri daripada membayar cukai. Mereka akan didakwa jika cuba melompat daripada BN.

Persoalannya, apakah apabila seseorang itu kekal dengan BN, dia mempunyai imuniti daripada undang-undang, sedang bila keluar sahaja, maka undang-undang akan berkuat kuasa ke atasnya.

Inikah yang dikatakan keadilan untuk rakyat? BN bukan sahaja mengugut wakil rakyat mereka demi kelangsungan kuasa Pak Lah, tetapi turut memermain-mainkan undang-undang.

Kerana itu, wakil rakyat BN yang ingin menyertai Pakatan Rakyat, mereka mesti melakukan dengan segera supaya kerajaan BN terus tumbang dan tidak lagi dapat memperalatkan jentera kerajaan untuk kepentingan politik mereka.

PAS berharap kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu dapat memainkan peranan untuk melindungi wakil-wakil rakyat BN yang ingin berhijrah ke Pakatan Rakyat bagi menjayakan pembentukan kerajaan baru bagi negara Malaysia yang lebih bertanggungjawab untuk mempertahankan kedaulatan negara dan prihatin terhadap kepentingan dan kebajikan rakyat.

Ahli Parlimen Pokok Sena,
Ketua Penerangan PAS Pusat.

POLITIK BN TERSEMBAM DI BAWAH PUNG****

KEMENANGAN besar Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh telah memberikan dimensi baru politik Malaysia. Rakyat telah menghantar protes terbuka kepada Umno/BN dengan meningkatkan majoriti calon pembangkang dalam pilihan raya ini. Mesej cukup jelas, bahawa rakat sudah mual dengan pendekatan politik kotor, jijik dan penuh dengan penipuan oleh BN. Mereka mempermainkan tuduhan liwat, kemudian membuat sumpah-sumpah palsu di samping melakukan provokasi bagi mencetuskan ketegangan dalam pilihan raya.

“Pilihan raya paling ganas”, kata pemimpin BN. Memang pilihan raya ini telah menjadi ganas kerana anasir-anasir jahat yang dibawa oleh BN menyebabkan rakyat menjadi marah. Hakikatnya ia adalah pilihan raya yang paling kotor. Apabila penamaan calon bermula, BN kononnya mengumumkan tidak akan menggunakan isu liwat ini sebagai bahan kempen pilihan raya. Tetapi di Permatang Pauh, CD yang berkaitan disebarkan kepada pengundi untuk memburukkan imej Anwar. Media massa juga diperkudakan untuk saban hari menyiarkan cerita sumpah palsu Saiful Bakhtiar kononnya dia diliwat.

Buat pertama kali juga, seorang Mufti yang suka membid’ah orang lain, terperangkap dalam perbuatan bid’ah apabila mencadangkan supaya Saiful bersumpah mubahalah. Mufti Wilayah Persekutuan pula bermati-matian mempertahankan sumpah laknat itu sah kerana telah menggunakan perkataan ”Wallahi, wabillahi dan watallahi”. Saya tidak mempersoalkan apakah sah atau tidak sumpah ini kerana masih ramai ulamak yang lebih berhak memperkatakannya. Yang menjadi persoalan ialah Saiful sebagai orang membuat tuduhan sepatutnya disuruh oleh Mufti tersebut untuk membawa empat orang saksi ke mahkamah. Bukankah itu sunnahnya!

Apabila Saiful mengikut nasihat bid’ah Mufti tersebut ini, Majlis Fatwa terpaksa menegur tindakan bid'ah tersebut. Di Kuala Terengganu, Menteri di JPM, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi membuat kenyataan tentang sikap Majlis Fatwa dalam soal ini. Ini kerana, selepas Saiful, Datuk Seri Najib Razak pula tergoda dengan cadangan Mufti tersebut, diikuti oleh bekas Menteri Besar Perak. Dua sumpah ini berbeza dengan kes Saiful kerana Saiful membuat tuduhan liwat atau qazaf yang perlu dibawa empat orang saksi. Jika Majlis Fatwa tidak segera menegur, mungkin banyak lagi orang akan beratur di Masjid Wilayah Persekutuan untuk membuat sumpah serupa. Mereka yang dituduh berzina di mahkamah akan mencari Tok Imam untuk membuat sumpah!

Saya kesiankan Imam Ramlang Porigi yang menjadi mangsa dalam isu sumpah ini. Dengan tidak semena-mena beliau dikutuk dan dicerca oleh rakyat kerana ’bersubahat’ sedangkan beliau tidak tahu menahu. Syukur beliau berani turun ke Permatang Pauh untuk menjelaskan hakikat sebenar. Rupanya, semua acara sumpah ini diatur oleh agen Najib, termasuk teks sumpah tersebut. Patutlah si Saiful tergagap-gagap dalam melafazkannya kerana mungkin dia juga ’dipaksa’ untuk bersumpah. Saiful dan Najib mungkin tidak tahu akibat bersumpah dengan nama Allah seperti ini dan menganggap ia hanya perkara yang remeh sahaja.

Tengku Razaliegh tentu masih ingat peristiwa sumpah pada 1969 kerana beliau satu-satunya yang masih hidup. Menjelang pilihan raya 1969 dahulu, Tunku Abdul Rahman menuduh PAS menerima bantuan wang asing untuk kempen pilihan raya. Datuk Asri Muda menafikannya, kemudian melarat menjadi sumpah mubahalah. Di Alor Setar, Tunku Abdul Rahman bersumpah dengan disaksikan oleh Ustaz Abu Bakar Umar bagi pihak PAS, manakala di Kota Bharu, Datuk Asri bersumpah dengan disaksikan oleh Tengku Razaliegh bagi pihak Umno. Bukankah selepas pilihan raya ini, Umno bukan sahaja kalah teruk, bahkan Tunku Abdul Rahman sendiri telah dijatuhkan, termasuk oleh Dr Mahathir! Politik Tunku Abdul Rahman berakhir selepas sumpah ini.

Najib dan Pak Lah patut mengambil iktibar daripada sumpah Tunku Abdul Rahman ini. Tidak ada guna kita melakukan sumpah yang palsu untuk kepentingan politik sempit yang segera. Akhirnya kita terjerat oleh sumpah sendiri. Najib berkali-kali bersumpah bahawa dia tidak kenal Altantuya, tetapi bapa Altantuya menyatakan sebaliknya. Saya tidak bermaksud mengatakan Najib berbohong, tetapi saya mengingatkan beliau tentang sumpahnya itu. Kalau Allah membebankan beliau dengan kekalahan besar ini sahaja, mungkin masih upaya ditanggung oleh beliau. Saya bimbang dengan desakan Datuk Mukhriz Mahathir dalam perkara ini. Lagipun Perhimpunan Agung Umno hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi.

Ketika rakyat mula bercakap tentang langkah Anwar seterusnya, ulasan Tun Dr Mahathir mendapat tumpuan penganalisis politik. “Bukan PKR atau Pakatan Rakyat yang menang, tetapi BN yang kalah”, kata bekas Perdana Menteri itu. Maksudnya cukup sinis untuk ditelan oleh Pak Lah dan Najib. Mesej Dr Mahathir lebih difahami oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Umno/BN sebenarnya sudah tidak relevan, sebab itu ditolak oleh rakyat. Rakyat memilih alternatif kerana hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Pak Lah dan Najib, itulah yang tergambar dalam fikiran saya apabila Dr Mahathir mengatakan BN yang kalah. Beliau cukup sedar BN sudah reput dan tidak boleh dipulihkan lagi. Kepemimpinan korup BN telah ditolak rakyat. “Letak jawatan”, kata Mukhriz mewakili pemikiran bapanya.

Apapun ulasan dan komen kita tentang pilihan raya ini, semua orang memperkatakan tentang kereputan BN dan mesej rakyat untuk mereka menghentikan budaya politik kotor dan jijik. Ketika Najib berkampung di Permatang Pauh, ketika media massa ’menggomol’ Anwar habis-habisan, ketika fitnah diwujudkan di sana-sini, ketika itulah pengundi Permatang Pauh bangkit menyuarakan rasa hati mereka mewakili perasaan seluruh rakyat untuk menolak BN. Jika pengundian ini dibuat oleh semua rakyat, saya percaya keputusannya sama juga – tolak BN. Rakyat tidak mempedulikan langsung penurunan harga petrol sebanyak 15 sen dan pendakwaan terhadap dua Exco Perak dalam isu rasuah. Rakyat tahu semuanya adalah gimik politik BN.

Sikap angkuh dan besar kepala pemimpin BN telah menimbulkan rasa mual rakyat kepada mereka. Rakyat tidak boleh menerima satu tindakan politik yang kotor seperti tuduhan liwat dan sumpah palsu. Adalah amat menjijikkan jika Umno/BN cuba menggantungkan nasib atau hayat politiknya di ’punggung’ Saiful. Sejambu mana pun Saiful, punggungnya tetap tidak patut menjadi talian hayat bagi pemimpin BN. Apabila pemimpin yang terkenal sehingga ke Mongolia pun masih berhajatkan punggung Saiful untuk menyambung hayat politiknya, maka hancurlah parti yang dipimpinnya.

Hari ini Najib cuba berlagak macho dengan mengucapkan tahniah kepada Anwar dan menerima keputusan rakyat. Najib juga menegaskan ia adalah keputusan secara demokrasi, walaupun rakyat sedar bahawa cara Umno/BN langsung tidak demokratik. Selepas mereka membawa Nallakarupan, Ezam dan Konsul Mongolia untuk berkempen menjahanamkan Anwar, terpaksalah Najib menebalkan mukanya untuk memperakui pilihan rakyat. Inilah hakikatnya bahawa rakyat memang tidak boleh menerima pendekatan politik seperti ini yang sudah tidak relevan dewasa ini. Pak Lah dan Najib patut sedar tentang mesej yang dihantar oleh rakyat. Kerana politik punggung ini, kini BN sudah tersembam di pung**** Saiful!

Selepas pilihan raya selesai, kini rakyat meninjau pula siapakah pemimpin Umno yag bakal dimakan sumpah. Mesyuarat Agung Umno Cawangan masih ada saki bakinya. Di sana pun bukan main banyak pergolakan dan percaturan sehingga saban malam pergaduhan, laporan polis dan BPR dibuat, juga laporan disiplin Umno. Selepas puasa nanti, giliran Bahagian-bahagian Umno pula bercakaran. Yang pening kepala ialah hero sumpah, Najib Razak. Pak Lah juga masih berharap supaya usia politiknya sempat menjengah 2010. Kita tidak tahu siapa yang akan menerima padah daripada sumpah ini. Apakah Pak Lah dan Najib akan menerima nasib Tunku Abdul Rahman, atau Umno seluruhnya akan menerimanya. Wallahu a'lam. Tapi saya percaya jika sumpah yang palsu bersandarkan nama Allah dipermainkan, tunggulah saatnya!

Perhatian rakyat juga memang tidak lepas daripada melihat tindakan selanjutnya oleh Anwar. Rakyat mengharapkan beliau dapat memimpin pembangkang bagi menamatkan kekuasan politik korup dan zalim BN dalam tempoh yang segera. Di kalangan umat Islam, mereka berharap Anwar dapat melakukan sesuatu untuk mengangkat semula martabat Islam sesuai dengan kedudukannya sebagai agama Ilahi. Anwar tidak boleh terpesona dengan habuan dunia sehingga menjejaskan misi untuk memartabatkan Islam di negara ini. Jika Anwar terbabas di sini, tidak mustahil umat Islam akan berubah hati dan tidak lagi mengharapkan beliau melakukan sesuatu untuk kemuliaan Islam.

YB Tn Hj Mahfuz Omar

Ahli Parlimen Pokok Sena

Ketua Penerangan PAS Pusat

Wednesday, August 27, 2008

Kalah di Permatang Pauh, BN dimakan sumpah sendiri

Saya sifatkan kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh akibat dimakan sumpah yang dijaja oleh mereka sendiri.

"Di Permatang Pauh BN asyik bersumpah dan Najib juga sering saja bersumpah ketika berkempen dan akibatnya mereka kalah teruk,"

Rakyat Permatang Pauh yang mewakili rakyat Malaysia keseluruhannya telah menolak budaya politik fitnah yang menjadi amalan Umno-BN.

Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden Umno telah meminta pengundi di Permatang Pauh agar menolak budaya politik fitnah dan seruan Perdana Menteri itu disahut oleh mereka dengan memberikan kemenangan kepada calon yang mewakili Pakatan Rakyat.

"Abdullah minta rakyat tolak budaya politik fitnah tetapi beliau sendiri tidak menunjukkan kesungguhan untuk membanteras amalan kotor yang dibawakan oleh jentera kempen BN yang diketuai oleh Najib,"

Kemenangan besar calon Pakatan Rakyat juga kata beliau membuktikan bahawa rakyat negara ini sudah menolak politik yang tidak beretika yang dibawa oleh BN dan parti yang semakin parah itu terpaksa menerima hakikat bahawa mereka semakin ditolak oleh rakyat.
suasana baru diperolehi dalam pilihan raya kecil ini kerana pengundi menggunakan kematangan mereka untuk memilih calon yang layak dan tidak menggunakan emosi.

"Lebih penting lagi kemenangan Anwar membuktikan harapan rakyat untuk melihat perubahan landskap politik di negara ini,"

"Abdullah dan Najib sudah sewajarnya meletakan jawatan kerana keduanya telah terbukti gagal,"

"Langkah pertama mereka dengan segala fitnah terhadap Anwar sudah gagal dan kita lihat mereka sedang berusaha untuk menggunakan langkah kedua bagi menghalang Anwar dari memasuki Parlimen,"

Pertuduhan liwat terhadap Anwar akan didengar pada September nanti dan besar kemungkinan Anwar tidak dibenarkan ikat jamin maka Penasihat KeADILan itu akan dipenjara sementara menunggu selesai perbincaraan dan ianya akan memakan masa yang lama dan akan mengagalkan usaha membentuk sebuah kerajaan baru.

"Kita melihat ada kecenderungan ke arah itu dan kita juga bimbang jika Anwar dinafikan haknya untuk mengangkat sumpah secepat mungkin,"

Tiada alasan untuk melambat-lambatkan majlis angkat sumpah Anwar selaku ahli parlimen kerana jika laporan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kepada speaker dijadikan alasan ianya tidak masuk akal kerana keputusan yang dikeluarkan oleh SPR pada malam 27 Ogos sudah boleh diterima pakai.

"Selaku speaker, Pandikar Amin harus bertindak wajar agar beliau dilihat berwibawa dan tidak berat sebelah,"