Tuesday, April 26, 2011

TIDAK MENYOROK TETAPI BERDEPAN : PEKUNG TERBUKA

Timbalan Ketua Polis Negara (TKPN) yang baru Datuk Khalid Abu Bakar mengumumkan bahawa PDRM tidak lagi menggunakan kaedah menyorok di belakang tiang dan belukar dalam mengendalikan operasi perangkap laju di jalanraya. Sebaliknya ujar beliau, PDRM akan tampil secara terbuka dalam proses penguatkuasaan undang-undang termasuk peraturan lalulintas. Beliau seterusnya memberikan peringatan bahawa dengan pendekatan baru ini jika pengguna jalanraya disaman, mereka perlu menjelaskannya.

Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) mengalu-alukan pengumuman tersebut kerana secara tidak langsung ia mengesahkan perjuangan KASE selama ini bahawa tindakan menyorok di belakang tiang, menyorok di dalam belukar dan di atas jejantas dalam operasi perangkap laju yang disusuli dengan Saman Ekor adalah bukan suatu cara pendidikan undang-undang yang baik. KASE menyambut baik tindakan ini kerana ia bukan sahaja lebih efisyen dan telus malah boleh menyelesaikan masalah-masalah lain seperti penggunaan nombor pendaftaran palsu dan secara tidak langsung mendidik pengguna jalanraya supaya memandu dengan berhemah.

Walaubagaimana pun pengumuman TKPN tersebut juga telah membuka pekung mereka kerana jelas selama ini mereka melakukan tindakan secara tidak wajar. Undang-undang dan peraturan bukan untuk mengenakan mana-mana pihak tetapi adalah bertujuan mengawal keharmonian dan keselamatan masyarakat. Tindakan menyorok di belakang tiang dan sebagainya yang dilakukan PDRM sejak lebih dua dekad sudah terbukti bukan pendekatan yang baik dan wajar. Pengumuman TKPN ini adalah suatu permulaan yang baik tetapi ia telah membuka beberapa persoalan lain yang perlu diperjelaskan oleh pihak berkuasa seperti PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Persoalannya, kenapa setelah lebih dua dekad baru PDRM menyedari bahawa tindakan tersebut tidak cekap, tidak efisyen malah telah menimbulkan pelbagai masalah kepada pengguna jalanraya. Kita merasakan amat malang mempunyai agensi penguatkuasa yang lembab dalam mengenalpasti cara perlaksanaan undang-undang dan peraturan. Setelah berapa banyak rakyat disusahkan dan dipaksa membayar kompaun tanpa sebarang bukti kesalahan, barulah PDRM sedar tindakan tersebut tidak efisyen dan mengumumkan tidak akan digunakan lagi. Kenapa baru sekarang mereka sedar?

Notis Pol 170A atau lebih popular dikenali sebagai “Saman Ekor” dikeluarkan ekoran perlaksanaan perangkap laju secara menyorok oleh PDRM. Apabila TKPN mengumumkan teknik menyorok tidak lagi akan digunakan, apakah status “Saman Ekor” yang dikeluarkan dahulu? Apakah status “Saman-saman Ekor” yang sudah dibayar ekoran paksaan PDRM dengan ugutan menyenarai hitam pemilik kenderaan? KASE berpendapat bahawa “Saman-saman Ekor” yang dikeluarkan dan terdapat di dalam sistem PDRM sebelum pengumuman TKPN dibuat hendaklah dihapuskira. Ini kerana “Saman-saman Ekor” tersebut dikeluarkan secara tidak telus malah lebih kepada penyalahgunaan peraturan oleh pihak PDRM. Adalah lebih baik melupuskan sahaja daripada membuang masa dan tenaga untuk menguatkuasakan sesuatu yang tidak betul.

KASE seterusnya ingin mendapatkan penjelasan lanjut daripada PDRM dan JPJ berkaitan proses penguatkuasaan perangkap hadlaju. Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 (APJ 2010) mula berkuatkuasa pada 1/2/2011. Melalui APJ 2010 Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dilaksanakan di mana ia merangkumi kesalahan-kesalahan seperti memandu melebihi hadlaju, tidak mematuhi lampu isyarat dan memandu kenderaan selain bas di lorong bas. Sistem ini akan dikendalikan oleh dua syarikat swasta iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan Commercial Circle (M) Sdn Bhd. Pengenalan AES melalui APJ 2010 ini menggambarkan bahawa semua perangkap hadlaju akan dikendalikan hanya oleh dua syarikat swasta ini. Apakah status saman-saman yang dikeluarkan oleh PDRM sejak 1/2/2011 ini? Tidakkah ianya bertindih dengan AES? Penjelasan perlu diberikan supaya tidak ada penguatkuasaan bertindih dilakukan di mana pengguna akan terbeban dan dizalimi. Adakah dengan pengenalan dan perlaksanaan AES ini bermaksud PDRM tidak lagi menjalankan operasi perangkap hadlaju?

Rakyat Malaysia juga secara keseluruhannya perlu faham bahawa APJ 2010 yang mula berkuatkuasa pada 1/2/2011 telah memperakui “Saman Ekor” malah penguatkuasaan “Saman Ekor” pada masa depan tidak lagi bermusim malah secara 24 jam tanpa henti. Perlu diambil perhatian bahawa “Saman Ekor” di bawah APJ 1987 ialah Notis meminta maklumat di bawah Seksyen 115 APJ 1987 tetapi di bawah APJ 2010, Saman Ekor adalah saman yang sah bukan lagi notis. Walau pun PDRM mengumumkan bahawa mereka tidak lagi menyorok tetapi apa yang lebih teruk ialah penguatkuasaan peraturan dan undang-undang jalanraya selepas ini sudah diswastakan.

Akhirnya KASE mendesak kerajaan menghapuskira Saman-saman ekor yang lama dan seterusnya memperbanyakkan kempen penerangan berkaitan AES dan juga kesan Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 kepada rakyat keseluruhannya. KASE berpendapat APJ 2010 yang diperkenalkan masih tidak difahami oleh rakyat. Bagaimana hendak kuatkuasakan undang-undang jika rakyat tidak pernah diberikan pemahaman dan maklumat.

DATO’ HAJI MAHFUZ HAJI OMAR

Naib Presiden PAS

Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE)

Thursday, January 13, 2011

Khairi cabar Najib berdebat dengan Anwar

Perdana Menteri memang jenis tebal muka walaupun disindir dan dicabar oleh Ketua Pemuda Umno supaya berdebat dengan Ketua Pembangkang,
"Kalau (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) ada maruah dan tidak dari jenis tebal muka, beliau tentu akan melihat tindakan Khairy (Jamaluddin) yang terus mencabar (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) berdebat mengenai program 100 hari Pakatan Rakyat (PR) sebagai sindiran dan cabaran terhadapnya.

"Khairy bagaikan memberitahu Najib, 'aku pun tak takut langsung nak berdebat dengan Anwar, awat hang penakut sangat?!'

"Malunya jika Najib terus menikus," Sebelum itu, ketika mengkritik program 100 hari PR itu, Najib membayangkan program itu menggadai masa depan negara dan begitu tidak bertanggungjawab sekali sehingga anak cucu merana kelak.

"Malah tanpa menunggu anak dan cucu, dalam masa dua tahun sahaja menurut perkiraan kita, negara kita jadi macam Greece kalau dilaksanakan segala janji (PR) itu tanpa mengambil kira kemampuan negara," dakwa Najib.

Kecaman Najib itu menyebabkan Anwar mencabar Najib berdebat untuk menentukan siapa mempunyai dasar ekonomi yang lebih baik untuk negara.

Menurut Anwar, adalah wajar bagi Najib menerima pelawaan berdebat kerana Presiden Umno itu sering-kali mempersoal dan memperlekehkan dasar PR serta perangkaan ekonomi yang dikemukakan dalam rancangan 100 hari transformasi PR.

"Adalah amat memalukan jika Najib terus menikus dengan pelbagai dolak-dalik.

"Najib dakwa dia tak mahu berdebat kerana dia tak nampak ada hasil dari perdebatan itu. Jika Najib tak nampak, ia tidak semestinya tak ada sebab Najib yang tak nampak.

"Persoalannya, tak ada hasil atau tak ada berani?"

Mengulas dakwaan Najib kononnya program 100 hari itu akan mengakibatkan negara bankrap seperti Greece dalam masa dua tahun sahaja, beliau menyifatkan kata-kata itu sebagai modal lapuk Barisan Nasional (BN).

"Kalau nak bercakap biarlah nampak cerdik sedikit Perdana Menteri negara ini. Jangan memalukan negara dan mengulang-ulang modal lapuk yang telah dicanang berpuluh-puluh tahun dulu.

"Najib tak ada idea sendirikah sehingga tanpa rasa malu sedikit pun meniru kata-kata pemimpin Umno dan BN dahulu ketika PAS mula memerintah semula Kelantan pada tahun 1990.

"Pada masa itu, para pemimpin Umno dan BN membuat ramalan penuh putus asa kononnya Kelantan akan bankrap dan musnah dalam masa enam bulan sahaja selepas PAS memerintah," katanya.

Bertentangan dengan apa yang diramalkan itu, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, Kelantan tidak bankrap walaupun sudah lebih 20 tahun diperintah PAS sebaliknya menteri kabinet Najib sendiri iaitu Menteri diJabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala yang menyatakan bahawa Malaysia akan bankrap pada 2019.

Mengulas ramalan Idris itu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir membuat ramalan yang lebih menakutkan apabila beliau berkata negara kita akan jatuh miskin.

Mengenai kenyataan mengelak Najib yang mahu rakyat menilai sendiri antara dua program iaitu program PR dan program BN, dan menyifatkan Najib seolah-olah meminta rakyat memberi undi dan peluang kepada PR supaya mereka boleh menilai sendiri programnya.

"Program BN rakyat dah tahu sehingga Dr Mahathir kata negara kita akan jatuh miskin.

"Untuk menilai program PR seperti yang dinyatakan oleh Najib, tentulah rakyat perlu mengundi dan memberi kepercayaan kepada PR terlebih dahulu.

"Tak apalah kalau begitu. Selepas ini kita akan kempen seluruh negara dan beritahu rakyat Perdana Menteri meminta mereka menilai program 100 hari PR dan tidak ada cara lain untuk menilai melainkan memberi peluang PR menggantikan BN terlebih dahulu,"

Beliau berharap Najib tidak marah jika rakyat menyangka beliau sendiri yang meminta mereka mengundi PR untuk menilai sendiri program 100 harinya.

Friday, December 31, 2010

Raja diminta bersih kabinet dari menteri perogol

Saya memohon Raja-Raja Melayu bertindak membersihkan nama negara apabila dua orang pemimpin negara ini dikaitkan dengan kezaliman terhadap rakyat asing.

"Perdana Menteri sampai hari ini tidak pernah dilihat bersih ekoran pembunuhan kejam Altantuya Shaariibuu dan ketika Perdana Menteri dilihat begitu gagal membersihkan namanya, tiba-tiba sejak beberapa hari lalu berulang lagi kehebohan tentang seorang menteri kabinet dituduh merogol warga Indonesia yang menjadi orang gajinya.

"Pelbagai peristiwa selepas pembunuhan Altantuya menyebabkan Perdana Menteri semakin dilihat tidak bersih ekoran pembunuhan wanita Mongolia itu manakala dokumen yang mengaitkan menteri berkenaan dengan perbuatan merogol orang gajinya semakin tersebar.

"Kesemua itu membusukkan nama negara dan menyebabkan negara ini dipandang hina,"

Saya yakin Raja-Raja Melayu tidak sanggup membiarkan nama baik negara terus buruk dan warga negara ini dipandang hina akibat perkara tersebut.

"Sokongan Raja-Raja Melayu amat diperlukan untuk membolehkan rakyat menuntut supaya diadakan suruhanjaya siasatan terhadap perkara itu bagi membersihkan nama baik negara ini,"

Saya mengecam keras tindakan Umno yang semakin jelas memperalatkan Raja-Raja Melayu bagi memastikan ia terus berkuasa.

Saya ingin menyeru Raja-Raja Melayu supaya tidak membiarkan diri mereka diperalat dan menjadi "balang oksigen" yang menyambung nafas Umno yang penuh dengan sejarah kerakusan mengkhianati orang-orang Melayu.

Saya ingin mengingatkan bahawa Pas dan PR akan berkempen secara ofensif dan habis-habisan ke seluruh negara untuk mendedahkan pengkhianatan Umno terhadap orang-orang Melayu.

Tak mampu tenangkan gelora Umno Kedah

PAS dan Pakatan Rakyat Kedah merakamkan ucapan terima kasih kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak kerana memilih Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah dan Datuk Mukhriz Mahathir sebagai gandingan 'terbaik' untuk meneraju Umno di negeri ini.

"Perlantikan kedua-dua tokoh itu membuktikan bahawa Umno sudah ketandusan pemimpin yang berkarisma untuk diangkat sebagai calon Menteri Besar sekiranya mereka berjaya merampas kembali negeri ini dalam pilihan raya akan datang."

"Ahmad Bashah bukan sahaja dikenali di kalangan ahli-ahli Umno sebagai pemimpin yang kurang berkemampuan, malah mereka juga tak yakin dengan kredibilitinya untuk bersaing dengan Datuk Seri Ustaz Azizan Razak sebagai Menteri Besar yang telah berjaya memimpin pentadbiran negeri dengan baik walaupun baru tiga tahun diberi kepercayaan berbuat demikian,"

"Saya melihat Mukhriz yang dilantik sebagai timbalan kepada Ahmad Bashah sebagai 'orang baru' yang diangkat naik bukan dengan keupayaan sendiri tetapi menumpang populariti orang lain, iaitu bapanya Tun Mahathir Mohamed.

"Beliau juga merupakan pemimpin Umno di Kubang Pasu yang jarang sekali menghadiri mesyuarat bahagian kerana tidak sebulu dengan beberapa pemimpin di situ yang dikatakan bertanggungjawab dalam komplot menyingkirkan bapanya sebagai perwakilan ke perhimpunan Umno suatu ketika dulu,"

"Saya dihubungi ramai orang-orang lama Umno Kedah, ada di antara mereka yang masih aktif berpolitik dan sebahagiannya telah bersara dan mereka turut berkongsi berpandangan sama dengan saya.

"Walau bagaimanapun, kita amat mengalu-alukan perubahan dalam pucuk kepimpinan Umno Kedah dan berharap kepimpinan baru ini akan memberi kerjasama sebaik mungkin kepada kerajaan negeri.

"Saya juga harap mereka tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan amalan demokrasi di samping bersikap lebih terbuka menerima sebarang kritikan,"

Saya sahkan perletakan jawatan pengerusi GLC

Saya mengesahkan peletakan jawatan sebagai pengerusi anak syarikat kerajaan negeri (GLC), Kedah Sato Sdn Bhd.

"Saya mengaku saya telah melatak jawatan dan surat peletakan jawatan telah pun saya hantar,"

"Sebab peletakan jawatan saya, semua pihak kena tanya pihak pengurusan Kedah Sato dan juga lembaga pengarah Syarikat Bina Darulaman Berhad (BDB) dan saya tak boleh bagi apa-apa penjelasan kepada media buat masa ini dan saya nyatakan dalam surat, alasannya adalah seperti yang semua sedia maklum,"

"Saya percaya Datuk seri Azizan sudah maklum berkenaan perkara ini kerana saya sudah pun menghantar surat,"